1. Petang tadi (3.30 pm - 5.30 pm), aku berada dalam majlis Tun M bersama para ulama dan cendekiawan muslim daripada pelbagai pertubuhan di pejabatnya.
2. Majlis yang berlangsung dalam bentuk dialog ringan itu dihoskan oleh pejabat Menteri di JPM (Agama). Seramai sekitar 45 orang ulama dan cendekiawan muslim hadir dari seluruh negara.
3. Tun M seperti biasa secara bersahaja menyampaikan idea-ideanya tentang Islam dari sudut pandangnya sebagai seorang muslim yang berstatus PM yang mahu melihat Malaysia menjadi negara Islam contoh untuk seluruh dunia Islam.
4. Baginya, negara-negara Arab gagal dalam menampilkan diri sebagai negara Islam contoh apabila negara-negara itu sering berperang sesama sendiri kerana pelbagai sebab yang tidak membawa sebarang faedah.
5. Beliau turut menekankan dua aspek penting yang yang mesti dikuasai oleh orang Islam iaitu ilmu dan teknologi yang asalnya dikuasai oleh orang Islam tetapi kini berada di tangan orang lain.
6. Tun M turut menafikan tanggapan sebahagian orang Islam yang tidak bersetuju dengan caranya dalam menanggapi isu-isu Islam sebagai penolak hadis. Katanya, "Saya tidak menolak hadis yang sahih...!"
7. Menurutnya, beliau lebih menumpu kepada usaha memahami kandungan al-Quran kerana beliau yakin kandungan al-Quran sudah lengkap untuk memandu manusia menuju kejayaan dalam kehidupan.
8. Katanya, beliau sebagai orang Islam biasa tentu tidak mampu memahami hadith dengan mendalam tetapi menerima semua ajaran hadith yang tidak bercanggah dengan al-Quran.
9. Pengetahuannya tentang ayat al-Quran yang muhkamat dan mutasyabihat juga baik. Bahkan katanya, orang Islam tidak mengutamakan tuntutan ayat muhkamat untuk dilaksanakan seperti tuntutan memelihara hubungan persaudaraan.
10. Ketika beliau bercakap tentang keganasan ISIS yang menyembelih orang Islam lain yang tidak sefahaman dengan mereka sambil melaungkan takbir, serta sikap negara-negara Islam yang saling berperang dan berbunuh sesama sendiri, beliau kelihatan sebak dan tidak dapat meneruskan ucapannya.
11. Ucapannya terhenti di situ dan majlis diambil alih oleh moderator, YB Dr Mujahid yang terus membuka ruang untuk sesi dialog.
12. Bagi aku, Tun M punya misi dan visi yang jelas dalam pemerkasaan pentadbiran Islam di Malaysia. Kefahamannya tentang Islam sebagai din, yang beliau ulang sebut beberapa kali, "din adalah cara hidup", juga adalah baik.
13. Bahkan aku berani katakan, kefahamannya tentang al-Quran lebih baik daripada sebahagian orang Islam yang begitu pandai bergaya dengan busana yang didakwanya busana Islam tetapi tidak tahu pun membezakan antara al-Quran yang muhkamat dan mutasyabihat.
14. Seperkara yang sangat beliau tekankan dalam ucapannya ialah tentang kewajipan orang Islam berakhlak dengan akhlak yang baik seperti amanah dan adil. Bagi beliau, keadilan adalah intipati kepada keseluruhan ajaran Islam. Tanpa keadilan, tiada keindahan Islam.
15. Aku katakan, Islam di Malaysia tidak terancam bahkan kedudukannya akan semakin diperkasa dari semasa ke semasa. Berdasarkan respon daripada semua cendekiawan yang hadir, semuanya bersetuju bahawa inilah masanya semua pihak menyumbang tenaga dan upaya untuk menampilkan Malaysia sebagai negara Islam contoh.
16. Tahniah buat Tun M, Dr Mujahid dan Puan Fuziah Salleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan