"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada masalah dengan pakaian MP Serdang, kata ketua masjid

Boo Su-Lyn
KUALA LUMPUR, 31 Dis: Pengurusan Masjid Taman Cheras Jaya berpendapat pihaknya tidak melihat adanya sebarang masalah dengan pakaian Ahli Parlimen Serdang yang menyertai program senamrobik di pekarangan rumah ibadat itu meskipun pemimpin-pemimpin Umno menyifatkan tindakan itu telah mencemari kesucian Islam.

“Kami tidak ada apa-apa masalah sama sekali dengan pakaian YB Teo,” kata pengerusi jawatankuasa Masjid Taman Cheras Jaya Azman Idris kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam kenyataan yang dilihat menolak kritikan disiarkan akhbar Umno yang dibawa sejak semalam, Azman menjelaskan, menutup aurat terpakai kepada umat Islam sahaja.

“Menutup aurat terpakai hanya kepada Muslim. Jadi, isu menutup aurat tidak terpakai kepada YB Yeo,” kata beliau.

Malah kata beliau, pihaknya hanya mengadakan aktiviti itu di tempat letak kereta, bukannya dalam masjid sebagaimana dijadikan isu semata-mata.

“Saya tidak melihat ada apa-apa masalah dalam isu ini,” tambah beliau sambil menjelaskan, sesetengah wanita Islam yang menghadiri karvinal Maal Hijrah pada 12 Disember lalu juga tidak menutup aurat. Program itu diadakan sempena karnival tersebut.

“Ada yang mengenakan jeans yang ketat. Tetapi kami tiada masalah,” katanya lagi.

“Kami ada meletakkan papan tanda mengatakan sila menutup aurat. Tetapi, kami tidak menguatkuasakan kerana ia tanggungjawab individu terbabit. Kami hanya boleh menggalakkan (mereka berbuat demikian),” kata beliau.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

“Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadat orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik,” katanya.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pula dikatakan mahu memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Teo dan menyertai senamrobik di pekarangan masjid itu.

Tiada ulasan: