"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usul bincang campurtangan 'pihak ketiga' dalam PDRM ditolak

Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 25 Mac:
Usul berhubung isu kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa ada campurtangan orang ketiga dalam urusan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) ditolak Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam kamar hari ini.

Usul tersebut dicadangkan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'lo' Ghazali pada 23 Mac lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).

Beliau membuat usul mencadangkan sidang dewan rakyat ditangguhkan bagi membincangkan perkara itu yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Lo'lo ketika mencelah pada sesi soal jawab hari ini sekali lagi membangkitkan perkara itu kerana mendakwa ianya peting untuk dibincangkan kerana melibatkan pencerobohan secara langsung terhadap sektor keselamatan negara.

Selain itu, beliau juga kecewa dengan jawapan menteri dalam negeri yang didakwa terlalu ringkas dan tidak menjelaskan perkara tersebut kepada pihak media.

"Bagaimana boleh rasa ianya tidak penting? Saya rasa patut kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan berbincang perkara ini," jelasnya.

Lebih penting katanya isu tersebut dinyatakan Musa Hassan sendiri bahawa ada tekanan daripada pihak ketiga yang mengarahkan pihak Polis DiRaja Malaysia melakukan sesuatu yang di luar pengetahuan dan keizinan Ketua Polis Negara sendiri.

"Ini bukan cerita atau andaian yang kita kutip tepi jalan, tapi diletupkan ketua polis negara sendiri," tambahnya lagi ketika ditemui media di lobi parlimen kemudiannya.

Beliau juga khuatir dengan pendedahan ketua polis negara itu kerana mendakwa mampu membawa pelbagai tafsiran negatif.

Sehubungan itu beliau mahu parlimen mendesak menteri menjelaskan siapa pihak ketiga tersebut.

"Biasanya pegawai tinggi kerajaan tidak akan mendedahkan masalah dalaman kepada media, tetapi ini yang dilakukan ketua polis negara di akhir persaraan beliau.

"Adakah pihak ketiga itu kongsi gelap, pengganas antarabangsa atau ahli politik? Sebab kita tidak tahu," soalnya.

Tiada ulasan: