"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sime Darby hadapi masalah lagi, kali ini di Indonesia

LFG
KUALA LUMPUR, Aug 12: Umpama jatuh ditimpa tangga, Sime Darby, syarikat yang belum pulih daripada derita kerugian hampir RM3 bilion tahun lalu terus dibelenggu masalah, kali ini di negara jiran, Indonesia.

Kumpulan Guthrie Berhad, syarikat yang kini sebahagian daripada Sime Darby, baru-baru ini diarah membayar tuntutan sivil kepada syarikat Indonesia PT Adhiyasa Saranamas oleh Mahkamah Agung Indonesia lebih dari USD25 juta, yang kini menggelembung sehingga USD41 juta.

Sebuah portal berita online melaporkan bahawa masalah itu telah dibawa ke perhatian parlimen negara itu untuk diselesaikan berikutan Guthrie terus mengingkari perintah untuk membayar.

"Pengingkaran terus daripada syarikat yang mempunyai kaitan kerajaan Malaysia telah menimbulkan tanda tanya atas kewujudan broker dan mafia undang-undang di sebalik kes ini," lapor Rakyat Merdeka, sebuah portal berita online di Indonesia.

Persengketaan antara dua syarikat tersebut bermula pada tahun 2000 ketika Guthrie Berhad merancang untuk menguasai aset PT Holdico Kuasa yang telah diambil alih oleh Badan Penyehatan Perbankan Nasional (BPPN) milik kerajaan Indonesia.

Guthrie telah melantik PT Adhiyasa Saranamas sebagai orang tengah untuk memudahkan prosedur dalam pengambilalihan PT Holdico Kuasa, serta anak syarikat dan aset milik syarikat berkenaan termasuk ladang kelapa sawit di beberapa bandar.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Guthrie telah bersetuju untuk memberikan yuran sebanyak tujuh peratus daripada hasil nilai urus niaga untuk Adhiyasa, menurut portal tersebut.

Selepas pengambilalihan berjaya, syarikat milik kerajaan Malaysia itu telah dituduh melanggar kontrak kerana sengaja melewatkan bayaran yang dijanjikan kepada Adhiyasa.

Adhiyasa kemudian mengambil pelbagai tindakan undang-undang, tetapi gagal, bahkan sehinggakan permohonan rayuannya di Mahkamah Agung Indonesia tidak mendatangkan hasil.

Pada tahun 2007, dengan pelbagai kelengkapan dokumen dan bukti, Adhiyasa telah berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Agung untuk mengarahkan Guthrie untuk memenuhi kewajipannya dalam membayar yuran yang dijanjikan, dengan enam peratus tambahan sebagai bunga.

Namun, keputusan ini terus diingkari Guthrie sehingga memaksa Adhiyasa untuk mengajukan petisyen dengan Mahkamah Negeri Jakarta Selatan untuk merampas aset Guthrie yang akhirnya diterima.

Rakyat Merdeka menambah bahawa Guthrie cuba untuk melawan penghakiman tersebut dengan menyekat perintah untuk pembayaran melalui PT Holdico Kuasa, syarikat yang dikuasainya pada tahun 2000.

Kumpulan Guthrie merupakan syarikat yang terlibat dalam perladangan dan pengilangan yang dibeli pada tahun 1981 di bawah pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed melalui syarikat pelaburan kerajaan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Bursa Saham London.

Bersama kerajaan dan PNB sebagai pemegang saham terbesar, Guthrie digabungkan dengan Sime Darby dan Golden Hope untuk membentuk Synergy Drive, kemudiannya Sime Darby sebagai nama bersama.

Pada November 2007, Sime Darby menjadi syarikat terbesar di Malaysia dan syarikat perladangan terbesar di dunia dengan bank tanah lebih daripada 540,000 hektar. Namun begitu, akibat salah urus tadbir, Sime Darby dilaporkan berada di dalam kemelut pentadbiran dengan kerugian hampir RM3 billion pada tahun lepas.

Tiada ulasan: