"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Perangkap’ untuk Shahrizat?

SAFAR JUMAAT
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi9kw0j9YuCuczuLgV5A9qN_5TcCw2nYfrUf_ST3B4eTvP9KXdpIt8xvD5a4Vk_fHRdkeBMn_h2kRu9G0GaReezCqgorKP7GxBRt-g375dIgZqo1wrdNR2UoUQD94o-GpcZmluYICtMxLs/s400/image.jpg
MUNGKIN orang yang paling seronok bila Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil mengumumkan hasratnya berundur, 8 April 2012 ini ialah Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.
Mungkin juga atas nasihat Najib, maka Shahrizat yang buatbuat tersenyum ketika membuat pengumuman tersebut, terpaksa melepaskan jawatan yang disandangnya kerana asakan kiri dan kanan, bukan sahaja dari pembangkang, tetapi daripada orang-orang dalam parti mereka sendiri.

Mungkin juga, Najib tertekan apabila bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih berkuku dalam kerajaan, turut memberi pandangan supaya Shahrizat lebih elok jika berundur.
Dari semua kemungkinan ini, Shahrizat dan selepas ini, sesiapa sahaja yang tidak dilihat menjadi “orang kesayangan PM” tidak akan dipertahankan oleh kawan-kawan sepasukan apabila mereka menghadapi masalah.

Tetapi, andainya mereka itu datangnya dari kem PM, nasib mereka akan terbela, termasuklah dakwaan mengatakan ada seorang timbalan menteri menerima sumbangan yang dimasukkan terus ke dalam akaun peribadinya.

Padahal, Umno buat-buat lupa, setiap sumbangan tidak boleh diterima secara peribadi dan mana-mana pihak yang mahu menderma atau menyumbang atas kepentingan parti, diarahkan menyerahkan sumbangan itu kepada Ibu Peiabat Umno atau Pejabat Umno Negeri-negeri dan kemudiannya akan diagih-agihkan.

Bukankah ketetapan itu pernah dibuat? Apakah mereka sudah lupa dan mengapakah seorang timbalan menteri yang mengaku menerima sumbangan tersebut masih boleh kekal sebagai timbalan menteri hingga hari ini, tanpa apa-apa desakan dari kawan-kawan supaya timbalan menteri ini berundur?

Dalam kes Shahrizat, daripada PM sampailah ke budak pejabat di Ibu Pejabat Umno tidak mempertahankannya.

Mungkin, mereka menerima arahan supaya Shahrizat tidak dipertahankan dan serangan bertubi-tubi terus dilakukan oleh Ketua Umno Bahagian Kalabakan, Ahli MT Umno sendiri seperti Dato’ Bung Mokhtar Raden dan Dr Mohd Puad Zarkashi dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Dato’ Wira Syed Ali Al-Habshie.

Tiada siapa hairan apabila bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar menyerang Shahrizat kerana rekod terdahulu membuktikan Rafidah memang suka bermusuhan secara berpanjangan.

Memetik kata bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, beliau sendiri nampak hubungan tidak mesra antara Rafidah dengan seorang lagi bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato’ Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman apabila Dr Siti Zaharah mengalahkan Rafidah suatu ketika dahulu.

Inilah Umno. Mereka suka bergaduh sama-sama sendiri dan bila mereka kalah dalam pilihan raya, mereka cari alasan mengatakan pembangkang main kotor, ada keganasan di hari mengundi dan pemindahan pengundi yang dilakukan pihak pembangkang.

Jadi, dalam isu NFC yang menyebabkan Shahrizat seperti tersengkang tulang di kerongkongnya, tidak perlu menyalahkan pembangkang yang dilihat menyerangnya habis-habisan. Serangan pembangkang sebenarnya tidak cukup berkesan jika tidak mendapat kerjasama atau pertolongan dari Umno sendiri.

Itulah sebabnya, seorang timbalan menteri yang mengaku menerima sumbangan ke akaun peribadinya tidak kelihatan resah kerana tiada sesiapa di dalam Umno yang berani menyambung serangan yang sudah dimulakan oleh seorang blogger itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mendakwa, dalam Umno ada pendakwaan terpilih. Yang disukai oleh pucuk pimpinan akan dilindungi dan yang mana tidak disukai, kenalah menanggungnya sendiri.

Elok juga kalau Shahrizat melepaskan sekali jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno, seperti yang pernah dilakukan oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dahulu.

Jika selesai penyiasatan dan terbukti beliau tidak bersalah, ambillah balik jawatan itu dan jika ditakdirkan dia bersih, tiada siapa yang mampu menggugat kedudukannya di dalam sayap parti itu.

Namun, macam ada perangkap yang sedang dipasang. Shahrizat hanya diminta berhenti jawatan kabinet dan bukan jawatan dalam parti. Padahal, Rahim dahulu pernah diminta melepaskan semua jawatan termasuk Ketua Bahagian Masjid Tanah (dahulu dikenali dengan Bahagian Alor Gajah).

Umno mempunyai standard yang berbeza. Ada orang yang kena tindakan disiplin, kena gantung tiga tahun. Ada pula yang dilarang bertanding dan ada juga yang hanya diberikan amaran sahaja.

Padahal, kesalahan yang mereka lakukan, sama! Bunyinya macam pelik, tetapi inilah Umno. Jika Shahrizat faham semua ini, eloklah beliau tinggalkan sahaja Umno yang sudah lama beliau sertai kerana, penghujungnya, beliau akan mendapat penghinaan dan bukan penghargaan.

Peringkat awal kes NFC ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy dilihat bangkit mempertahankan Shahrizat. Mungkin kerana Shahrizat orang kanan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan bapa mertua kepada Khairy.

Tetapi selepas itu, Khairy Jamaluddin terus senyap. Tidak diketahui apakah beliau senyap kerana ada arahan supaya menutup mulut atau, beliau memikirkan tiada apa-apa faedah mempertahankan kawankawan dalam Umno, dibimbangi beliau pula akan diserang nanti.

Khabarnya ada sekumpulan orang Umno bertindak ala samseng menyerang Ketua Umno Bahagian Cheras ketika turut mengkritik Shahrizat. Satu hal yang Najib paling senang dengan keputusan Shahrizat ini ialah, tidak perlu mencarikan tempat untuk Shahrizat bertanding dalam PRU13.

Kebetulan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Dato’ Raja Nong Chik Zainal Abidin sudah menafikan bahawa dia terlibat dalam pendedahan isu NFC ini, disebabkan ada kaitan berebut kawasan Parlimen Lembah Pantai antara dia dengan Shahrizat.

Dalam masa yang sama, mungkin Dato’ Ghaffur Salleh, Bung Mokhtar, Syed Ali dan Dr Mohd Puad cukup seronok, walaupun tidaklah sampai melompat-lompat di atas keputusan yang Shahrizat ambil ini.

Mereka mungkin berhenti bercakap isu Shahrizat selepas ini dan yang paling kesal ialah Perkasa, kerana Perkasa baru-baru ini mahu mengambil peranan mahkamah meminta Audit Negara mendedahkan surat NFC kepadanya.

Pembelaan Perkasa itu dilihat seperti ada udang di sebalik batu kerana Perkasa muncul selepas segala-galanya terdedah sudah.

Apa lagi yang hendak dibela oleh Perkasa? Mungkin kerana ada sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka mencelah di tengah-tengah keributan itu.

Sama-samalah kita tunggu hasil siasatan SPRM dan polis dalam kes ini dan siapa yang patut didakwa, perlu diseret.

Dalam masa yang sama, saman menyaman antara mereka yang mendedahkan isu ini kepada umum juga sesuatu yang menarik untuk dinantikan.

Tiada ulasan: