KOSMO!

Md. Nayan (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian AJK Bersatu Bahagian Parit Buntar yang mengumumkan keluar parti dalam sidang akhbar di Jalan Permatang Tok Mahat, Parit Buntar malam ini.
PARIT BUNTAR – Bersatu Bahagian Parit Buntar dibubarkan malam ini selepas kepimpinan bahagiannya mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat.
Ketua Bahagian Bersatu Parit Buntar, Md. Nayan Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas yang diadakan pada 5 Ogos lalu membabitkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Parit Buntar.
“Pembubaran bahagian ini dijangka akan menyebabkan seramai 980 ahli Bersatu Parit Buntar daripada 15 cawangan turut keluar parti,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Permatang Tok Mahat, di sini hari ini.
Md. Nayan berkata, tindakan tersebut diambil susulan keputusan dan tindakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang disifatkan tidak selaras dengan semangat perjuangan parti.
Katanya, keputusan kepimpinan pusat itu bercanggah dengan nilai perjuangan parti yang berteraskan slogan ‘Bersatu, Beramanah, Bermaruah’.
“Keputusan ini dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap AMT Bersatu Pusat berikutan tindakan dan keputusan yang diambil semasa PRN Negeri Sembilan yang bercanggah dengan nilai-nilai perjuangan parti,” katanya.
Dia berkata, mereka sebagai ahli yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Bersatu serta prinsip perjuangannya tidak lagi mempunyai keyakinan bahawa kepimpinan AMT Pusat sedang memelihara nilai dan amanah, iaitu asas perjuangan parti. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan