"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salahuddin teresak-esak, air mata saya mengalir


YB Salahuddin Ayub menghubungi saya sekitar jam 6 petang ini. Kebetulan, ada di rumah saya di Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor. Saya tegur dia; demam ke? Kerana suaranya di hujung talian berbeza daripada biasa. Beliau memaklumkan YB Datuk Phahrolrazi dan YB Datuk Dr Ismail Salleh telah menerima keputusan PAS Pusat dengan nada tersekat-sekat, menangis teresak-esak. Alhamdulillah... tidak semena-mena mengalir deras air mata saya. Kegembiraan yang tidak terhingga. Saya sujud syukur dan membaca Al-Qur'an sambil menangis.


Apa yang saya alami mungkin tidak sama seperti orang lain. Semenjak YAB Perdana Menteri mengumumkan cadangan penyenaraian Felda Global Venture dalam Bajet pada 7 Oktober 2011 lalu; jiwa saya sangat tersentuh. Marah, sedih dan sering terganggu emosi saya. Berbulan-bulan saya bersama rakan-rakan NGO yang saya ketuai, ANAK membuat pelbagai usaha. Ceramah, dialog, taklimat, laporan polis, serahan memorandum, laporan SPRM, bertemu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), serah memorandum kepada ANGKASA dan puluhan sidang media di merata negeri.

Saya teringat nasib peneroka Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Sendayan dan Labu Johnson. Hanya menang sorak tapi kampung tergadai. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Saya tidak mahu penderitaan mereka dirasai oleh warga Felda yang lain. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beri semangat yang kuat untuk saya dan ANAK menentang habis-habisan. Bukan sahaja dalam mesyuarat PAS Pusat tapi juga melalui perbincangan dan kadang kala beliau menelefon saya melalui Setiausaha Akhbarnya, Sdr Nasaie Ismail.

Saya jumpa YBM Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin politik, rakan-rakan NGO, group pemikir, bekas-bekas pegawai kanan Felda dan ramai lagi. Mereka memberikan pandangan dan tindakan yang mesti dibuat. Dr Rosli Yaakob, Lawyer Hj Haris Abdullah, Datuk Ramli Buyong, Hj Razman Zakaria, Ust Aris Faezol, Nasaie, Faizal, Yohanis (sekadar beberapa nama) antara yang cukup rapat dan banyak membantu. Kami sepakat menentang penyenaraian Felda Global Venture. Alhamdulillah, kami berjaya sekat cadangan EGM KPF pada 5 Januari 2012. Datang ujian berikutnya. Notis EGM KPF 22 Februari 2012. Lawyer Haris menyerahkan permohonan Injunksi Interim di Mahkamah Tinggi Kuantan pada sekitar jam 11 pagi 17 Februari 2012. Permohonan menghalang EGM KPF daripada melupuskan ekuiti KPF dan 10 anak syarikat dalam Felda Holding kepada Felda Global Venture Holding.

Hari Jumaat 17 Februari 2012 jam 3.25 petang tidak akan saya lupa sepanjang hayat. Lawyer Haris keluar dari bilik mahkamah mengangkat tangan dengan senyuman sambil menjerit, kita menang! Saya dan teman-teman yang menanti penuh sabar petang itu menyambutnya dengan laungan Allahuakbar berulangkali. Saya tidak terkata apa. Walau saya lelaki yang jarang menangis... air mata berderai. Syukur Alhamdulillah. Terimakasih Yang Arif Hakim Datuk Mariana Yahya kerana membenarkan permohonan lapan orang plaintif yang mewakili pemegang saham KPF bagi menghalang usul-usul seperti terkandung dalam notis yang dihantar kepada perwakilan EGM KPF.

Tanggal 19 Februari 2012, saya mengiringi Lawyer Haris menyerahkan perintah mahkamah kepada pihak KPF di Ibupejabat KPF di Jln Semarak KL. 21 Februari, Lembaga Pengarah KPF mengumumkan bahawa EGM KPF bertarikh 22 Februari 2012 dibatalkan. Syukur Alhamdulillah. Sekali lagi saya menangis gembira. 'Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu yang lemah ini sangat bersyukur; nikmat yang tidak terhingga yang Kau anugerahkan kepadaku'.

Saya menerima ratusan ucapan tahniah daripada berbagai pihak sama ada melalui panggilan telefon, sms, email dan facebook. Terima kasih atas sokongan anda semua!

Di tengah kekalutan dan kesibukan isu Felda, rakan-rakan Kedah memaklumkan cerita yang kurang enak didengar. Saya berulang alik ke Kedah memenuhi undangan ceramah dan program parti lebih 15 tahun. Saya mengenali rapat pimpinan PAS Kedah yang kini bergelar Exco Kerajaan Negeri. YB Nasir Mustapha, Adnan Saad, Aris Awang, Sanusi (Setpol YAB MB) adalah bekas pimpinan Pemuda PAS Kedah yang saya cukup rapat. Dari cerita mereka, sangat membimbangkan saya. Saya maklumkan kepada pemimpin kanan parti. Saya desak Hj Mohd Sabu, YB Salahudin dan Hj Mustapha Ali berbuat sesuatu dengan segera. Bayangkan, isu Felda dan Kedah betul-betul meletakkan saya selaku pemimpin PAS dalam tekanan yang tinggi. Harapan jutaan rakyat terpikul di bahu kami.

Mesyuarat Khas PAS Pusat pada 1 Mac 2012 di Pejabat Agung PAS, KL diadakan. Saya turut memberikan pandangan. Selesai membuat laporan polis di IPD Temerloh jam 12 tengah hari 3 Mac, saya bergegas ke Alor Setar. Sampai sekitar jam 9 malam. Selesai pertemuan serta sessi penghujahan Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Datuk Phahrolrazi, saya menyertai Mesyuarat Khas PAS Pusat. Sekali lagi saya memberikan pandangan. Tamat hampir jam 3 pagi. Saya ajak Sanusi, Setpol YAB Menteri Besar makan kerana perut terasa begitu lapar. Beberapa bulan kebelakangan ini selera makan saya merosot teruk. Saya percaya ada kaitan dengan rentetan polemik dan kemelut dua isu di atas.

Pagi Ahad, 4 Mac saya dan rakan-rakan dalam perjalanan balik ke KL singgah terlebih dahulu menziarahi AJK Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat, Sdr Saifulizan di rumah keluarganya di Taman Bee Bee Park, Alor Setar. Beliau dan isteri terlibat dengan kemalangan jalan raya. Berbeza ketika beliau masih dirawat di hospital swasta, Pulau Pinang; keadaannya makin bertambah baik walaupun perlu beberapa bulan lagi untuk pulih sepenuhnya. Hampir 10 tahun beliau membantu saya terutamanya menangani isu-isu Pulau Pinang. Seorang sahabat yang sangat komited dengan kerjanya.

Saya singgah di Butterworth jam 12.30 tengah hari. Bertemu YB Nasir Mustapha dan Aris Awang. Sebagai sahabat, saya mengingatkan mereka agar patuh dengan keputusan PAS Pusat. Saya berusaha menjadi pendengar yang baik. Pandangan mereka saya sampaikan kepada Salahudin. Saya rujuk kepada beliau kerana Salahudin adalah Pengerusi Jawatankuasa Khas Isu Kedah yang dilantik PAS Pusat. Saya sampai di rumah sekitar jam 11.30 malam.

Petang ini bila Salahudin memaklumkan berita ini; saya menulis untuk berkongsi kegembiraan ini. Berkongsi apa yang saya tanggung berbulan-bulan lamanya. Suka duka dalam mengharungi perjuangan sebenarnya suatu nikmat. Hari ini saya menerima NIKMAT BERGANDA. Meskipun saya memahami, ujian akan terus datang. Lawyer Haris hubungi saya tengah hari tadi. 8 Mac ini tempoh injunksi akan berakhir. Ada banyak lagi kerja yang mesti dibereskan. Sebentar tadi (9 malam) Sdr Taufeq salah seorang jawatankuasa Bertindak Isu Tanah Sg Kapal, Pengerang menelefon saya. Anak buahnya ditahan polis kerana pertahankan tanahnya daripada di ambil pemaju projek. Sudah pun di bawa ke IPD Kota Tinggi. Siang tadi YDP PAS Kota Tinggi, Hj Kamaldin juga menghubungi saya kerana beberapa orang anak Peneroka Felda Pasak mahu berjumpa kerana tidak berpuashati dengan pengagihan rumah Gen 2 yang tidak adil.

Sebagai anak Johor, saya dan Salahudin telah lebih 20 tahun bersama. Kami akan terus berjuang. Kemanisan dalam perjuangan yang tidak sama kalau nak dizahirkan dengan ungkapan kata-kata. Kepenatan dan keletihan tidak terperi rasanya. Tapi kami puas. Berbakti untuk rakyat, bersama denyut nadi rakyat. Sukar macam mana sekalipun, kami akan harungi, Insya Allah. Moga kami terus istiqamah berjihad di jalan Allah. Amin.

Mazlan Aliman
AJK PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
5 Mac 2012, selesai catatan 9.25 malam.

Tiada ulasan: