"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bertunang: Rakyat perlu bukti, bukan sekadar nafi

Mohd Rafizi Ramli
Saya menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangrila yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri.

Persoalan saya memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Perdana Menteri.

Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam Barisan Nasional memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran bagi majlis itu.

Oleh yang demikian, untuk membersihkan nama beliau, saya menyeru Dato’ Seri Najib Tun Razak menjawab perkara-perkara berikut dengan mengemukakan dokumen rasmi sebagai bukti perbelanjaan pertunangan anak beliau tidak dibayar oleh rakyat:

Pertama, beliau perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangrila itu adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak beliau;

Kedua, beliau perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakan oleh saya adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu;

Ketiga, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;

Keempat, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia;

Kelima, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia;

Keenam, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia; dan

Ketujuh, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut; dan

Kelapan, beliau perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

Sekiranya Perdana Menteri berjaya mengemukakan dokumen-dokumen ini dan membuktikan tidak pernah sekalipun caj tanggungan berjumlah hampir setengah juta itu direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia, barulah rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia.

Jika tidak, beliau akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi tujuan peribadi.

Mohd Rafizi ialah Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: