"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa 'Dibelasah', Tuntut Polis Mohon Maaf

DAMANSARA, 27 DIS: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menuntut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf terbuka kepada seorang ahli perniagaan Chia Buang Ting dengan segera.

Dalam sidang media di sini petang tadi, Lim menyifatkan Arjunaidi tidak profesional dalam mengendalikan kes selain tidak layak memegang jawatan itu.

Beliau juga memberitahu bahawa dua anggota polis yang didakwa menyerang dan merompak Chia telah dibebaskan daripada tahanan.

Menurutnya lagi, Chia akan mengambil tindakan sewajarnya jika Arjunaidi enggan berbuat demikian.

"Hari ini Ketua Polis Selangor yang baru kata beliau tidak dapat mengesahkan samada ia adalah dadah heroin atau tidak kerana keputusan masih dianalisis di makmal dan akan mengambil masa. Jadi ini adalah tamparan hebat kepada IPD Petaling Jaya.

"Saya mahu Arjunaidi menarik balik kenyataan yang mengesahkan menjumpai dadah dan parang dalam kereta Chia dan juga mengemukakan permohonan maaf sebelum akhir tahun ini. Jika tidak Chia akan mengambil tindakan sewajarnya kepada Arjunaidi," jelas beliau kepada media.

Chia yang hadir ditemani peguam tidak dapat menahan sebak menjelaskan dalam bahasa Mandarin kepada media kekejaman pihak polis yang mengambil kesempatan ke atasnya.

Dalam kejadian 18 Disember lalu, Chia ditahan polis dalam perjalanannya ke Kota Damansara dan kemudian dibelasah apabila beliau enggan memberikan wang kepada polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.

Setibanya di sana, beliau terus dibelasah oleh 7 orang anggota polis yang lain.

Turut hilang wang berjumlah RM13 ribu selain polis mengugut untuk mendakwa Chia di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dengan meletakkan Heroin dan parang dalam kereta milik isterinya.

Chia yang kesal dengan kejadian itu walaubagaimanapun tidak menaruh sebarang rasa dendam kepada anggota polis namun menuntut keadilan bagi pihaknya.

"Beliau tidak menyimpan sebarang dendam. Chia mahu keadilan terlaksana dan mahukan duit beliau semula," katanya.
-tvsnews-

Tiada ulasan: