"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jamuan diRaja: Yayasan S’gor akui silap

SHAH ALAM: Yayasan Selangor hari ini mengakui kesilapannya mengadakan jamuan makan malam perdana sempena majlis ulang tahun ke-40 dua tahun lalu.
Pengarahnya Ilham Marzuki dalam penjelasannya semasa sesi pendengaran awam Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (Selcat) berkata, ini kali pertama pihaknya menganjurkan majlis melibatkan pihak istana.

Katanya, kesilapan itu terjadi apabila membuat keputusan secara ad-hoc dan melantik syarikat luar, Drift Z Enterprise sebagai pengurus acara sehingga menelan belanja RM270,750.

Beliau berkata bajet jamuan itu pada asalnya tidak melebihi RM50,000 namun selepas berbincang dengan pihak istana dan memikirkan tidak sesuai diadakan atas padang, maka belanja terpaksa dinaikkan.

Katanya, pembaziran turut berlaku apabila Sultan Selangor yang dijadualkan hadir pada majlis makan malam itu membatalkannya pada saat akhir sedangkan katering makanan daripada Hotel Concorde sudah dibayar bagi 1,000 jemputan.

Ilham memberitahu beliau tidak dimaklumkan perkara sebenar apabila hendak menganjurkan majlis membabitkan istana sedangkan khidmat itu boleh didapati melalui Bahagian Protokol di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

Protokol

“Saya mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang luas apabila membabitkan hal berkaitan protokol,” katanya yang dilantik menjadi pengarah sejak April 2010.

Ketika ditanya panel Selcat Haniza Talha, beliau turut mengakui majlis yang menelan belanja sebegitu besar tidak memberikan sebarang sumbangan pembangunan pendidikan di Selangor.

Berikutan itu, pihaknya sejak 13 Mei tahun lalu menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi memantau dan melicinkan lagi pentadbiran Yayasan Selangor sekaligus dapat mengelakkan masalah yang sama berulang.

Sementara itu, beliau berkata Yayasan Selangor kini mempunyai aset tetap berjumlah RM300 juta dan aset semasa bernilai RM51 juta.

Beliau turut memohon supaya satu badan forensik audit dalaman diwujudkan bagi menyiasat ketirisan aset Yayasan Selangor sejak tahun 1991 sehingga 2008 yang dianggarkan tidak kurang RM500 juta.

“Di pejabat saya ada dua troli fail ketirisan aset yang sebahagiannya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kalau masalah ini tidak berlaku aset Yayasan Selangor mungkin dapat mencecah RM800 juta,” katanya.

Jelasnya, objektif utama Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor itu diadakan adalah untuk meraikan nostalgia Sultan Selangor dan 2,500 pelajar tajaannya memandangkan Asrama Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu bakal ditutup dan dirobohkan.

Selcat yang dipenegerusikan Dato’ Teng Chang Khim hari ini mendengar penjelasan Yayasan Selangor yang mengalami ketirisan sehingga RM1.4 juta bagi tahun 2010 akibat perbelanjaan secara tidak berhemah.

Tiada ulasan: