"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek bunuh: Polis perlu jelas kepada rakyat

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 15 Sept: Polis bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sejauh manakah siasatan dan tindakan pencegahan yang dibuat apabila suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dilaporkan mungkin terlibat dalam pembunuhan sehingga sembilan mangsa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Walaupun diumumkan Isnin lalu bahawa Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tercapai kerana kadar jenayah turun, rakyat yang semakin gelisah dengan pelbagai jenayah berat yang terus berlaku berhak mendapat tahu sejauh manakah tindakan polis menyiasat kehilangan beberapa orang yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan Sosilawati dan pembantu-pembantunya itu.

"Apakah tindakan pencegahan yang dilakukan dan berapa laporan polis yang diterima yang ada kaitan dengan suspek itu?" kata beliau.

Menurut beliau, polis dilaporkan telah mengakui bahawa mereka pernah menerima aduan mengenai kehilangan sebelum ini termasuk laporan mengenai kehilangan seorang warga India.

"Oleh itu saya hendak bertanya apa tindakan polis ke atas aduan-aduan ini? Apakah hasil siasatan ke atas aduan-aduan itu?" kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menekankan bahawa perkara tersebut penting dijelaskan kerana akhbar The Star melaporkan mungkin sembilan orang dibunuh dan dihapuskan dengan cara yang sama, Utusan Malaysia pula melaporkan sekurang-kurangnya empat kes pembunuhan sebelum ini dipercayai dapat diselesaikan dengan berikutan pengakuan suspek-suspek dalam kes pembunuhan Sosilawati bahawa mereka pernah terlibat dalam kes-kes terdahulu manakala Kosmo! pula melaporkan bahawa "ahli perniagaan terbabit mahir 'menghilangkan' pelanggannya".

"Yang lebih membimbangkan ialah apabila Kosmo! juga melaporkan bahawa 'maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan'.

"Laporan-laporan tersebut dibuat oleh akhbar-akhbar pro-kerajaan Barisan Nasional (BN). Sebab itulah pihaik polis bertanggungjawab mententeramkan kebimbangan orang ramai dengan menjelaskan sejauh mana siasatan dan tindakan pencegahan yang dibuat terhadap apa yang dilaporkan sebagai 'sekurang-kurangnya empat kes pembunuhan sebelum ini'.

"Kita tidak mahu lagi membaca laporan ada penjenayah yang 'terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan' selepas ini," tegas beliau.

Mahfuz percaya, jika polis telah menyelesaikan empat aduan sebelum ini, mungkin tidak berlaku pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Beliau mempersoalkan, adakah suspek utama ini kemungkinan tidak dapat ditangkap sekiranya tragedi terbaru tersebut tidak berlaku.
“Nampaknya suspek ini hanya dapat ditangkap selepas Sosilawati dan tiga lagi mangsa sudah menjadi abu,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: