"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SU Agung Pas: Sah Fauzi calon Larut

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan kawasan Parlimen Larut akan diwakili oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.

Sehubungan itu kata Mustafa, masalah calon di kawasan itu sudah pun diselesaikan dan ia diterima baik oleh akar umbi parti itu.

"Fauzi itu, memang tidak ada masalah. Dia adalah calon untuk kawasan Larut. Itu saya boleh sebut lah," ujar Mustafa.

Memberitahu kepada Sinar Harian Online, dakwaan bahawa ahli Pas kawasan tersebut yang sebelum ini dikatakan tidak berpuas hati dengan pemilihan Fauzi dan mahu memboikot sudah pun diselesaikan.

"Mereka memang sudah terima pun," katanya dalam temu bual khas semalam.

Laporan sebelum ini menyebut Fauzi, yang menjadi ahli Pas tahun ini, belum sah menjadi calon kawasan Larut.

Strategi Pas Pusat untuk meletakkan Fauzi yang baru empat bulan menjadi ahli Pas menimbulkan kekecohan di kawasan itu apabila Yang Dipertua Pas kawasan Larut, Dr Mohd Dhari Othman yang dipersetujui sebagai calon kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selama, terpaksa digugurkan.

Calon baru di kerusi Dun Selama pula adalah Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri, Mohd Akmal Kamaruddin yang terpaksa memberi laluan kepada Fauzi membuatkan ahli Pas kawasan itu berang.

Kemuncak kepada itu, 1,500 ahli Pas di enam cawangan utama dalam Dun Selama dikatakan nekad tidak mahu mengundi pada PRU13 ekoran pengguguran Dhari.

Tiada ulasan: