"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TG Nik Aziz dijangka kekal Mursyidul Am, keputusan Isnin

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) dijangka akan dikekalkan sebagai Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun lagi.

Keputusan dijangka diputuskan oleh Majlis Syura Isnin ini.

The Malaysian Insider difahamkan Nik Aziz dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri dalam Majlis Syura, tetapi mereka masih kekal hubungan mesra dan ia tidak akan menjejaskan kedudukan Menteri Besar Kelantan itu.

Spekulasi itu dikaitkan isu idea kerajaan perpaduan antara PAS-Umno yang ditolak Nik Aziz dan gesaan Nik Aziz tahun lalu meminta agar diadakan muktamar agung tahunan khas untuk memilih barisan kepimpinan yang baru.

Majlis Syura telah mengadakan pertemuan pertama untuk sesi kepimpinan semasa di sini malam kelmarin.

“Pertemuan malam tadi (kelmarin) hanya memutuskan pelantikan anggota Majlis Syura dan dengan kuorum penuh (kehadiran semua anggota), kami akan putuskan Mursyidul Am dan timbalannya dalam pertemuan kuorum penuh Isnin ini,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya kedudukan Mursyidul, Tuan Ibrahim yang juga salah seorang anggota Majlis Syura memberitahu, beliau yakin Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan akan dikekalkan.

“Saya rasa tiada (apa-apa) masalah, beliau akan dikekalkan,” katanya lagi.

“Malam tadi (kelmarin) kami telah melantik semula Datuk Nik Aziz dan Timbalan Mursyidul Am Datuk Haron Din sebagai anggota Majlis Syura,” katanya.

Kata beliau, kali ini majlis ini juga dianggotai oleh wakil Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Dalam pada itu seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, antara yang turut dilantik semula ke Majlis Syura dalam mesyuarat pertamanya malam kelmarin ialah Nik Aziz.

“Saya tidak tahu secara rasmi siapa dilantik semalam (kelmarin), cuma saya difahamkan Datuk Nik Aziz dan Datuk Haron antara dilantik semula duduk dalam Majlis Syura,” kata Mahfuz ketika dihubungi.

Majlis Syura PAS mengadakan mesyuarat pertamanya kelmarin di bawah sesi baru mandat kepimpinan dengan dipengerusikan oleh Hadi.

Selain wakil jawatankuasa pusat PAS turut menduduki Majlis Syura ialah wakil Dewan Ulama dan dua wakil bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Wakil jawatankuasa pusat ialah Hadi, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, Tuan Ibrahim dan ahli jawatankuasa pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Wakil Dewan Ulamak adalah Ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naibnya Datuk Dr Mahfudz Mohamad dan Nik Zawawi Salleh.

Wakil Dewan Pemuda pula Ketuanya Nashrudin Hassan Tantawi dan Zaharudin Muhamad manakal Dewan Muslimat belum memutuskan wakil mereka tetapi menghantar lima nama untuk dipilih.

Dalam pada itu dipetik Harakah Daily, Mahfuz berkata beliau difahamkan mesyuarat kelmarin berbincang untuk melantik lima orang ahli Majlis Syura di kalangan sesiapa sahaja ahli PAS, yang tidak semestinya dari jawatankuasa PAS pusat atau siapa-siapa yang difikirkan layak.

“Jadi semalam (kelmarin) mereka bermesyuarat, saya difahamkan mereka hanya melantik lima orang sahaja tetapi belum melantik siapa Mursyidul Am,” kata Mahfuz.

Kata Mahfuz, Majlis Syura akan bermesyuarat semula bersama lima wakil yang baru dilantik bagi melantik Mursyidul Am.

“Ini peruntukan perlembagaan sama ada melantik orang lama atau orang baru saya tidak tahu, boleh melantik orang baru sebagai Mursyidul Am tetapi itu belum diputuskan,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: