"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP PAS Kelantan rafak taat setia kepada Tengku Faris

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ahli Parlimen PAS negeri Kelantan hari ini merafak taat setia dan menyokong pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Tuanku Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang ke-29.
Kesemua mereka adalah Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dr. Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa), Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang), Muhammad Husin (Pasir Puteh), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu) serta Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz Md Nawi.

"Saya mewakili Ahli-Ahli Parlimen PAS dari Kelantan ingin merafak sembah dan mengucapkan tahniah kepada Tengku Muhammad Faris Petra Tuanku Sultan Ismail Petra selaku Sultan Kelantan Darul Naim yang baru.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan ketaatan sepenuhnya ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku," ujar Nasharuddin mewakili mereka pada satu sidang media di Pejabat Agong PAS, di sini.

Bagaimanapun hanya tiga dari mereka iaitu Nasharuddin, Salahuddin dan Dr. Mohd Hatta hadir pada sidang media tersebut sebagai mewakili keseluruhan mereka.

Sambil merafak sembah ke bawah Tuanku Sultan, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS mengajak rakyat Kelantan turut menumpahkan taat setia serta sokongan padu kepada pemahsyuran tersebut.

Bagi mereka, pemahsyuran seperti yang diumumkan oleh Datuk Shukri Mohamad, Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan merangkap Ahli Majlis Perajaan Negeri Isnin lalu adalah sesuatu yang menurut perundangan negeri dan sah.

Ianya bertepatan dengan Artikel 6, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang memberi kuasa pada Majlis Perajaan Negeri berbuat demikian.

Perkara 6 menyatakan bahawa tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan perlantikan tersebut dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN).

Mewakili PAS pula, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS turut mewakili Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama PAS, Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS, merakamkan sokongan padu kepada Tengku Muhammad Faris Petra.

Manakala, Dr. Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat pula menegaskan bahawa mana-mana pihak, termasuk PAS tidak berhak menyentuh atau membuat spekulasi dalam soal pemashasyuran seorang Sultan kerana ianya adalah hak eksklusif istana serta urusan MPN.

Tiada ulasan: