"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Exco: Phahrolrazi, Ismail akur keputusan PAS Pusat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Isu pergolakan kerajaan negeri Kedah selesai apabila Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh akan menyertai semula barisan Exco kerajaan negeri.


"Matlamat saya sudah tercapai, saya akan sertai semula Exco," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya, apa matlamat itu, Phahrolrazi berkata, beliau mahu pentadbiran negeri Kedah dijalankan secara berjamaah.

"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau lagi.
Dr Ismail Salleh pula ketika dihubungi berkata, beliau juga menerima baik keputusan PAS Pusat dan akan menyertai semula exco sebagaimana yang diarahkan.
"Kami buat baru-baru ini macam kamikaze untuk meminta pimpinan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku di Kedah ini. Sekarang semua dah beri perhatian dan mekanisma pentadbiran juga dibentuk melalui Jawatankuasa Pemandu, kami akan sertai semula exco selepas diarahkan," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau memberi jaminan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkuatkan PAS dan menjatuhkan Umno di negara ini.
"Kami tidak ada niat lain melainkan untuk kepentingan jamaah. Kami bukan nak jadi Hasan Ali. Tok Guru Haji Hadi tok guru kami, ustaz kami. Kami hormati mereka," kata Dr Ismail yang bersama Phahrolrazi tidak mengangkat sumpah exco baru-baru ini.
Kedua-dua mereka mengulas keputusan PAS Pusat yang menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau semua kerajaan negeri yang ditadbir dan disertai PAS.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Alor Setar awal pagi semalam.

Meyuarat itu diadakan selepas pertemuan muhibbah PAS Pusat dan PAS Kedah yang diadakan sebelum itu iaitu mulai jam 10 malam Sabtu hingga jam 3.00 pagi semalam.

Pagi ini, di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan keputusan mesyuarat JK Pusat di Alor Setar semalam.

"Dalam mesyuarat tersebut kita telah memutuskan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar.

"Selain itu juga kedua-dua exco perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah.

"PAS akan menubuhkan satu JK Pemandu untuk membantu negeri-negeri yang PAS tadbir dan negeri yang PAS sertai," jelasnya ketika bercakap pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Tiada ulasan: