"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi harus diajar, caranya terserah

Mohd sayuti Omar
Yang sempat saya baca ada dua orang pengamal undang-undang (peguam) yang memberi pandangan atau nasihat kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai cadangannya untuk saman Naib Presiden Umno Zahid Hamidi yang dianggap telah memfitnah dan memburukkan dirinya dengan fahaman Syiah. Zahid membuat dakwaan itu semasa di pentas Umno.

Seorang darinya, Dr Zulqranian Lukman penguam muda yang meningkat naik dan juga aktivis Pas. Manakala seorang lagi Zaid Ibrahim seorang pengamal undang-undang berpengalaman dan terkenal serta bekas menteri undang-undang di zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Zulqranian memberi pandangan dari sudut prosuder perundangan berpandukan kepada kes-kes yang telah lepas berhubung keberkesanan (kejayaan) atas tindakan bakal dilakukan Mohamad Sabu itu. Mengikut hematnya bukan mudah Mohamad Sabu akan menang dengan saman itu.

Beliau mengambil contoh macam mana Anwar Ibrahim sewaktu menyaman Mahathir Mohamad apabila Mahathir menuduh bekas TPM itu peliwat, ia dengan mudah ditolak mahakmah. Alasan yang diambil oleh mahkamah apa yang Mahathir kata itu sebagai termasuk dalam rukun-rukun, komen berpatutan (fair comment), atau kepentingan bersyarat (qualified privilege), kepentingan mutlak (absolute privilage) atau justifikasi (justification). Zulqarnaian tidak menyebut kemungkinan mahkamah tolak kerana pengaruh dan kedudukan Mahathir?

Berdasar apa dilalui Anwar itu, Zulqarnain mengingatkan Mohamad Sabu agar tidak mudah mengambil tindakan mahkamah. Sebalik apa yang disarankan ialah, agar Mohamad terlebih dahulu menyelesaikan kes itu dengan membiarkan pihak KDN atau kerajaan negeri mendakwanya atas kesalahan disebut Zahid itu. KSU Kementerian Dalam Negeri, segeralah saman Mohamad Sabu sebab anda telah mendedahkan 10 bukti Mohamad Sabu sebagai Syiah? Sila... sila...

Dalam kata lain menurut Zulquranian, Mohamad harus mendapat kata putus mengenai kedudukannya dari segi perundangan atau tafsiran agama mengenai Syiah baru membuat tindakan ke atas Zahid.

Sesudah mahkamah menentukan dimana (jikalau) Mohamad didapati bukan seorang penganut ajaran Syiah seperti dituduh Zahid barulah saman boleh dikemukakan terhadap Zahid. Bagaimana pun beliau menyebut soal Syiah ini bukan mudah untuk ditetapkan oleh mahkamah. Cara itu bagi Zulqarnaian lebih kemas dan tuntas.

Kalau berdasarkan kepada pandangan Zulqarnain yang bersifat akademik dan rasioanl itu seharusnya sebelum menteri "badigo' itu membuat tuduhan ke atas Mohamad Sabu beliau (Zahid) patut meminta KDN atau mana-mana kerajaan negeri mendakwa Mohamad Sabu dan biarlah mahkamah menentukan apakah timbalan presiden Pas itu Syiah atau tidak. Tidak beliau yang membuat tuduhan dahulu kemudian baru meminta bukti. Amalan dan stail demikian bukan sejajar dengan syariah Islam.

Buruk dan jelek sangat orang yang dikatakan mendapat pendidikan agama, mampu hafal dua tiga kerat ayat-ayat Quran tergamak membuat tuduhan membuta tuli dan emosi. Orang seperti inilah yang dikatakan kail sejengkal tetapi lautan dalam hendak diduga. Mengaji belum khatam tetapi sudah mengembara jauh untuk menjadi guru? Ueekkkkk.

Pandangan Zulqarnain itu lebih adil dan munasbah daripada pandangan Zaid Ibrahim. Zaid lebih tegas dan jelas katanya tidak ada guna Mohamad Sabu membuang masa dengan melayani karenah politik kayu Zahid Hamidi. Apa yang penting bagi Mohamad kepada Zaid, Mohamad Sabu harus menentang Zahid Hamidi dalam pilihan raya ke-14 kelak.

Menurut pandangan Zaid, saman itu tidak memberi kesan kepada Zahid Hamidi sebalik ia boleh mencalarkan imej Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden Pas. Sesungguhnya martabat Mohamad Sabu dalam politik jauh lebih tinggi dari Zahid Hamidi hanya menjadi penyanyi lagu tiga kupang dalam Umno untuk mendodoikan Rosmah Mansor dengan kedudukan sebagai naib presiden saja.

Menurut Zaid, sebaliknya Zahid lebih takut kepada Mohamad untuk berdepan dalam pilihan raya ke-14. Mungkin juga, sebab itulah Zahid beriya mahu membunuh karektor dan kepimpinan Mohamad Sabu.

Mungkin pandangan Zaid itu berpandukan amalan dan sejarah perundangan di negara ini. Mungkin juga dia melihat apa berlaku kepada Anwar Ibrahim bila berdepan dengan Mahathir di mahkamah. Dalam keadaan mahkamah boleh dibeli, dirunding ... tidak mudah untuk Mohamad Sabu menang. Dan sebagai bekas peguam Umno dan menteri Umno Zahid tahu apa yang ada dalam kotak simpanan Umno.

Kedua pandangan peguam itu boleh ditimbang terima oleh Mohamad Sabu. Kedua-dua pandangan itu munasabah dan postif. Tetapi apa yang perlu dilakukan sama ada menerusi saluran apa, dan bagaimana Mohamad harus mengajar Zahid Hamidi secukup-cukupnya. Kedudukan dia sebagai menteri KDN bukan lesen atau jaminan untuk dia kebal selama-lamanya. Perwatakan baiknya, mudah mesra bukan ufti untuk tidak menyerang dan membalas serangannya. Jahat harus dilawan dengan jahat.

Yang pentingnya Zahidi Hamidi harus diajar sama ada di mahkamah atau pun didalam politik. Orang seperti Zahid tidak boleh dibiarkan dan dimaafi lagi. Perbuatan, tingkah lakunya sudah cukup untuk mengenali siapa dia sosok ini dan banyak kenyataan dan aksinya mencederakan keharmonian orang Melayu.

Bencana besar yang dilakukan oleh orang ini ialah menghancurkan kerjaya dan masa depan Anwar Ibrahim. Anwar tidak akan musnah awal kalau bukan kerana nafsu besar Zahid Hamidi dan kuncu-kuncunya. Siapa yang mula mengkritik dengan biadab Mahathir Mohamad dalam perhimpunan agung kalau bukan Zahid Hamidi?

Sifat oportunis yang dimiliknya yang suka mencari batas di antara dua lautan demi hidup meletakkan dia bukan seorang pemimpin yang boleh diharapkan. Orang mempunyai sifat begini ia boleh menjual bukan saja bangsa tetapi negara juga. Dia lebih mementingkan dirinya sendiri.

Ada individu tertentu mengharapkan Zahid menjadi tokoh yang mempersatukan orang Melayu, Umno - Pas. Mereka ini mempercayai Zahid akan menjadi penyelamat. Penyelamat apa? Apa yang boleh diharap kepada orang talam dua muka.

Kepercayaan itu diletak atas dasar hubungan peribadi mereka dengan Zahid. Namun matemetika politik Zahid tidak boleh diyakini dia akan muncul seperti mana diharapkan. Cara politik Zahid yang menggunakan PR sebagai modal dan aset tidak boleh dipakai dan dipercayai. Beberapa peristiwa masa lalu telah mengenalkan kita siapa Zahid kepada kita.

Di sinilah ada kebenarannya kenapa Mahathir Mohamad menjera orang ini selama masa menjadi ketua pemuda Umno dahulu. Apa yang Mahathir nampak orang ini adalah talam dua muka, mempunyai dua ketua dalam satu masa. Ibarat mempunyai dua isteri satu dizahir dan satu lagi disembunyikan. Sifat-sifat ini juga sebahagian besar pemuda yang bersamanya dulu dalam Gerak Bakti Pemuda Umno menyumpah dan akan menjebeh bila disebut Zahid bakal menjadi PM ke lapan? Porahhh.... sumpah seorang yang dahulu menganggap Zahid adalah pemimpin dan heronya. [wm.kl.9:49 am 15/12/13]

Tiada ulasan: