"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khusrin mungkin ‘ganggu’ mesyuarat exco

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diyakini akan mengalami masalah besar dalam pentadbiran dengan perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiuasaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Ini kemungkinan berlaku apabila Khusrin memainkan peranannya dengan ‘mengganggu’ mesyuarat exco seperti yang diarahkan kerajaan pusat.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

"Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

"Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco," katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.

Umno BN sebelum ini telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya bertindak lompat parti dan menjadi Adun Bebas. Mereka terdiri daripada Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Kelayakan ketiga-tiga Adun itu juga masih dipertikai kerana ketiga-tiga kerusi Dun itu telah diumumkan kosong oleh Speaker Dun Perak, V. Sivakumar.

Nizar yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak turut mempertikaikan perlantikan Khusrin kerana ia merupakan satu tindakan yang jelas membelakangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana keputusan tersebut dibuat tanpa meminta pandangan Khalid terlebih dahulu.

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai jelas tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, walaupun semua pihak tahu, Khalid patut diberikan peluang untuk membuat keputusan untuk memilih orang yang boleh berkerja sebagai setiausaha sulitnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menggesa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri, bagi menolak Setiausaha Kerajaan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan medianya berkata, langkah itu perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Khusrin ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.

“Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat bukti manipulasi istana oleh BN berhubung perlantikan Khusrin, apabila Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tiada ulasan: