"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat melihat pembabitan Najib dalam kes Altantuya

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Penghakiman penuh oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kes Altantuya, tidak dapat menghidar rakyat dari melihat kaitan Datuk seri Najib Razak dengan kes pembunuhan itu, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Riduan Mohd Nor.

Lebih menimbulkan persoalan, katanya, penghakiman Datuk Mohd Zaki Md Yasin merumuskan bahawa motif pembunuhan tidak penting, walaupun ia relevan.

“Jika tujuan pembunuhan tidak penting, mengapa Altantuya dibunuh?,” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kes tersebut, dua anggota unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung.

Manakala tertuduh ketiga, Abdul Razak Baginda- seorang kenalan rapat perdana menteri dibebaskan oleh mahkamah tanpa diarah membela diri.

Azilah merupakan pegawai pengiring Najib ketika menjadi timbalan perdana menteri, manakala Sirul pula ialah sebagai pegawai keselamatan UTK Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Tidak mungkin anggota polis melakukan jenayah ini tanpa sebab dan mesti ada arahan dari mereka yang lebih tinggi darinya untuk melakukan perbuatan itu.

“Soalnya, bagaimana kedua-dua anggota ini yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat melakukan operasi membunuh ini dengan begitu kejam?,” ujarnya.

Menurutnya, dalam kes pembunuhan Sosilawati misalnya, kes itu disiasat dengan teliti sehingga motif pembunuhan dapat diketahui.

Ia katanya berbeza dalam kes Altantuya apabila motif pembunuhan seolah cuba ditutup.

“Walau apa pun alasannya, rakyat melihat pembabitan Datuk Seri Najib dalam kes ini.

“Meskipun mungkin beliau tidak terlibat secara langsung, namun pembabitan kedua-dua anggota keselamatan dalam kes ini amat merendahkan reputasi beliau,” ujarnya.

Beliau juga menimbulkan persoalan samada perdana menteri itu sanggup memohon maaf kepada keluarga Altantuya atas pembabitan bekas pegawai keselamatannya dalam kes pembunuhan itu.

“Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia?

“Berjiwa besarlah beliau jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap wanita Mongolia itu,” ujarnya.

Tiada ulasan: