"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Benjy ditahan semula kerana babitkan dadah sintetik

PUTRAJAYA, 26 Mac: Kes membabitkan pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, yang ditahan semula untuk siasatan lanjut, membabitkan dadah jenis sintetik, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata kerajaan memberi tumpuan yang serius dalam menangani dadah jenis itu kerana pengambilannya, walaupun sekali, boleh menyebabkan seseorang itu menjadi penagih dadah.

Katanya begitu juga kes yang membabitkan seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan.

“Saya dah maklumkan awal dulu, kita dalam konteks dadah sintetik ini, perlu menanganinya dengan kesungguhan luar biasa,” katanya.

“Ini kerana pengambilan dadah jenis itu walaupun sekali sahaja, boleh menyebabkan menjadi penagih dadah.

“Kedua, tiada jalan untuk pemulihan dan ketiganya, ia mudah dibawa ke mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan ibu artis itu, dramatis dan pelakon terkenal, Azean Irdawaty bahawa pihak polis tidak menjelaskan lebih terperinci berhubung penahanan semula anaknya itu.

Benjy ditahan semula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952) selepas dua jam dibebaskan.

Dia sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu.

Sebaik menjelaskan wang ikat jamin, Benjy ditahan polis di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur.

Hishammuddin berkata beliau belum menerima laporan berhubung kes itu.

“Saya dah minta laporan kes itu dan belum menerimanya, tetapi bila dah dapat laporan itu, kita akan maklumkan apa sebenarnya yang berlaku. Saya pun nakntahu,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Kiang berkata, pihaknya telah memberitahu sebab-sebab penangkapan semula Benjy kepada ibunya dan keluarganya.

Kata beliau, perkara itu dimaklumkan kepada mereka ketika mereka datang ke balai polis.

“Keluarganya telah datang sendiri ke balai polis untuk mengetahui sebab Benjy ditahan semula dan mereka dapat menerima keputusan tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: