"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ali setan dan kisah KTMB mahu pisahkan gerabak lelaki-wanita

Herman Samsudeen
Saya yakin, ramai diluar sana yang tahu pasal cerita Filem Ali Setan yang mula ditayangkan pada 16 Februari 1985. Cuma kali ini saya mengambil mesej diawal cerita sahaja iaitu kisah pertemuan pertama Ali dan Asmidar di dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ali bersama geng-gengnya menganggu Asmidar hanya semata-mata untuk berkenalan. Memang kecoh sampai menganggu keharmonian penumpang lain.

Babak ini sebenarnya membuka mata kita bahawa itulah bahayanya jika lelaki dan wanita yang belum berkahwin dibiarkan duduk bercampur baur dalam pengangkutan awam seperti keretapi dan bas.

Oleh itu saya tertarik dengan kenyataan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan yang mahu mewujudkan gerabak berasingan antara lelaki, wanita dan mereka yang berkeluarga serta warga emas-OKU.

Pemisahan gerabak ini sudah dilakukan di Jepun dan beberapa negara Eropah berikutan peningkatan masalah cabul kehormatan dan gangguan ketenteraman awam dalam pengangkutan awam.

Jika dilihat dalam filem Ali setan, kita tidak dapat nafikan hal itu. Malah dalam keadaan sekarang kita sendiri dapat melihat penumpang Komuter, LRT Monorail dan bas berhimpit-himpit macam sardin tak kira lelaki dan wanita khususnya pada waktu-waktu puncak. Dah berhimpit, macam-macam boleh berlaku.

Pengendali pengangkutan awam mempunyai tanggungjawab bagi meningkatkan kualiti sosial dalam perkhidmatan mereka disamping memberikan keselesaan pada penumpang.

Kesian juga tengok mereka yang berkeluarga membawa anak-anak kecil dan bayi tetapi terpaksa duduk bersebelahan dengan anak-anak muda yang tak tahu adab. Sibuk buat bising dan ketawa berdekah-dekah sampai menganggangu ketenteraman.

Orang-orang tua pula tidak selesa kerana dengan kudrat tua mereka mereka terpaksa bersaing dengan anak-anak muda yang biadap untuk berhimpit-himpit nak keluar masuk di pintu gerabak.

Malah ada yang lebih biadap duduk dikerusi yang dikhaskan untuk orang tua, wanita mengandung dan orang cacat. Jika penumpang seperti ini masuk, anak-anak muda ini buat bodoh sahaja.

Tidak kurang juga pasangan kekasih yang bermadu asmara dan bercium-ciuman dalam gerabak tanpa segan silu. Ibu-bapa terpaksa tutup mata anak-anak kecil mereka dari melihat perlakuan sumbang itu.

Oleh itu, saya amat bersetuju dengan cadangan KTMB itu dan berharap ia dapat dilaksanakan segera untuk dijadikan model contoh kepada syarikat pengangkutan awam lain.

Pihak syarikat pengangkutan awam bertanggungjawab bagi menjaga keharmonian sosial rakyat dan membantu mengurangkan masalah sosial atau jenayah dinegara ini.

Tiada ulasan: