"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Sukau keluar Umno hari ini

MALAYSIA DATELINE 
Adun Sukau keluar Umno hari iniAhli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari ini mengumumkan keluar Umno serta Barisan Nasional dan akan menjadi Adun bebas berkuat kuasa serta merta.
“Saya akan menjadi Adun pembangkang bebas yang konstruktif serta menjadi penimbang tara sesuai dengan politik masa kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saddi mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Sabah Tan Sri Musa Aman atas peluang diberikan bagi mencurah bakti kepada rakyat di Dun Sukau sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Dalam pada itu, Saddi berkata beliau menyokong mana-mana parti politik berasaskan parti tempatan yang memperjuang isu
Perjanjian Malaysia 1963 termasuk tuntutan royalti minyak dan gas yang adil kepada Sabah daripada kerajaan Persekutuan untuk
kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Saddi juga berharap pengundi Dun Sukau yang telah memilih beliau pada PRU14 dapat terus bekerja sama dengannya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Saddi yang bertanding atas tiket BN mempertahankan kerusi Dun Sukau dengan majoriti 1,628 undi selepas memperoleh 4,660 undi mengalahkan tiga calon lain dan perkembangan terbaru itu menjadikan wakil BN yang kini hanya diwakili Adun Umno dalam Dun Sabah berbaki 10 orang.

Secara keseluruhan, ada 21 wakil rakyat pembangkang dalam Dun Sabah ketika ini termasuk enam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), dua daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan tiga Adun Bebas iaitu masing-masing satu bekas ahli Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Umno.

Tiada ulasan: