Pendakwah Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips, hari ini menarik balik saman fitnahnya ke atas pendakwah kontroversi tempatan Zamihan Mat Zin selepas pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu bersetuju untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di Facebook, yang mendakwa dirinya terlibat dalam kegiatan pengganas.
Penghakiman persetujuan itu dirakamkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Peguam Bilal Philips, Meor Amir Meor Omar Baki, berkata Zamihan mengaku bertanggungjawab dan akan memohon maaf secara terbuka di Facebook selama dua hari bermula hari ini.
"Kita tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian termasuk jumlah ganti rugi yang perlu dibayar, dan juga tidak ada perintah mengenai kos," katanya.
"Deposit yang dibayar oleh Bilal Philips sebanyak RM30,000 akan dipulangkan," kata Meor Amir.
Bilal Philips terpaksa membayar jumlah tersebut sebagai sebagai jaminan kos dalam kes saman RM1 juta terhadap Zamihan.
Peguam itu juga berkata mahkamah turut memberikan perintah injunksi menghalang Zamihan baik secara lisan atau menerbitkan kenyataan fitnah yang sama terhadap Bilal Philips.
Bilal Philips memfailkan saman fitnah itu berikutan posting laman Facebook Zamihan pada November 2016 yang memaparkan gambarnya dengan iringan kenyataan yang menggelarkannya sebagai pengganas antarabangsa.
Posting itu dibuat sebaik sebelum sebuah acara keagamaan di Perlis, yang menampilkan Bilal Philips sebagai salah seorang penceramah.
Pendakwah kelahiran Jamaica itu berkata tuduhan Zamihan bahawa beliau adalah penyokong keganasan adalah palsu, fitnah dan tidak berasas, memandangkan beliau sentiasa mempromosikan keamanan dan pemahaman Islam dan menolak keganasan yang dibuat atas nama agama.
Beliau juga berkata, tuduhan Zamihan bermaksud beliau secara aktif terlibat dalam keganasan dan menjadi matlamat ceramahnya, sedangkan beliau telah menulis lebih 50 buku tentang Islam dan terlibat dengan pelbagai program televisyen Islamik seperti "Peace TV", "Huda TV" dan "The Deen Show, Chicago".
Penceramah popular itu memegang ijazah sarjana muda dari Universiti Islam Madinah, ijazah sarjana dari King Saud University dan doktor falsafah dari University of Wales, Trinity Saint David, dan tersenarai dalam 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia untuk tahun ini.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan