"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biro Politik BN-PH akan bincang calon MB N Sembilan, kata Adun Umno

Faiz Zainudin

Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat.
Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir fb pic 30426
Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata menteri besar baharu perlu dilantik selepas Aminuddin Harun hilang kepercayaan majoriti. (Gambar Facebook)
SEREMBAN: Pemimpin utama parti kerajaan perpaduan Negeri Sembilan akan menentukan sama ada wakil Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) akan dicalon menjadi menteri besar baharu.

Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata menteri besar baharu perlu dilantik menerajui kerajaan negeri bagi menggantikan Aminuddin Harun yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti.

“Calon MB akan diputuskan dari mesyuarat Biro Politik bersama BN dan PH dalam masa terdekat,” katanya kepada FMT.

Malam tadi, Biro Politik Umno memutuskan untuk terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan namun berpendirian menghormati 14 Adun negeri itu yang kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis institusi raja dan adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu.

Difahamkan, semua Adun Umno Negeri Sembilan turut berada di Kuala Lumpur malam tadi susulan mesyuarat biro politik pucuk pimpinan parti itu.

Adun Lenggeng Asna Amin turut senada sambil menegaskan buat masa ini kerajaan perpaduan yang ada kekal sehingga keputusan baharu dibuat.

“Buat masa ini, kerajaan (perpaduan Negeri Sembilan) yang ada kekal,” katanya ketika dihubungi sambil menegaskan ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Semalam, Aminuddin berkata beliau akan terus mentadbir kerajaan negeri minoriti sehingga keputusan lain dibuat melibatkan perubahan pentadbiran negeri.

Beliau juga akan akur apa jua keputusan bakal dibuat pucuk pimpinan termasuk melibatkan soal kedudukannya sebagai menteri besar.

Aminuddin turut memaklumkan Tuanku Muhriz juga mahu beliau meneruskan tugas sebagai menteri besar seperti biasa bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

BN dan PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan apabila masing-masing menang 14 serta 17 kerusi pada PRN 2023 berbanding lima oleh Perikatan Nasional (PN).

Tiada ulasan: