"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pusat-negeri konflik, elak lantik Khusrin SUK Selangor - Prof. A. Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pakar perundangan Prof A Aziz Bari berpendapat pelantikan Pengarah Jais Datuk Khustin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru perlu dielakkan memandangkan sudah wujud konflik awal antara negeri dan pusat.

“Dalam keadaan Khusrin telah sedia berkonflik dengan pentadbiran negeri, pelantikannya perlu dielakkan. Apatah lagi apabila kerajaan negeri telah pun mengemukakan nama-nama lain,” kata beliau (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Khusrin disyorkan oleh Putrajaya manakala kerajaan negeri pula telah mencalonkan tiga nama hasil temu duga khas yang diadakan iaitu ketua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majis Daerah Sabah Bernama.

Malah Aziz juga berpendapat Sultan Selangor juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam soal pelantikan penyandang jawatan tersebut.

“Soalnya sekarang ialah apakah memang selama ini khususnya ketika pentadbiran BN... memang Sultan mempunyai kata putus? Apa pun melihat kepada apa yang berlaku di Perak dan Selangor, khususnya dalam kes Khusrin, sepatutnya istana bertanya dan berbincang dengan kerajaan negeri,” kata Aziz lagi.

Malah menurut Aziz, perbincangan seumpama itu perlu kerana setiausaha kerajaan negeri ialah ketua pentadbiran negeri dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan polisi kerajaan.

“BN sendiri, khususnya di zaman pentadbiran (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad), begitu tidak selesa dengan campur tangan istana.

“Jadi sekarang BN tidak harus, kalau ia benar-benar memegang prinsip campur tangan. Apa yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hasan memberi isyarat campur tangan.

“Sepatutnya, kerajaan pusat memberi laluan kepada kerajaan negeri dahulu,” kata beliau yang menegaskan, pelantikan Khusrin perlu dielakkan bagi mengelakkan konflik.

Aziz menambah, kontroversi yang melibatkan Khusrin dengan sendirinya tidak melayakkan beliau diletakkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sepatutnya dicari pegawai lain. Meletakkan Khusrin memberi isyarat yang istana tak peduli soal itu.

“Kerajaan persekutuan, yang dipimpin oleh Umno, tidak sepatutnya dibiarkan oleh istana. Keputusan istana mengesahkan Khusrin meletakkan istana dalam kontroversi sebagaimana di Perak dan Kelantan.

“Ini amat dikesali. Istana sepatutnya memainkan peranan meredakan, bukan menajamkan konflik kerana yang rugi dalam soal ini ialah rakyat,” katanya lagi.

Masalah yang sama pernah berlaku di Kelantan pada hujung 1990-an apabila pentadbiran negeri menggunakan istana untuk menyulitkan pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika itu kerajaan negeri juga menghadapi dilema apabila penasihat undang-undang, pegawai pusat juga menimbulkan masalah.

Sehubungan itu kata beliau, masalah berhubung dengan pentadbiran yang dialami di Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor ini hanya boleh diselesaikan jika Pakatan menang di pusat.

Bagaimanapun itu bukan jaminan kerana peruntukan perlembagaan negeri dalam soal pelantikan anggota Exco itu meletakkan kuasa di tangan Sultan.

“Ia tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja. Sebagaimana yang terjadi dalam krisis di negeri-negeri yang disebutkan tadi istana mungkin mengambil kesempatan atau digunakan oleh Umno seperti sekarang,” katanya lagi.
Baca selanjutnya di sini
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: