"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Sungai Kandis: Lokman hadiri ceramah PAS

Faiz Zainudin
Lokman Noor Adam bersalaman dengan penyokong PAS dalam ceramah Bangkit Selangor di Kota Raja, malam ini.
SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam membuat kejutan dengan muncul di sebuah ceramah anjuran PAS di Kota Raja, di sini, malam ini.

Lokman yang berbaju Melayu putih, tiba dengan beberapa pengikut di Markas PAS Kawasan Kota Raja yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau kemudiannya bersalaman dengan penyokong PAS sebelum duduk bersama mereka, ketika Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki sedang berceramah.

Pihak penganjur tidak memberi layanan khas atau menjemput ahli Majlis Tertinggi Umno itu duduk bersama pemimpin PAS di atas pentas, sebaliknya pengacara sekadar menyebut nama Lokman sebelum meneruskan ceramah yang dihadiri ratusan orang itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Muhyi berkata, ceramah Bangkit Selangor diadakan bukan untuk menyokong BN sempena PRK Sungai Kandis.

“Kita sudah merancang awal, sebelum Adun Sungai Kandis meninggal dan kebetulan ceramah Bangkit Selangor bermula di Kawasan Kota Raja. Di negeri lain, ceramah sebegini sudah bermula.”
Lokman Noor Adam duduk bersama penyokong PAS sambil mendengar ceramah pemimpin PAS.
Turut hadir dalam ceramah itu ialah Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Lokman dengan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas, K Murthy, selepas PAS tidak menurunkan calonnya untuk mengelakkan perpecahan undi.

PRK Sungai Kandis akan diadakan 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

PAS gesa ahli sokong BN

Sementara itu, Nasrudin secara terbuka menyeru ahli PAS menolak Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Sungai Kandis kerana gabungan itu tidak mengamalkan dasar pemerintahan Islam.

“Kita tak nak kerajaan jahiliah diganti calon jahiliah, kerajaan PH tidak mengamalkan pentadbiran Islam.

“Kita kena pastikan mereka kalah, PH kita kena tolak.

“Jadi nak undi siapa, nak kena tunjuk juga ke? Tu undi dia (Lokman),” katanya ketika berceramah sambil menuding ke arah calon BN itu.

Salehin turut menyeru penyokong PAS mengundi Lokman bagi memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan Selangor.

“PAS di DUN Selangor ialah pembangkang, di Parlimen kita pembangkang, kita kena sokong pembangkang bukan kerana soal BN, Umno tetapi pembangkang kena kuat supaya ada semak dan imbang dalam kerajaan negeri, itu sahaja.”

Pemimpin PAS turut membangkitkan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji dalam 100 hari pentadbirannya.

Tiada ulasan: