"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tonik tahan puasa

KUCHING: Pengguna terutama umat Islam yang kini menjalani ibadat puasa Ramadan dinasihat tidak terpengaruh dan mengundang petaka dengan meneguk ‘tonik puasa’ yang didakwa mampu membuatkan seseorang tahan lapar dan kekal bertenaga sepanjang hari.
BAHAYA...tonik ikan haruan yang diharamkan jualannya.
BAHAYA...tonik ikan haruan yang diharamkan jualannya.
Tonik didakwa dihasilkan menggunakan bahan campuran pati air ikan haruan dan ginseng serta madu lebah itu kini dijual secara berleluasa oleh beberapa peniaga di lokasi di sekitar bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.

Didatangkan dalam botol 100 mililiter, tonik berkenaan dipercayai dihasilkan di negara jiran dan diseludup masuk untuk dijual di Sarawak pada harga RM10 sebotol.

Namun, timbul keraguan berhubung tahap keselamatan bahan berkenaan kerana tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan sama ada dari negara jiran atau Malaysia tertera pada label pembungkusan produk berkenaan.

Jurujual yang juga dipercayai warga negara jiran mendakwa tonik berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di tempat asalnya kerana berkesan menjadikan seseorang itu tahan lapar dan mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Tonik berkenaan dikatakan mampu memberi kesan sempurna hanya dengan minum dua cawan kecil sebelum berpuasa dan tidak perlu bimbang letih kerana ramuan pati ikan haruan boleh mengekalkan tenaga badan dengan tempoh daya tahan sehari tanpa perlu makan atau minum.

Bagaimanapun, sumber Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata, tonik air ikan haruan terbabit antara ubat diharamkan jualannya sejak tahun lalu kerana didapati mengandungi bahan larangan.

Menurutnya, produk yang sering dijual penjual ubatan tradisional di kaki lima sekitar bandar raya ini mengandungi steroid berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang mengambilnya.

“Tonik ini tidak mendapat kelulusan Jabatan Kesihatan kerana mengandungi bahan tidak dibenarkan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

“Pengguna mengambil ubat berkenaan cenderung menghadapi pelbagai masalah kesihatan serta boleh membawa maut jika tidak dihentikan dengan segera,” katanya.

Menurutnya, penggunaan steroid dalam tonik berkenaan boleh menyebabkan seseorang pengguna itu menghadapi sembab, lemah otot, kegagalan fungsi buah pinggang, darah tinggi, gangguan haid, jerawat dan paling teruk boleh membawa maut.

“Orang ramai dinasihati jangan membeli tonik berkenaan kerana ia tidak dijamin keselamatan penggunaannya oleh pihak berkuasa negara ini serta boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Tiada ulasan: