"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kartika: ‘Saya sudah bersedia jalani hukuman’

Kartika tiba di mahkamah syariah di Kuantan pagi ini. — Gambar oleh Jack Ooi

KUANTAN, 2 April: Bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno hari ini berkata dia sudah bersedia untuk menjalani hukuman kerja-kerja khidmat sosial yang dikenakan sebagai gantian kepada enam sebatan.

Dengan menitiskan air mata ibu kepada dua anak ini berkata dia bersemangat untuk menghadapi perkembangan baru ini.

“Saya sedia menerima hukuman ini dengan hati terbuka dan ikhlas.

“Saya tabah untuk menghadapi apa jua arahan sepanjang menjalankan hukuman khidmat masyarakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pagi ini.

Kartika melaporkan diri di Jabatan Agama Islam Pahang kira-kira pukul 9.09 pagi ini bagi menjalani hukuman khidmat masyarakat.

Dia kini dalam perjalanan ke Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah untuk menjalani hukuman kerja-kerja khidmat masyarakat.

Kira-kira 20 minit selepas “serah diri” Kartika dibawa ke Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah untuk menjalani hukuman kerja-kerja khidmat masyarakat.

Kartika diiringi oleh bapanya Shukarno Abdul Mutalib, bapa saudaranya Amlir Ayat, kakak Ratna Sari Dewi serta peguamnya.

Van warna putih membawanya terus ke pusat kanak-kanak itu. Wartawan tidak dibenarkan memasuki kawasan jabatan itu.

Hukuman enam sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas Kartika telah diganti kepada khidmat masyarakat selama tiga minggu atas titah Sultan Pahang.

Keputusan mengenai hukuman gantian itu dimaklumkan melalui sepucuk surat rasmi daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang diterima kelmarin.

Semalam Kartika berkata beliau bersedia melakukan hukuman gantian itu walaupun agak terkejut dengan perkembangan berkenaan.

Dua anaknya akan tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Jawang, Sungai Siput sepanjang dia menjalani kerja khidmat masyarakat itu nanti.

Kartika dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang.

Pada 24 Ogos, 2009, dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman sebatan yang dijatuhkan itu sebelum ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: