"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat akan hukum PAS dan Umno ‘bercumbu’ dalam gelap, kata Amanah


Faiz Zainudin 
PETALING JAYA: Keputusan Umno dan PAS saling memberi laluan dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia menyerlahkan lagi kerjasama antara 2 parti politik itu.


“Sebenarnya PAS dan Umno telah bekerjasama agak lama malah sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi, cuma tidak buat pengumuman secara terbuka. Serangan secara konsisten dan bahasa yang sama terhadap Pakatan Harapan (PH) membuktikan wujud kerjasama antara mereka sebelum ini.

“Pengisytiharan pimpinan mereka untuk memberi laluan kepada parti satu sama lain hanyalah formaliti sahaja,” kata Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim kepada FMT.

Izham berkata rakyat bagaimanapun tidak “bodoh” dan cukup faham dengan permainan PAS dan Umno yang “bercumbuan” dalam gelap.

“Saya yakin penyokong PAS dan Umno akan menghukum parti yang hidup berpura-pura ini.

“PH akan berjaya memenangi ketiga-tiga PRK ini dengan cemerlang kerana PH sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan,” katanya merujuk kepada PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Izham berkata demikian, ketika mengulas pendirian Umno memutuskan memberi laluan kepada PAS bertanding dalam PRK Seri Setia sebagai membalas keputusan parti Islam itu memberi laluan kepada Umno bertanding di Sungai Kandis.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia merupakan titik permulaan dan persefahaman antara 2 parti itu sebagai gerakan politik baru di bawah pemerintahan PH.

PAS menyambut baik keputusan Umno memberi laluan kepada parti itu di Seri Setia.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pendekatan satu lawan satu mencerahkan peluang pembangkang memberi saingan dalam misi merampas kerusi kubu kuat PKR itu dan memperkukuhkan kedudukan di DUN Selangor bagi mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri.

Ditanya adakah Amanah akan meletakkan calon di DUN Seri Setia bagi memperkukuhlan lagi kedudukan parti itu di Selangor, Izham berkata pihaknya memberi laluan kepada PKR dan akan membantu kemenangan PH.

Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada petang Khamis lepas.

Sebelum itu, media melaporkan Shaharuddin, 55, menghidap kanser usus tahap 4.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff (9,878), calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, S Vigneswaran (217).

Tiada ulasan: