"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek Utama Bunuh Sosilawati Ada Tujuh Kes Jenayah Komersial


SHAH ALAM 16 SEPT : Suspek utama yang juga seorang peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lagi mangsa turut dikatakan mempunyai kaitan dengan tujuh lagi kes membabitkan orang hilang dan pembunuhan termasuk seorang wanita dan tujuh kes jenayah komersial di daerah Kuala Langat.

Menurut Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, suspek utama kes pembunuhan kejam itu turut disiasat berkaitan kehilangan seorang lelaki warga India yang didakwa hilang sejak awal tahun lalu.

Walau bagaimanapun, laporan polis mengenai kehilangan warga India itu hanya dibuat pada 8 September lalu.

“Jadi macam mana kita tahu jika tidak ada laporan,” ujar beliau kepada pemberita selepas Majlis Polis Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat hari ini.

Dipetik Bernama, Khalid berkata peguam tersebut juga didapati mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lepas.

Laporan akhbar menyatakan bahawa wanita itu T. Selvi, 44 isteri kepada seorang pemilik bengkel kenderaaan dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.

“Walaupun suami mangsa ada membuat pelbagai ulasan mengenai kes itu, saya tidak bercadang beri apa-apa komen kerana kes itu sedang disiasat,” ujar Khalid.

Menurutnya lagi, polis mendapat petunjuk-petunjuk baru mengenai kes pembunuhan wanita itu selepas siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38.

“Kes ini tidak pernah ditutup dan kita akan lakukan risikan bagi mendapatkan lagi maklumat,” kata Khalid.

Beliau berkata pihaknya ada menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak tahun 2005 yang melibatkan kerugian RM7.1 juta.

Ditanya sama ada peguam itu telah “membeli” polis-polis di Kuala Langat, katanya, jika sesiapa mempunyai maklumat sedemikian mereka boleh melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita tidak akan lindungi orang kita yang menyeleweng,” tegas Khalid.
Turut hadir pada sidang media sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya Datuk Hussin Ismail.

Tiada ulasan: