"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mashitah sempurnakan kebangkrapan moral Umno



"SELAMA 40 tahun dalam BN, saya tidak faham Islam tetapi dengan PAS dan PKR saya faham idealismenya. Umno tidak pernah ajar agama sebaliknya PAS yang mengajar saya mengenai Islam...," itulah pengakuan berterus terang bekas Naib Presiden MCA, Dato' Dr Chua Jui Meng ketika dijemput menjadi panelis program Wacana Sinar anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, 29 Februari lalu.

Sejauh mana Umno berperanan menyampaikan Islam dan memberi kefahaman Islam kepada ahli-ahlinya juga kepada parti-parti kerabat BN yang lain? Jika apa yang dikatakan Dr Chua itu boleh dijadikan sandaran, jelas Umno yang menjadi parti teras dalam BN gagal mempromosikan imej positif Islam walaupun sering mengakui bahawa perjuangannya berteraskan agama dan bangsa. Malah konotasi "Melayu itu Islam" dan "Islam itu Melayu" seringkali terpacul daripada mulut para pemimpin Umno.

Kegagalan Umno ini tidak menghairankan apabila kita melihat reaksi melampau parti sekutunya MCA dalam menangani isu pelaksanaan hudud. Walaupun cadangan pelaksanaan hukum jenayah syariah termasuk hudud hanya terpakai kepada penganut Islam, MCA menentangnya secara bersungguh-sungguh tanpa menghiraukan sensitiviti dan perasaan umat Islam negara ini yang majoritinya menyokong cadangan tersebut.

Apa yang lebih mendukacitakan, sikap anti-syariah MCA ini tidak langsung mendapat bantahan daripada Umno mahupun kumpulan-kumpulan pendesak Melayu seperti Perkasa. Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh MCA terhadap parti Melayu itu. Walaupun seringkali menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam tanpa sebarang sandaran hujah, Umno dan Perkasa tetap mengambil sikap berdiam diri apabila syariah Islam dihina oleh MCA terutama Presidennya, Dr Chua Soi Lek.

Dalam membicarakan kegagalan Umno mempertahan kesucian Islam dan melaksanakan tanggungjawab dakwah, pastinya kita tidak boleh lari daripada memperkatakan tentang peranan 'orang agama' dalam parti nasionalis sekular itu. Jelas 'orang agama' Umno yang sering diberi tanggung jawab menerajui institusi-institusi agama dan menjawat portfolio berkaitan Islam dalam kerajaan gagal menjalankan peranan sebagai da'ie (pendakwah) atau sekurang-kurangnya memberi 'nafas Islam' kepada Umno dan BN.

Lebih mendukacitakan apabila 'orang agama' Umno ini turut hanyut dalam kebejatan politik dan terikut-ikut dengan amalan politik Machiavelli majoriti pemimpin Umno.

Lihat sahajalah ruangan kolum 'Langit Terbuka' orang agama Umno, Dr Mashitah Ibrahim yang tersiar dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Mac lalu. Dalam tulisan bertajuk 'Skandal seks, krisis politik Pakatan', Mashitah secara tidak beretika cuba mengaitkan para pemimpin PAS dan KeADILan dalam apa yang disebut beliau sebagai 'krisis moral' pemimpin pakatan pembangkang.

Antara yang menjadi mangsa serangan beliau adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Dr Badrolamin Baharon yang sangat diyakininya telah melakukan khalwat dengan isteri orang. Walaupun Dr Badrolamin dan wanita terbabit menafikan dakwaan liar itu dan hanya diminta memberi keterangan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mashitah sudah meyakini bahawa mereka telah melakukan khalwat.

Beliau juga menyerang Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana kononnya dibebaskan daripada dua tuduhan liwat 'atas sebab-sebab teknikal' dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kerana pernah ditangkap khalwat di Kota Bharu dan dibebaskan daripada tuduhan itu oleh 'Mahkamah Kelantan'. Mashitah juga tidak teragak-agak menyambung fitnah Umno dengan mendakwa Adun PAS Selising ditumbuk seorang lelaki di stesen keretapi Wakaf Bharu beberapa tahun lalu kerana disyaki berzina dengan isteri orang dalam gerabak keretapi.

Paling biadap, lulusan doktor falsafah bidang Usuluddin itu terus menjadi 'penyambung lidah syaitan' apabila mendakwa kononnya Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang terpalit dengan 'skandal membabitkan anak dara' kira-kira sepuluh tahun lalu. Tulis Mashitah, "Beliau (Tuan Guru Abdul Hadi) dikatakan mengambil gadis itu untuk dijadikan isteri ke-3..."

Adalah tidak menghairankan jika tuduhan dan dakwaan bertaraf sampah ini dibuat oleh blogger-blogger Umno yang sememangnya tidak beretika dan bankrap akhlak. Tetapi jika ianya datang daripada seorang ilmuwan agama Umno, berkelulusan doktor falsafah dan memegang jawatan Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal Islam, ia adalah sesuatu yang sukar diterima akal!

Sebelum ini pun Mashitah telah mencetus beberapa kontroversi tidak perlu seperti mempersendakan hukum hudud, mendakwa wanita boleh melacur jika darurat dan bergaduh dengan jiran hanya semata-mata kerana rumput halaman rumah.

Adakah beliau begitu terdesak untuk disenaraikan sebagai calon BN sehingga sanggup melemparkan tuduhan tidak berasas kepada lawan politik bagi membuktikan kesetiaannya kepada Umno dan BN?

Adakah beliau tidak merasa ngeri melihat medan politik Melayu Islam sudah begitu teruk bergelumang dengan fitnah qazaf sehingga beliau turut mahu menyumbangkan saham menyebarluaskan 'budaya lendir dan hanyir' itu?

Nampaknya 'orang agama' Umno sudah jauh tersasar daripada landasan kebenaran. Mereka bukan sahaja gagal berperanan sebagai pendakwah; malah turut merosakkan lagi imej Umno yang sudah sedia busuk dan reput di mata umum.

Jika Menteri Agama Umno, Dato' Seri Jamil Khir Baharom menyalahgunakan wang zakat untuk membiayai kempen politik dan menghalang pertuduhan qazaf; Mashitah sebagai Timbalan Menteri Agama pula membantu mengukuhkan 'politik lendir dan hanyir' bagi menghadapi lawan politik.

Orang agama Umno nampaknya gagal mengislahkan parti nasionalis sekular itu. Mereka sebaliknya membantu menyempurnakan kebankrapan moral dan akhlak Umno!

1 ulasan:

Quantum Metal Consultant berkata...

Tulisan tuan patut jadi cermin untuk tuan lihat diri sendiri, tak perlu menuding kepda pihak lain.

Jangan seperti ketam menyuruh anaknya berjalan 'betu'.