"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis Syura: Ahmad Awang tidak terima maklumat

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 26 Mac:
Ustaz Ahmad Awang, bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS pagi tadi berkata, beliau tidak pula diberitahu oleh kepemimpinan PAS bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh majlis itu seperti yang dispekulasikan di dunia maya sejak dua hari yang lalu.

“Ana memang tidak ada menerima apa-apa lagi maklumat itu,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi telahpun memberitahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa beliau masih bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut demi memperkukuh parti.

“Ahad lepas, apabila Presiden singgah di Semangol (Perak), saya ada bertanya tentang perlantikan semula Majlis Syura dan beliau (Abdul Hadi) menjelaskan beberapa orang akan dilantik.

“Dari pertanyaan saya itu, Ayah Chik (Abdul Hadi) tentu faham bahawa saya masih bersedia untuk pikul tanggungjawab perkukuh parti walaupun saya tolak pelawaannya untuk saya dilantik semula menjadi Pesuruhjaya PAS (Perak) selepas muktamar lalu (2009),” ujarnya.

Maka, beliau berkata, tidak timbul persoalan bahawa beliau tidak berminat lagi untuk memberi komitmen kepada parti seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Ini kerana, menurut beliau, perbualannya dengan Abdul Hadi jelas mencerminkan beliau bersedia memikul amanah tersebut demi memperkukuh parti.

“Kalau saya tidak berminat untuk menjadi (ahli majlis) syura, perkukuh parti, takkan saya bertanya Ayah Chik (Abdul Hadi) tentang perlantikan semula majlis syura,” ujarnya.

Ditanya tentang kaedah baru dalam perlantikan semula Majlis Syura Ulama, beliau berkata, kaedah tersebut sekadar menurut tatacara Perlembagaan PAS yang baru dipinda.

Katanya lagi, sepatutnya usia menjawat jawatan dalam majlis tersebut sehingga bulan September ini.

Namun, kesemua anggota Majlis Syura, termasuk dirinya bersedia untuk melepaskan jawatan lebih awal demi memudahkan pengurusan pentadbiran parti, tidak lebih dari itu.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, dengan tidak dilantik lagi Pesuruhjaya PAS membolehkan beliau memperkukuhkan parti dengan beberapa aktiviti dakwah yang lain.

Aktiviti dakwah tersebut, menurut beliau, termasuk membina sebuah pusat pendidikan dakwah di peringkat negeri.

“Sebenarnya saya tengah fokus tentang projek membina pusat pendidikan dakwah di sini, nak buat rumah anak yatim, kelas-kelas al-Quran, jadi saya perlu fokus mencari RM6 juta hingga RM7 juta,” ujarnya.

Tiada ulasan: