"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lau Seru Penghantar Peluru Raifal M-16 Berani Tampil Ke Hadapan

Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San mencabar pihak yang menghantar peluru raifal M-16 dan nota ugutan bunuh kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tampil ke hadapan dan bersemuka membincangkan isu yang dihadapi secara rasional.

Lau Weng San berkata apa sahaja permasalahan boleh diatasi dengan lebih berkesan tanpa perlu kepad keganasan dan bunuh-membunuh.

“Saya mencabar penghantar peluru tersebut tampil ke hadapan dengan pendiriannya untuk datang berbincang berhubung isu itu secara lebih rasional tanpa melibatkan sentimen perkauman.

“Malaysia seharusnya tidak boleh bertolak ansur dalam hal seperti ini, jadi saya mencabar supaya penghantar peluru tersebut datang dan berbincang secara lebih terbuka sebelum 15 Ogos ini di Kafe Rocket dalam memastikan perbincangan dari hati ke hati atas isu ini tanpa ada kekerasan terhadap mana-mana individu. Atau dalam masa yang sama kita tidak boleh terima mereka ini yang tiada keberanian dan tidak mahu pegang kepada pendiriannya,” katanya.

Surat ugutan itu diterima oleh keraninya pada petang semalam yang dihantar dalam bentuk bungkusan surat ke alamat pejabat Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

DAP percaya ia mempunyai kaitan kepada cadangan Tony Pua yang mahu potongan harga sebanyak tujuh peratus yang diberikan kepada bumiputera untuk memberi hartanah disalurkan khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana sahaja bagi hartanah bernilai sekitar RM500,000 ke bawah.

“Sekiranya kita memberikan potongan harga tersebut kepada orang kaya, ini bermakna kerajaan juga membenarkan orang Malayu yang kaya seperti Tan Sri Syed Moktar, Tan Sri Rozali Ismail atau Datuk Seri Najib Razak sendiri yang mendapat gaji enam angka sebulan bagi membolehkan mereka sama turut menerima potongan harga tersebut,” katanya.

Beliau berkata tindakan ini adalah sama sekali tidak adil dan menindas golongan bawahan yang lebih memerlukan potongan harga itu tanpa mengambilkira mana-mana kepentingan kaum.

Beliau meminta semua pihak melihat cadangan Tony ini secara lebih rasional dan terbuka bukannya dengan tindakan keras mengugut.

Tiada ulasan: