Timmy Say
“Jom lawan Azmin!” Itulah mood yang sedang dibina secara tidak langsung oleh Rafizi Ramli yang melancarkan kempennya untuk berebut jawatan timbalan presiden PKR yang disandang Datuk Seri Azmin Ali.
Dengan penyertaan Nurul Izzah Anwar, anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ini dan juga calon tunggal presiden PKR akan datang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam kem Rafizi, pemilik badan pemikir Invoke telah melahirkan persepsi inilah barisan yang dikehendaki keluarga presiden PKR.
Sama ada persepsi itu betul mahupun tidak, asalkan persepsinya begitu, maka ia akan dianggap betul di dalam PKR kerana itulah makanan harian mereka.
Apapun, niat Rafizi bertanding adalah untuk menyingkirkan Azmin dan kini ia diketahui umum. Apa pergeseran yang berlaku di antara mereka, hanyalah mereka yang tahu.
Rafizi berkata, antara sebab beliau berebut jawatan timbalan presiden PKR ialah untuk membebaskan PKR daripada budaya “salam cium tangan” dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.
Tiada hadiah untuk sesiapa yang dapat meneka kem mana yang dimaksudkan Rafizi sebagai pembawa budaya itu.
Berbalik kepada Azmin, sebenarnya Rafizi adalah penyumbang terbesar secara tidak langsung kepada perkembangan pesat politik Azmin yang tidak diketahui umum.
Sebelum Langkah Kajang yang dicipta Rafizi, Azmin cumalah seorang Adun biasa dan ahli Parlimen di Selangor. Ketika itu, yang memegang jawatan menteri besar Selangor ialah Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak sebulu dengan Azmin.
Azmin mendapat durian runtuh apabila Langkah Kajang Rafizi gagal menaikkan Wan Azizah mahupun Anwar sebagai menteri besar Selangor dan jawatan itu jatuh ke tangan Azmin. Bermula dari situlah kerjaya Azmin berkembang pesat sehinggalah kini beliau menjadi menteri hal ehwal ekonomi.
Meskipun Azmin ditekan dan diserang pelbagai arah di dalam PKR, kepetahan politik Azmin menyebabkan beliau sentiasa berada di depan Rafizi mahupun Anwar, dan kedudukan Azmin tidak pernah goyah, walaupun suatu ketika Rafizi pernah memegang jawatan setiausaha agung PKR.
Contoh terbaru yang menonjolkan lagi kehebatan berpolitik Azmin di dalam PKR ialah siapa yang menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.
Ia bukan satu kebetulan Adun Dusun Tua, Amirudin Shari dipilih menggantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor dan bukannya Dr Idris Ahmad seperti yang diwar-warkan media sebagai pilihan utama.
Seperti Langkah Kajang, Azmin masih mendiamkan diri terhadap pendiriannya di dalam pemilihan PKR. Beliau membiarkan Rafizi melancarkan segala “kerjanya” dahulu.
Baru-baru ini, ada 4 peletakan jawatan di dalam PKR Selangor yang didakwa tidak berpuas hati dengan amalan “kronisme dan nepotisme” di dalam lantikan ahli majlis.
Dan kebetulan, isu ini mendapat perhatian Datuk Johari Abdul yang diumumkan Rafizi sebagai salah satu anggota pasukannya semalam yang menggesa “kepimpinan Selangor” menyiasat dakwaan kronisme dan nepotisme di dalam parti kerana ia berpotensi menjejaskan reputasi kerajaan negeri.
Siapa pengerusi PKR Selangor? Sudah tentunya Azmin! Jadi, tidak perlulah kita teka siapa yang sedang disasarkan Johari daripada pasukan Rafizi di dalam gesaannya di atas.
Tiada apa yang akan berlaku kepada Rafizi, sekiranya beliau tewas di dalam perebutan kuasa kali ini. Namun, jika Azmin dan pasukannya tewas, Azmin mungkin terpaksa kembali ke zaman sebelum Langkah Kajang.
Apakah Azmin akan tumbang di tangan Rafizi kali ini?
Ataupun Rafizi akan tersilap taktik lagi sehingga membawa kerugian kepada Anwar dan memberikan durian runtuh sekali lagi kepada Azmin sehinggakan akhirnya Azmin bakal menguasai PKR secara total dan bebas daripada kongkongan keluarga Anwar?
Yang paling penting, apakah kesudahan yang diinginkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan