"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Noh Omar gagal kemuka bukti penyelewengan pasir KSSB

SHAH ALAM: Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) kesal tindakan sesetengah pihak yang membuat tuduhan kononya berlaku penyelewengan dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), namun tidak tampil mengemukakan sebarang bukti.
Pengerusinya Datuk Teng Chang Khim berkata, Selcat sebagai jawatankuasa dewan hanya berkuasa untuk membuat siasatan berdasarkan bukti yang dikemukakan sahaja, tetapi tidak ada kuasa untuk membuat rampasan, sitaan atau sebarang tangkapan bagi mendapatkan keterangan.

“Saya kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang membuat kenyataan dan tuduhan terhadap KSSB dan Selcat, yang kononnya banyak bukti tetapi langsung tidak membantu pihak Selcat dalam pendengaran awam.

“Kita memang mengalu-alukan bukti tersebut. Namun tanpa bukti tersebut kita tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya bergantung kepada bukti yang dibentangkan,” katanya selepas mempengerusikan pendengaran awam Selcat pagi tadi.

Teng berkata, isu penyelewengan yang dibangkitkan terhadap KSSB ini tidak mempunyai laporan audit, sebaliknya hanya berdasarkan kepada laporan negatif oleh pihak tertentu.

Beliau dalam pada itu turut berharap supaya semua pihak dapat memahami dengan lebih mendalam lagi peranan sesebuah jawatankuasa dewan seperti Selcat yang hanya bertindak berdasarkan laporan atau bukti yang diterima.

“Ada menteri yang menuduh Selcat ibarat mati hidup semula. Tapi sekurang-kurangnya Selcat hidup semula.

“Tapi menteri ini perlu tahu kalau di Parlimen yang sudah bersidang lebih 50 tahun, jawatankuasanya seperti hidup segan mati tak mahu. Itu lagi teruk,” katanya sinis.

Rasuah pemberian permit

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti kegiatan rasuah pemberian permit perlombongan pasir dan mencabar kerajaan negeri menyiasat dakwaan tersebut.

Namun Noh sehingga kini tidak mengemukakan sebarang bukti dokumen penyelewengan bagi membolehkan beliau hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Suhaimi Shafiei menyifatkan tuduhan Noh itu sengaja dirancang untuk memburukkan lagi imej kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Malah kuat membuktikan kedudukan BN semakin tergugat memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU-13) yang semakin hampir sehingga sanggup mengupah penulis blog Raja Petra Kamarudin mengeluarkan artikel yang tidak berintegriti, katanya.

Sebelum ini Raja Petra telah mendakwa bahawa dua ahli dewan negeri (Adun) Selangor dari PKR, Shuhaimi dan Amiruddin Shari (Batu Caves) terlibat dalam skandal perlombongan pasir di negeri itu. Mereka bagaimanapun menolak dakwaan pengendali blog Malaysia Today itu.

Pendengaran awam Selcat selama tiga hari ini melibatkan tiga kes GLC iaitu KSSB, Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Selcat dipengerusikan Teng serta empat panel yang terdiri daripada Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali, Saari Sungib (Hulu Klang), Haniza Talha (Taman Medan) selain wakil BN yang juga Adun Permatang Sulaiman Abd Razak.

Tiada ulasan: