"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMK Muar ajak Razali debat isu rakyat

Harakahdaily
MUAR, 2 April:
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Muar mengajak Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Razali Ibrahim berdebat secara terbuka berhubung pendirian AMK dan Pemuda Umno mengenai pelbagai isu rakyat khususnya kes Kampung Desa Pinggiran, Kempas, Johor Bahru yang tidak mendapat pembelaan sepenuhnya.

Debat itu juga bagi mendengar pandangan Pemuda Umno berhubung isu gagasan 1Malaysia yang tidak senada dengan pendirian Umno selama ini.

Umno dilihat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan orang Melayu sedangkan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih selari dengan manifesto dan dasar Pakatan Rakyat.

Untuk tujuan itu, AMK Muar menghantar satu surat jemputan rasmi program Pentas Anak Muda-Debat Perdana ke pejabat Razali di Pusat Khidmat Parlimen Muar, Parit Jawa dan diterima pembantu khas Razali, Zulkifli petang semalam.

Debat perdana bertajuk ‘Ketuanan Melayu vs Ketuanan Rakyat’ akan diadakan pada 8 Mei 2010 dan akan menemukan dua orang pemimpin pemuda nasional iaitu Razali sendiri yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Fariz Musa, Timbalan AMK Malaysia.

Pemangku Ketua AMK Muar, Ahmad Anwar Asyraf Ismail dalam satu kenyataan berkata, AMK Muar berharap agar Razali bersetuju dan berani menerima pelawaan itu.

Dalam pada itu, AMK Cabang Muar turut mengutuk keras tindakan tiga orang bekas Ahli Jawatankuasa AMK Muar yang rela diperkudakan Umno/BN Muar dalam menabur fitnah kononnya 50 orang anggota AMK Muar telah keluar parti.

"AMK Muar menafikan fitnah tersebut dan sedang mengkaji bentuk tindakan yang akan diambil dalam masa terdekat, termasuk juga tindakan undang-undang terhadap Razali Jaafar terhadap tindakan beliau yang mencemar kredibiliti dan nama AMK Muar," katanya.

AMK Muar juga memaklumkan, pada 28 Mac yang lepas, Notis Mesyuarat Agung PKR Muar yang telah diposkan dikembalikan semula oleh Pejabat Pos Daerah Muar.

AMK Muar bimbang perbuatan itu mempunyai unsur-unsur sabotaj.

Oleh itu, mereka menyeru agar agensi-agensi kerajaan tidak bersifat bias.

"Dalam negara demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk bersuara dan bermesyuarat, berhimpun dan berkumpul menjelaskan pendirian kami dalam sesuatu isu seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kami memohon Kerajaan Malaysia dan Umno/BN untuk menghormati hak setiap rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: