"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa usaha beli Adun PAS Kelantan gagal?

Lanjusoh & Muhd Yusri Amin

KOTA BHARU: Kejayaan PAS mengekalkan kerajaan negeri sehingga lima penggal berturut-turut mencatat satu sejarah baru di Kelantan. Rekod itu mengatasi kerajaan BN sebelum yang hanya mampu bertahan tiga penggal iaitu 1978 hingga 1990. Itu pun keupayaan PAS merampas Kelantan selepas Tun Abdul Razak Hussin mengisytiharkan darurat setelah undi tidak percaya terhadap Dato’ Mohamad Nasir diadakan di Dun.

Ekoran itu PAS berpecah sehingga melahirkan Hamin dan Berjasa.

Dan pada pilihan raya umum 1978 PAS kecundang di Kelantan.

Sebelum itu pada pilihan raya pertama sebelum merdeka pada 1955 PAS kalah semua kerusi dipertandingkan kecuali di Kerian, Perak apabila Haji Ahmad Tuan Hussin menang.

Sedangkan di Kelantan PAS bertanding di tiga kerusi Majlis Mesyuarat Persekutuan dan kalah kesemuanya.

Manakala kerusi peringkat Majlis Mesyuarat Negeri PAS bertanding di empat kerusi daripada 16 kerusi, namun gagal.

Bagaimanapun pada pilihan raya pertama selepas merdeka pada 20 Jun 1959 PAS menang 28 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan di peringkat Dun.

PAS ketika itu hanya kalah di Bandar Hilir dan Ulu Kelantan Timur.

Ekoran kemenangan tersebut Ishak Lotfi Omar dilantik sebagai Menteri Besar dan Mohamad Nasir sebagai Timbalan Menteri Besar.

Tujuh lagi Adun dilantik sebagai anggota Exco iaitu Khaidir Khatib, Mohd Asri Muda, Mohd Nor Yusof, Wan Sulaiman Ibrahim, Nik Abdul Rahman Nik Mat, Mohd Daud Abdul Jamil dan Abdul Rahman Daud.

Kemudian pada pilihan raya 1964 sekali lagi PAS mendapat mandat rakyat dan ketika itu Mohd Asri dilantik sebagai Menteri Besar.

Pada pilihan raya penggal ketiga selepas merdeka sekali PAS diberi kepercayaan rakyat Kelantan, namun ketika itu PAS bergabung bersama dalam Perikatan.

Ketika itu Mohamad Nasir dilantik sebagai Menteri Besar atas kehendak Tun Abdul Razak.

Tidak lama berada dalam gabungan Perikatan, akhirnya PAS ditendang keluar dan pilihan raya umum 1978 diadakan PAS tidak mampu lagi mempertahankan kerajaan.

PAS hanya mendapat suntikan semangat baru pada 1990 apabila gabungan bersama Semangat 46, Hamim dan Berjasa berjaya menumbangkan kerajaan BN dengan agregat 39 – 0.

Rekod yang dicatat tersebut tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Dan hari ini selepas lima penggal mempertahankan kerajaan, PAS dan Pakatan Rakyat terus mengharungi arus politik perdana.

Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama yang diketuai Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat terus memacu jentera pentadbiran negeri.

Berpandukan kepada slogan Membangun Bersama Islam jentera pentadbiran kerajaan negeri terus dipancu.

Teras pentadbiran berasaskan konsep Ubudiah, Masuliah dan Itqan.

Mengulas pencapaian kerajaan negeri Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, hasil gabungan bersama Semangat 46 pada 1990 dan 1995 dan Barisan Alternatif pada 1999, berjaya mengekalkan kepimpinan ulama di Kelantan.

“Hasil kerjasama tersebut telah menyebabkan Umno dan BN tiada tapak langsung di Kelantan pada pilihan raya 1990.

“Dan pada pilihan raya 1999 BN hanya tinggal dua kerusi di peringkat Dun iaitu Galas dan Paloh. Ini mencerminkan kepimpinan PAS dan rakan-rakan iaitu Semangat 46 dan kemudiannya KeADIlan telah diterima secara menyeluruh rakyat Kelantan,” katanya di sini.

Bagaimanapun kata beliau kerajaan Kelantan berada pada kedudukan benar-benar tergugat pada 2004 apabila cuma dibezakan dengan satu kerusi sahaja.

Menurutnya biar pun berada dalam kedudukan cemas, namun kerajaan negeri masih mampu bertahan selama biar pun pelbagai halangan dan sekatan dilakukan.

Kata beliau usaha untuk membeli wakil-wakil rakyat PAS berlaku sejak malam pilihan raya Mac 2004 sehingga menjelang pilihan raya 2008.

“Usaha mereka tidak berjaya kerana wakil rakyat PAS mempunyai pegangan kuat terhadap agama. Ia berlainan dengan apa yang berlaku kepada parti rakan kita sekarang,” katanya.

Beliau juga berkata, biar pun Kelantan sering kali dilabelkan sebagai negeri miskin, namun program pembangunan tetap berjalan lancar.

Menurutnya, orang ramai yang datang ke sini dapat melihat sendiri perubahan yang berlaku di Kelantan di bawah pimpinan ulama.

Fauzi Mohamad, 55 dari Pasir Tumboh berpendapat Umno tidak mungkin bangkit di Kelantan kerana mereka tiada isu yang hendak diperjuangkan.

Katanya, kalau hendak bandingkan dengan negeri-negeri lain di bawah BN, pemimpin PAS dan Pakatan di Kelantan jauh lebih bersih dan berwibawa.

“Jadi tidak ada alasan rakyat nak tukar kerajaan, tambahan pula datang isu minyak. Demua orang faham isu minyak itu hak Kelantan biar pun pemimpin Umno menafikan.

“Dengan adanya isu royalti minyak menjadikan Umno semakin tenat, seolah-olah menggelabah,” katanya di sini.

Fauzi juga berkata, pencapaian PAS di Kelantan sekarang tambah menggalakkan, malah mesyuarat agung cawangan yang diadakan sekarang mendapat sambutan hangat.

Selain itu katanya, program dan dasar kerajaan negeri banyak dapat menolong rakyat termasuk skim insurans Kifalah, Armalah, bantuan anak yatim, penyakit kronik dan OKU.

Tharuman a/l Arjunan dari Kota Bharu berkata, Umno sukar untuk mengambil balik Kelantan kerana kerajaan PAS sudah bertapak kukuh selama 20 tahun.

Katanya, orang India, Cina dan Melayu sudah sinonim dengan Tok Guru Nik Aziz.

Kata beliau Tok Guru memerintah negeri ini dengan cara Islam yang diterima rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Semasa berlaku Perisitwa 13 Mei di Kuala Lumpur, Perak dan negeri lain, namun di Kelantan peristiwa seperti itu tidak berlaku.

“Begitu juga peristiwa membakar gereja dan surau di tempat lain tidak berlaku di sini walau pun Kelantan mempunyai lebih 95 peratus orang Islam,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Alwi Mohd Idris, 61 dari Padang Garong berkata, Umno

mungkin boleh bangkit, tetapi perlu bergantung kepada fakor kewangan yang banyak.

Katanya, Umno boleh naik kalau ada projek besar, dan persoalan rasuah atau tidak itu perkara kedua.

“Yang penting projek, contohnya untuk kegiatan kaum belia. Generasi muda yang kurang berpelajaran mudah diumpan dengan kebendaan,” katanya.

Beliau juga berkata, bakat kepimpinan wakil rakyat tidak semestinya mempunyai pendidikan tinggi.

Contohnya kata beliau wakil rakyat BN Sungai Pinang di Tumpat suatu ketika dahulu tidak tinggi pelajaran tetapi khidmatnya kepada masyarakat tanpa mengira hujan dan panas.

“Namun kini hendak mencari pemimpin Umno seperti itu sukar,” ujarnya.

Beliau juga berkata, personaliti Tok Guru Nik Aziz membuktikan kepimpinannya sebagai seorang ulama diterima rakyat pelbagai kaum dan agama.

Tiada ulasan: