Malaysiakini
Satu klip video yang memaparkan kenyataan lantang seorang pelajar Universiti Malaya (UM) mengenai skandal Tabung Haji dan kutipan derma bagi membantu Najib Razak membayar denda RM50 juta menarik perhatian orang ramai.
Ummi Umairah Bakhit meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.
“Berlaku skandal Tabung Haji yang melibatkan beberapa tokoh politik. Perkara paling bodoh yang pernah saya lihat sepanjang hidup saya ialah orang ramai menderma kepada bekas perdana menteri Najib, sedangkan beliau jelas berdepan kes rasuah yang serius, iaitu 1MDB, dan mempunyai kaitan yang jelas dengan rasuah.
“Bagaimana anda akan menasihati pemimpin masa depan supaya berani bersuara menentang rasuah dan feudalisme, berfikir secara kritis serta mengemukakan fakta dan data statistik?” katanya.
Soalan itu dikemukakan dalam satu sesi dialog anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang menampilkan Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.
Khairy memuji soalan itu sebelum memberikan jawapan secara terus terang.
“Apa yang salah tetap salah.
“Kita tidak sepatutnya takut bercakap mengenai rasuah walaupun ia melibatkan pemimpin kita. Apa yang salah tetap salah. Perkara yang tidak boleh dipertahankan, jangan dipertahankan. Salah urus tetap salah urus.
“Jika terdapat kes yang perlu dijawab, kita mesti bertanggungjawab terhadapnya dan tidak sekali-kali berkompromi dalam soal integriti. Saya berkata demikian sebagai seseorang yang pernah berkhidmat dalam kerajaan itu,” katanya.
Ketika skandal 1MDB tercetus, Khairy antara individu yang menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaan firma pelaburan itu untuk melunaskan hutangnya.
Bagaimanapun, dia juga antara pihak yang menafikan wujudnya unsur rasuah apabila timbul dakwaan bahawa AS$681 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Seperti ramai anggota Kabinet yang lain, Khairy turut mengulangi naratif bahawa wang berkenaan merupakan sumbangan politik daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Pendirian Khairy berubah selepas BN tewas dalam pilihan raya umum 2018. Sejak itu, dia juga lantang mengkritik Najib dan skandal 1MDB.
Sementara itu, Amirudin dalam respons ringkasnya kepada Umairah berkata dia gembira kerana golongan muda masih mengambil berat tentang rasuah, yang menurutnya sudah lama menjadi masalah.
Onn pula memulakan jawapannya dengan menyifatkan rasuah sebagai barah yang menghalang kemajuan.
Bagaimanapun, dia berkata dasar kerajaan dan usaha memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten, manakala agensi penguatkuasaan tidak seharusnya dijadikan senjata untuk meraih kepentingan politik.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira parti politik. Pada pandangan saya, apa yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini ialah penganiayaan politik dan pendakwaan terpilih,” katanya.
Dia kemudian mengingatkan bahawa pemimpin Islam yang mengkhianati amanah, sama ada melalui rasuah atau penyalahgunaan kuasa, tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan pada masa depan walaupun mereka terlepas daripada hukuman di dunia.
Dalam sesi itu, Khairy turut menjawab soalan pemimpin kesatuan pelajar UM, Aiman Izzat Shamsuddin, mengenai sama ada pemimpin perlu mengutamakan keputusan yang dibuat dengan pantas atau keputusan yang tepat.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, berkata ramai ahli politik takut membuat keputusan sukar kerana bimbang kehilangan sokongan dalam pilihan raya.
“Ini kerana kita memikirkan pilihan raya seterusnya, bukannya generasi seterusnya. Itulah sumpahan yang dihadapi ahli politik dan kita memerlukan pemimpin yang memikirkan generasi seterusnya, bukan hanya pilihan raya akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui bahawa bercakap memang mudah, tetapi keadaan menjadi lebih sukar apabila seseorang sudah memegang kuasa.
Menurutnya, setiap perdana menteri mahu melakukan perkara yang betul, tetapi hanya Dr Mahathir Mohamad yang berjaya melaksanakannya ketika penggal pertamanya sebagai perdana menteri, berikutan keupayaannya memenangi pilihan raya.
“Sekarang, majoriti mudah pun tidak dapat diperoleh. Tiada parti yang mampu memenangi majoriti mutlak dengan sendirinya, jadi mereka takut.
“Jadi, apa yang saya katakan ialah pilihlah pemimpin yang tidak takut kalah.
“Saya pernah kalah dan saya tidak takut untuk kalah. Jadi, pilihlah pemimpin yang tidak takut kalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan