"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keretakan hubungan Najib-Muhyiddin bukan satu rahsia

Shazwan Mustafa Kamal

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini menegaskan dakwaan wujudnya keretakan dalam hubungan antara Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah “benar dan memang wujud”, dan bukan satu rahsia besar.

Sehubungan itu, kata pemimpin-pemimpin yang dihubungi, suasana itu menggambarkan ketidaktentuan Umno sama ada Barisan Nasional (BN) benar-benar boleh kekal berkuasa dengan pembaharuan dibawa oleh perdana menteri.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim berkata, walaupun Muhyiddin menjelaskan panjang lebar bahawa kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik sehingga kini, memang wujud keretakan dalam gandingan Najib dan Muhyiddin.

Malah kata beliau, keadaan itu sudah tentu akan memberi kesan besar kepada BN untuk mendapatkan balik sokongan dan memulihkan kedudukannya selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-13.

“Memang wujud keretakan. Sesiapa sahaja boleh melihat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin yang juga timbalan kepada Najib di Umno menolak khabar angin kononnya beliau mengalami krisis hubungan dengan bosnya Najib.

Katanya, hubungannya dengan Perdana Menteri adalah baik dan sokongannya kepada Najib tidak perlu dipertikai dan diragui semua pihak.

“Saya nak sebutkan kerana saya rasa terpanggil bila Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) kata kepada saya, dalam muka akhir itu (buku Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia) gandingan mantap “Najib-Muhyiddin” dan itu sudah disahkan.

“Cuma saya nak maklumkan memang tidak ada pihak yang harus meragui sokongan padu yang saya berikan kepada Perdana Menteri sejak awal lagi sampai sekarang ini,” katanya ketika majlis pelancaran buku “Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia”.

Muhyiddin berkata khabar angin yang mengatakan bahawa hubungannya tidak baik dengan Najib itu sengaja ditimbulkan “pihak sebelah sana”.

Zaid berkata, selepas pilihan raya umum 2008 ramai beranggapan bahawa Umno akan kembali kukuh setelah memaksa bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan pucuk kepimpinan.

“Ia (keretakan) memang benar, ia bukan satu perkembangan baru dalam Umno,” katanya.

“Pada masa yang sama mereka menyalahkan Pak Lah. Muhyiddin sudah tentu akan menyalahkan Najib,” katanya.

Bekas menteri kerajaan persekutuan yang menyertai PKR tahun lalu memberitahu The Malaysian Insider bahawa tindakan-tindakan Muhyiddin yang bercanggah dengan dasar 1 Malaysia adalah manifestasi ketidaktentuan Umno ke aras polisi-polisi Najib.

“Muhyiddin adalah manifestasi ketidaktentuan lama Umno... memang tipikal bagi Umno bertindak macam ini.

“Najib mempunyai banyak pendedahan Barat dan liberal dalam dasar-dasarnya dalam sesetengah perkara. Muhyiddin adalah produk timbalan perdana menteri kelahiran tempatan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, sudah pasti akan wujud perselisihan di kalangan kedua-dua pemimpin itu.

Jelas Zaid, wujud pandangan berbelah bahagi dan tidak menentu bahawa pembaharuan dibawa oleh Najib adalah perlu untuk Umno mendapatkan semula hala tuju masa lalu dan sokongan rakyat.

Zaid juga membidas Muhyiddin yang mendakwa Pakatan Rakyat adalah punca kepada tanggapan bahawa wujudnya keretakan hubungan antara Najib dan Muhyiddin.

“Saya merasakan ia satu alasan yang begitu cetek,” katanya.

“Pak Lah hendak membawa pembaharuan tetapi beliau ditolak oleh musuh dari Umno sendiri,” katanya.

“Apa bezanya sekarang? Saya tidak fikir orang Umno bersedia untuk perubahan.

“Idea mereka ialah memperkukuhkan kedudukan mereka menerusi kawalan, menerusi dominasi orang Melayu,” kata Zaid.

Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua menyoal mengapa Muhyiddin mahu menuding jari ke arah Pakatan Rakyat.

“Mengapa salahkan kami. Jika anda mahu meletakkan kesalahan pada orang lain, salahkan diri anda dulu dan juga Tan Sri Dr Koh Tsu Koon,” katanya.

Pua berkata, Koh yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab untuk merangka program transformasi kerajaan (GTP), yang turut menghasilkan konsep 1 Malaysia bagi menggambarkan elemen “Malaysia pertama, soal kaum kedua.”

“Mengapa timbalan perdana menteri kelihatan berbeza dalam memahami konsep 1 Malaysia? Ini kerana bagi beliau konsep 1 Malaysia sudah gagal,” katanya.

Pua menambah, Muhyiddin cuba menafikan dakwaan keretakan antara beliau dan Najib kemungkinan kerana perdana menteri sudah tidak gembira dengan timbalannya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke berkata, tindakan Muhyiddin menunjukkan yang timbalan perdana menteri sudah bimbang dengan apa yang diperkatakan oleh rakyat mengenai dirinya.

“Beliau mula bimbang dengan tanggapan tentang diri beliau, tentang tindakan-tindakannya.

“Jika tiada masalah mengapa hendak membuat penjelasan,” katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tindakan Muhyiddin tidak mempertahankan konsep 1 Malaysia apabila Dr Mahathir mengkritik menunjukkan sikap ‘membelakangi’ kepimpinan negara.

“Muhyiddin seharusnya telah mempertahankan konsep 1 Malaysia apabila Dr Mahathir mengkritiknya berbanding bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh bekas perdana menteri.

“Orang boleh melihat bahawa dengan menyokong Dr Mahathir dan bukannya mempertahankan Najib, konsep 1 Malaysia sebenarnya telah gagal,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Tiada ulasan: