"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin biadab, berniat jahat

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas keras kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan penyebaran kain-kain rentang yang memaparkan gambar DYMM Sultan Johor sehingga menimbulkan kemurkaan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim.

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin sebagaimana yang dilaporkan melalui segmen berita di Saluran Astro Awani nyata sekali merupakan satu kenyataan yang biadap dan mempunyai niat yang jahat. Ini kerana kenyataan tersebut dibuat dalam keadaan penafian terbuka telahpun dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng sendiri.

Malah AMK Negeri Johor melalui Ketua, Zabidie Abas telahpun membuat laporan polis berhubung penyiaran kain rentang yang bermotif jahat ini pada 8 Ogos 2010.Zabidie dijangka memberi keterangan di IPD Kluang pada petang ini susulan laporan polis yang dibuat beliau terdahulu.

Tindakan provokatif seumpama ini bukan sesuatu yang luar biasa di dalam politik Umno. Saban waktu khususnya sewaktu Pilihanraya Kecil, puluhan malah ratusan kain-kain rentang yang bersifat provokatif dan berunsurkan perkauman dipasang di merata-rata kawasan sehingga mencetuskan ketidakselesaan masyarakat setempat.

Ini termasuklah dengan apa yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini,di mana gambar calon Keadilan yang di'super impose' oleh pihak tidak bertanggungjawab.

AMK menuntut agar Tan Sri Muhyiddin menarik semula tuduhan melulu beliau dan AMK menggesa agar Umno memohon maaf secara terbuka kepada DYMM Sultan Johor di atas penghinaan yang telah dilakukan.

Rakyat Johor semakin terbuka dan menerima Keadilan dan Pakatan Rakyat, justeru provokasi sebegini bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan Umno yang sememangnya kini terdesak bergelut dengan krisis kepercayaan rakyat yang semakin merudum dengan parah.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan
MALAYSIA

Tiada ulasan: