"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cuepacs: Naikkan umur persaraan - 60 tahun

Kerajaan diminta menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam di Malaysia supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.
Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata sehingga kini, Malaysia masih ketinggalan di belakang negara jiran yang mempunyai umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Beliau berkata sehubungan itu, Cuepacs berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, akan meluluskan cadangan itu dan mengumumkannya ketika pembentangan Bajet 2011 bulan depan.

"Kami telah meminta supaya umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun sejak beberapa tahun lalu, dan pada 2006, kami menyerahkan satu memorandum berhubung perkara itu, namun kerajaan hanya bersetuju menaikkannya sehingga 58 tahun.

"Justeru, kami harap kerajaan boleh mempertimbangkannya kerana ia satu opsyen dan bukan wajib, seperti juga apabila umur persaraan dinaikkan daripada 56 kepada 58 tahun, ia satu opsyen, bukannya automatik," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Kerajaan juga, katanya, perlu memastikan bahawa umur persaraan di Malaysia seragam dengan apa yang diamalkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Umur persaraan bagi Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60 tahun, manakala di Singapura 62 tahun.

Kali terakhir isu mengenai umur persaraan dibangkitkan di negara ini ialah pada 2008, iaitu sebelum ia dinaikkan kepada 58 tahun.

Omar berkata, baru-baru ini, pemain industri perbankan tempatan telah bersetuju menaikkan umur persaraan pekerjanya dan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mampu menyumbang kepada ekonomi negara meskipun umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun.

"Graduan baru atau mereka yang masih mempunyai tahun perkhidmatan yang panjang sebagai penjawat awam tidak perlu bimbang. Kita perlu bersikap terbuka kerana ia satu opsyen dan bukannya wajib," katanya.

Beliau berkata ini kerana kepakaran serta pengalaman penjawat awam masih diperlukan, dan dengan menaikkan umur persaraan, ia mampu memberi pilihan kepada mereka yang berpengalaman untuk terus berkhidmat kepada negara.

"Kami tidak pasti jika kerajaan akan menerima cadangan ini, namun kami berharap ia akan dipertimbang dan diputuskan secepat mungkin," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: