"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir: K'tan meruncing, Kedah kian pulih

Banjir di Kelantan semakin meruncing apabila jumlah mangsa kini mencecah 81,925 orang manakala keadaan di Kedah semakin pulih setakat tengah hari ini.

Di Kelantan, 26,000 mangsa direkodkan di Tumpat, menjadikan jajahan itu paling teruk terjejas diikuti Kota Bharu dengan 24,034 mangsa.

Jajahan Pasir Mas juga masih mencatatkan jumlah mangsa yang tinggi iaitu 12,332 orang, Kuala Krai (5,200 orang) Gua Musang (5,150), Machang (4,039), Tanah Merah (3,548)Jeli (1,430) dan Pasir Puteh (192).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata kesemua mangsa daripada 20,177 keluarga itu ditempatkan di 254 pusat pemindahan.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sepanjang laluan utama dari bandar Kota Baharu ke Pengkalan Chepa telah dinaiki air, dan kebanyakan kawasan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Sabak, Jalan Pengkalan Chepa, dan Jalan Tok Guru.

Di Kedah, keadaan dilaporkan beransur pulih dengan baki 13 mangsa telah dibenarkan pulang dan pusat pemindahan terakhir di daerah Bandar Baharu telah ditutup.

Berbeza di Terengganu, 35,246 penduduk melibatkan 6,750 keluarga masih berada di pusat pemindahan.

Daerah Kemaman masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 25,055 orang, diikuti Dungun (8,725 orang), Kuala Terengganu (1,247 orang) dan Hulu Terengganu (219 orang).

Sebanyak 99 pusat pemindahan masih dibuka iaitu 50 di Kemaman, Dungun (35), Kuala Terengganu (9) dan Hulu Terengganu (5).
-Bernama-

Tiada ulasan: