"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB S'gor: 'KSN sengaja belakangi proses pemilihan'

Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya dengan sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru, Datuk Khusrin Munawi.

mohamad sidek hassan chief secretary of governmentMenteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata dalam dalam pemilihan
tersebut, KSN telah mengabaikan proses pemilihan mengikut nota amalan perkhidmatan awam.

Menurut Khalid, nota amalan tersebut menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan menteri besar sebelum diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan," tegasnya.

Khalid berkata, kerajaan Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga semua lapan calon yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

"Jawatankuasa itu telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam kerajaan negeri Selangor.
Malaysiakini melaporkan sebelum ini bahawa Khusrin berada di kedudukan terakhir antara calon yang ditemuduga oleh jawatankuasa tersebut.

"Ketika mengumumkan pelantikan Datuk Khusrin Munawi, KSN bukan saja membelakangkan menteri besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman," tegas menteri besar lagi.

"Perlu dinyatakan di sini, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu bukan sahaja melanggar perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik; sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Lebih merunsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acapkali dikritik sebagai tidak efisyen," tegas Khalid.

Walaupun pelantikan Khusrin tidak dipersetujui kerajaan negeri, Istana Selangor telah menggeluarkan jemputan untuk majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis ini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: