"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sembilan ditahan kes remaja mati ditikam di Sibu

BERNAMA
Tangkap layar video tular pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir, Sibu awal pagi tadi.
SIBU – Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu antara 10 pagi hingga 4 petang tadi hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kira-kira 2 pagi tadi berhubung kejadian pergaduhan yang menyaksikan pengadu dipukul sekumpulan individu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal Abidin berkata, kejadian berkenaan turut tular di media sosial Facebook.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Terdahulu, remaja berkenaan dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam pada bahagian dada dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam.

Mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. – BERNAMA

Pelancong Malaysia merompak di Batam kerana wang habis

KOSMO
POLIS menunjukkan pasport dan barang lain milik suspek. - KOMPAS
JAKARTA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan selepas mencuri sebuah kereta dan barangan milik seorang penduduk di Batam, Kepulauan Riau dengan pisau dan senjata airsoft, lapor laman berita Kompas. 

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Barelang, Pesuruhjaya Agung Tri Poerbowo berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan) di Kompleks Perumahan Pertamina di Jalan Borobudur kelmarin. 

Mangsa dikenali sebagai NS, 48, mengalami kerugian mencecah kira-kira 192 juta rupiah (RM43,000) dan kesan luka pada tangan kanan. 

Agung berkata, suspek dikenali sebagai KCL, 41, masuk ke dalam kenderaan NS dan berpura-pura mendapatkan bantuan. 

“KCL berpura-pura menjadi mangsa penipuan dan meminta NS untuk membawanya ke balai polis. Ketika melalui Jalan Borobudur, suspek meminta untuk memberhentikan kenderaan. 

“KCL kemudian mengeluarkan pisau serta senjata airsoft, mengancam mangsa serta memaksanya memindahkan wang ke dalam akaun suspek. 

“NS segera menjerit meminta bantuan daripada orang ramai, manakala KCL melarikan diri bersama kenderaan dan barang-barang mangsa,” kata Agung. 

Suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka.

Dia berbuat sedemikian kerana kekurangan wang untuk membeli makanan dan membayar yuran tingal lebih masa sebelum pulang ke Malaysia. – AGENSI

Mekanik kantoi miliki lebih 40 coli dan seluar dalam wanita terpakai setelah ditahan kes pecah amanah

Agensi
ANTARA barangan yang dirampas polis dari bilik suspek. FOTO Agensi / The Pattaya News
ANTARA barangan yang dirampas polis dari bilik suspek. FOTO Agensi / The Pattaya News
Pattaya: Serbuan polis ke sebuah bengkel membaiki kenderaan di daerah Banglamung bagi menahan seorang mekanik yang diburu berhubung kes pecah amanah membawa kepada penemuan mengejutkan apabila lebih 40 helai coli dan seluar dalam wanita terpakai ditemukan di dalam biliknya, lapor ThaiThuk.

Tangkapan pada 3 November lalu itu turut membawa kepada penemuan dadah, peralatan menghisap bahan terlarang serta telefon bimbit yang mengandungi beberapa klip video dipercayai dirakam secara sembunyi.

Suspek dikenali sebagai Jeerasak atau Chiang Tom, 33, diberkas kira-kira jam 10 malam di sebuah bengkel di Moo 4, Takhian Tia, daerah Banglamung, pinggir Pattaya.

Operasi itu diketuai Ketua Balai Polis Banglamung, Kolonel Polis Sarawut Nuchanart bagi melaksanakan waran tangkap terhadap suspek berhubung kes pecah amanah.

Menurut polis, pemeriksaan lanjut di bilik suspek menemukan 0.79 gram kristal methamphetamine, sebiji pil yaba, paip buluh, pemetik api, kerajang timah serta beg makanan ringan kosong yang digunakan untuk menghisap dadah.

Jumlah dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan bukannya bagi tujuan pengedaran.

Bagaimanapun, penemuan lebih 40 helai seluar dalam wanita terpakai yang disimpan di dalam bilik suspek serta beberapa klip video dalam telefon bimbitnya turut menarik perhatian pihak berkuasa.

Suspek mengakui waran tangkap berkenaan dikeluarkan terhadapnya selain mengaku mengambil dadah.

Mengenai puluhan coli dan seluar dalam itu, suspek mendakwa barangan berkenaan sekadar koleksi peribadi yang kebanyakannya dikutip dari tong sampah atau tepi jalan sebelum dicuci dan disimpan. Dia turut menafikan mencurinya dari rumah orang lain.

Suspek juga mendakwa klip video dalam telefon bimbitnya hanya dirakam bagi menguji fungsi kamera. Bagaimanapun, polis tidak menerima penjelasan itu begitu sahaja.

Pihak penyiasat kini meneliti rakaman berkenaan dan tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut diambil sekiranya individu yang dirakam tampil membuat laporan polis.

Setakat ini, suspek berdepan dua pertuduhan berkaitan dadah iaitu memiliki narkotik Kategori 1 dan menggunakan methamphetamine tanpa kebenaran.

Sementara itu, waran tangkap berkaitan kes pecah amanah yang membawa kepada penahanannya akan diuruskan secara berasingan menerusi mahkamah yang mengeluarkannya.

Berjam-jam terkandas di paya, pemuda ditemukan lemah

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Anggota bomba mengangkat mangsa yang ditemui terbaring dalam keadaan lemah dan mengalami dehidrasi di kawasan paya dekat Bukit Batu Putih. FOTO Ihsan JBPM Melaka.
Anggota bomba mengangkat mangsa yang ditemui terbaring dalam keadaan lemah dan mengalami dehidrasi di kawasan paya dekat Bukit Batu Putih. FOTO Ihsan JBPM Melaka.
Masjid Tanah: Seorang pemuda diselamatkan anggota bomba selepas tersesat di kawasan paya di Bukit Batu Putih, Port Dickson, di sini, hari ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, keluarga mangsa menghubungi pihak bomba pada jam 12.35 tengah hari, selepas bimbang pemuda berusia 23 itu tidak pulang seperti dijanjikan pada 10 pagi.

Katanya, sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mengesahkan seorang lelaki dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki dan operasi pencarian dijalankan dengan bantuan anggota BBP Teluk Kemang.

"Mangsa ditemukan di atas rimbunan rumput gajah dalam keadaan tidak berbaju, mengalami dehidrasi dan lemah selepas beberapa jam terkandas di kawasan berkenaan.

"Dia yang mengalami kecederaan ringan kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, usaha mengesan mangsa turut dibantu menerusi status WhatsApp miliknya yang dikirim adiknya kepada pihak bomba.

Zulkhairani berkata, operasi membabitkan 15 anggota bomba dari BBP Masjid Tanah dan BBP Teluk Kemang dengan bantuan tiga anggota polis serta dua anggota KKM.

4 bomba padam kebakaran hutan dirasuk

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan beberapa anggota mengalami kerasukan semasa memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut. - Instagram
JAKARTA – Empat sukarelawan bomba mengalami kerasukan beramai-ramai semasa memadamkam kebakaran hutan dan tanah gambut di Kota Samarinda, wilayah Kalimantan Timur, lapor laman berita Lambe Turah. 

Kejadian aneh itu berlaku ketika operasi pemadaman kebakaran yang memasuki hari ke-4 di Kampung Makroman, baru-baru ini.

Selain menjejaskan kawasan seluas kira-kira 50 hektar, anggota bomba dan sukarelawan turut berdepan tanah gambut yang tebal sehingga menyebabkan api sukar dipadamkan dan sumber air yang jauh. 

Koordinator Lapangan Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kota Samarinda, Nanang Arifin berkata, kejadian misteri itu berlaku pada pukul 6.20 petang (waktu tempatan). 

“Kami mula memadamkan api pada pukul 3 petang (waktu tempatan). Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku sekitar pukul 6.20 petang. 

“Rakan kami mengalami kerasukan. Dua daripada empat anggota dibawa ke pusat kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut. 

“Setakat ini, empat anggota dirasuk. Dua dilaporkan pulih, manakala dua lagi masih dirawat di pusat kesihatan tempatan,” kata Nanang. – AGENSI

(N9) Tiada lagi alasan: Yang Arif, saya kini serah diri untuk dibicara atas tuduhan ingkar perintah mahkamah

Anak Negeri

Semoga anak buah biduanda di Johol juga akhirnya terbuka minda dan mengambil langkah tepat bagi menuntut semula kewarasan yang hakiki.

Mari kita imbas kembali proklamasi yang sumbang lagi menyalahi undang-undang di Ayer Keroh, Melaka, yang dilakukan secara terang-terangan melanggar perintah injunksi mahkamah yang berkuat kuasa. Pelanggaran itu mana mungkin dapat disenyapkan begitu sahaja. Sebagai tindak balas terhadap tindakan yang memijak-mijak pihak berkuasa kehakiman, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah memulakan prosiding pengkomitan (pencabulan perintah mahkamah) terhadap individu terlibat.

Pada 8 Julai 2026, Mahkamah Tinggi Seremban dengan sewajarnya telah membenarkan DKU dan setiausahanya untuk memulakan prosiding penghinaan ke atas mahkamah tersebut, dengan memutuskan secara tegas bahawa kes prima facie bagi kesalahan mengingkar perintah mahkamah telah wujud terhadap keenam-enam individu ini.

Perbandingan agar lebih mudah difahami, sebagai contoh, Pak Ahmad telah dipecat daripada sebuah syarikat kerana melakukan beberapa kesalahan serius. Antaranya, Pak Ahmad meminda sijil nikahnya dan mengadakan solat Jumaat secara persendirian di rumah. Namun, beliau tidak menerima nasibnya secara senyap, bahkan beberapa individu lain pula bertindak bergabung tenaga dengannya untuk cuba secara tidak sah memecat pengerusi syarikat tersebut. Tindakan mereka disokong oleh entiti politik tertentu. Mereka menjungkar-jungjirkan keadaan syarikat itu, namun mereka langsung tidak peduli. Apa yang mereka mahukan hanyalah kekal berkuasa. Ketika mereka cuba menyingkirkan pengerusi dan melantik yang baharu, didapati secara prima facie bahawa mereka telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah. Disebabkan panik, mereka merayu meminta pertolongan daripada Mahkamah Rayuan kerana mendakwa diri mereka ‘kebal’. Namun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut, dan kini mereka terpaksa menanggung akibat perbuatan mereka.

Untuk menterjemahkan hal ini kepada pertikaian dunia sebenar: apa yang berlaku di sini mencerminkan dinamik yang sama. Daripada menghadapi badan kehakiman dengan bermaruah yang sepatutnya ada pada bekas pemimpin mahupun pemimpin adat yang masih berkhidmat, namun keenam-enam individu ini sebaliknya cuba mencari perlindungan melalui taktik melengah-lengahkan masa. Mereka mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk memohon penggantungan prosiding menghina mahkamah tersebut.

Antara hujah yang mereka sandarkan adalah pada dakwaan kekebalan mutlak serta melapis strategi mereka dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar pelbagai aspek pertikaian tersebut—suatu taktik yang dipercayai sengaja diatur semata-mata untuk melambat-lambatkan prosiding substantif di Seremban.

Mahkamah Rayuan melakar garis sempadan

Pada 4 Nov 2026, Mahkamah Rayuan menyatakan pendiriannya dengan amat jelas. Ia menolak permohonan oleh keenam-enam individu ini, termasuk tiga bekas ketua luak, untuk menangguhkan kes menghina mahkamah tersebut, kerana mendapati hujah mereka bagi mendapatkan penggantungan langsung tidak mempunyai sekelumit pun merit undang-undang yang mencukupi.

Lebih daripada itu, barisan panel rayuan kelihatan jelas terkesan—malah boleh dikatakan agak berang—apabila mendapati individu-individu ini telah memulakan semakan undang-undang secara serentak tanpa mendedahkan secara jujur akan kewujudan injunksi mahkamah atau kebenaran (leave) yang telah pun diberikan untuk prosiding menghina mahkamah.

Hasilnya, bukan sahaja usaha mereka untuk melengah-lengahkan kes penghinaan mahkamah itu ditolak, malah Mahkamah Rayuan turut mengenakan hukuman kos sebanyak RM60,000, memaksa mereka berdepan dengan realiti dan membela diri dalam prosiding menghina mahkamah.

Mari kita perjelaskan apa maksud sebenar di sebalik semua ini: apa yang didakwa sebagai perisai kekebalan itu langsung tidak berasas sama sekali. Sekiranya benar wujud kekebalan yang kukuh dan tidak boleh dicabar, Mahkamah Rayuan pasti akan mengiktiraf dan menegakkannya.

Sebaliknya, mahkamah melakukan tindakan yang tepat berbeza—ia mengarahkan mereka melangkah masuk ke dalam dewan mahkamah dan menghadapi perbicaraan atas tuduhan mengingkar perintah mahkamah.

Apabila taktik melengah-lengahkan masa mereka menemui jalan buntu, keenam-enam individu ini—termasuk Ketua Luak Johol dan tiga bekas ketua luak yang lain—kini tiada piliham dan terpaksa menjawab segala tindakan mereka. Apabila mereka menjalani perbicaraan komitan ini, mereka berdepan dengan hukuman berat yang diperuntukkan bagi kesalahan menghina mahkamah, yang boleh merangkumi denda yang tinggi jumlahnya atau hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.

Berikutan penolakan di peringkat rayuan, Mahkamah Tinggi Seremban telah menetapkan 17 Nov 2026 untuk pengurusan kes bagi prosiding menghina mahkamah tersebut. Dalam sesi ini, mahkamah akan menetapkan tarikh-tarikh bagi perbicaraan sebenar di mana pertuduhan substantif penghinaan mahkamah akan dibicarakan.

Pun begitu, ini hanyalah sebahagian daripada perhitungan yang lebih besar, dengan beberapa tindakan menghina mahkamah yang lain sedang berjalan—termasuklah prosiding menghina mahkamah berasingan yang kini dihadapi oleh keenam individu ini bersama-sama bekas exco dan menteri besar sendiri.

Lantas kelihatannya entiti politik yang kononnya wujud untuk melindungi maruah raja-raja Melayu itu bukan sahaja sanggup menggugat Yang Dipertuan Besar yang sedang bersemayam, bahkan sehingga mencabar undang-undang tertinggi negara.

Jawatan adat tidak bermaksud kebal

Episod ini membuktikan satu kebenaran asas yang wajar diulang-ulang: pembesar adat, sama ada yang sudah tamat perkhidmatan mahupun yang masih memegang jawatan, tidak menduduki tahap perlembagaan yang sama seperti seorang pemerintah Yang Dipertuan Besar yang bertahta. Mereka tidak memiliki kekebalan daripada undang-undang tanah air.

Apabila sifat takbur dan ego membutakan mata seseorang dalam menguji batas kesabaran kehakiman—memanipulasi proses mahkamah demi usaha terdesak melepaskan diri daripada akauntabiliti—mereka akhirnya akan sedar bahawa gapaian undang-undang jauh lebih panjang daripada gelaran yang mereka banggakan. Hanya rahmat tuhan yang mampu menyelamatkan mereka yang memilih untuk mempermainkan undang-undang dan keadilan.

Kini setelah kita sampai ke detik ini, dan tatkala tindakan penguatkuasaan mula digerakkan terhadap pihak yang melemparkan hasutan berniat jahat terhadap Yang Dipertuan Besar di alam maya, kita hanya mampu berharap agar akauntabiliti terus berdiri kukuh.

Namun, realitinya, komen-komen sedemikian masih berleluasa di ruang digital. Melangkah ke hadapan, agensi penguatkuasaan mesti mengambil tindakan yang lebih tegas dan tidak bertolak ansur demi memelihara maruah raja-raja Melayu serta menegakkan kedaulatan undang-undang secara mutlak.

Perlu juga dicatatkan di sini bahawa di sebalik keseriusan kesalahan—termasuk dakwaan pemalsuan sijil nikah—tiada sebarang tindakan penguatkuasaan yang substantif direalisasikan setakat ini. Keadaan ini tetap berlaku walaupun laporan polis rasmi telah dibuat sejak sekian lama dan kemudiannya didedahkan kepada pengetahuan umum, sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai akauntabiliti yang menuntut kejelasan fakta serta pematuhan mutlak terhadap proses penguatkuasaan undang-undang.

Semoga anak buah biduanda di Johol juga akhirnya terbuka minda dan mengambil langkah yang tepat bagi menuntut semula kewarasan yang hakiki. Kini setelah mahkamah mampu menembusi pelindung prosedur yang licik, ibu soko dan anak waris biduanda di Johol sepatutnya boleh melihat dengan jelas muslihat di sebalik segala tipu daya ini, demi melindungi maruah luak, suku dan anak waris.

Dan semoga penjawat awam di Negeri Sembilan terus teguh pendirian serta komited sepenuhnya dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kesucian keadilan.

Sumbang mahram: Bapa dipenjara 12 tahun, disebat lima kali

Bernama
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa berusia 13 tahun 10 bulan semasa kejadian, di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Cheras pada 12.30 tengah malam November 2020. - Foto Bernama
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa berusia 13 tahun 10 bulan semasa kejadian, di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Cheras pada 12.30 tengah malam November 2020. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan anak kandung perempuannya sehingga melahirkan anak, enam tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memerintahkan tempoh hukuman lelaki berusia 52 tahun itu bermula hari ini selain perlu menjalani kaunseling serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa berusia 13 tahun 10 bulan semasa kejadian, di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Cheras pada 12.30 tengah malam November 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman berat mengambil kira mangsa, anak kandung tertuduh mengandung dan melahirkan anak yang kini berusia lima tahun.

“Mangsa telah mencari tertuduh atas dasar kerinduan terhadap bapanya selepas tertuduh bercerai dengan ibunya namun tertuduh telah mengkhianati kepercayaan itu dan melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa.

“Tertuduh mengambil kesempatan atas kenaifan mangsa untuk memuaskan nafsu serakah, sedangkan dia sepatutnya menjadi pelindung kepada anak kandungnya,” katanya.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menghidap penyakit darah tinggi dan asma yang memerlukan rawatan susulan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang juruteknik berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya, September lepas. 

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 11 tahun 11 bulan semasa kejadian, bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 29 Sept hingga 20 Okt 2026.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Muhammad Ilmami Ahmad membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis setiap bulan hingga kes selesai, dan menetapkan 18 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Pervinah Mohamad Yusof manakala lelaki itu diwakili peguam Nicholas Cheoh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

-- BERNAMA

Enam lelaki mengaku murtad ‘Islam Jakim’

KOSMO!
Tangkap layar video tersebut yang tular di Threads.
PETALING JAYA – Baru sahaja Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adik perempuannya melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah, tiba-tiba muncul pula video di mana enam orang lelaki mengakui sudah murtad daripada agama Islam yang dikatakan ‘versi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)’.

Menerusi sebuah video yang dikongsi di laman Threads, seramai enam individu itu memperkenalkan diri mereka berasal dari Malaysia yang mana antaranya dipercayai berasal dari Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Dalam video itu, terdapat individu melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengaku murtad daripada Islam Jakim kerana katanya, Islam sebenar adalah taat kepada Allah SWT serta Nabi Muhammad dan wasiatnya.

Selain itu, ada individu turut mendakwa kini mengikuti ajaran didakwa Islam sebenar iaitu agama Ahmadi Keamanan dan Cahaya.

Tinjauan di ruang komen mendapati seorang pengguna berkata, video berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL).

“Ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL). Mereka orang Malaysia tapi di luar negara ..rasanya di US (Amerika Syarikat) kumpulan ni,” kata Diana.

Selain itu, seorang pengguna mendakwa pernah berdepan dengan individu yang mempunyai kepercayaan sama.

“Saya pernah cuba tanya pengikut mereka secara berilmiah. Betul-betul mereka ni dah dipesongkan dengan ideologi Mirza Ghulam Ahmad. Mungkin ada alasan peribadi (duit, kebebasan) tapi mereka tak pernah mengaku apa sebab mereka pilih untuk memesongkan akidah sendiri,” kata Frankie. – KOSMO! ONLINE

Kereta RM12 juta remuk, pemandu selamat

KOSMO
KEADAAN supercar elektrik BYD yang terbabas ketika diuji di litar. - CarNewsChina /YouTube 
BEIJING – Sebuah kereta ‘supercar ‘elektrik bernilai AS$3 juta (RM12 juta) buatan gergasi automotif  China, BYD terbabas dan merempuh penghadang litar pada kelajuan 360 kilometer sejam (km/j) dalam sesi ujian berkelajuan tinggi, lapor laman berita VNExpress.

Kereta Yangwang U9 Xtreme yang memegang gelaran kereta produksi terpantas dunia itu rosak teruk, namun pemandunya selamat tanpa kecederaan serius, baru-baru ini.

Menurut portal berita CarNewsChina, rakaman video dan gambar yang tular memaparkan jentera berkuasa tinggi itu merempuh penghadang di sebuah litar ujian tertutup. 

Impak rempuhan amat kuat menyebabkan bahagian hadapan dan belakang kereta remuk, dengan  gandar belakang turut tercabut.

Pemandunya, Jiang Wen, yang berkhidmat bersama BYD selama 23 tahun, berjaya keluar daripada  kenderaan bersendirian tanpa bantuan pasukan kecemasan.

Memetik portal teknologi IT Home, Wen ketika itu menguji kenderaannya pada kelajuan antara 420 hingga 450 km/j sebelum ia tiba-tiba hilang kestabilan. – AGENSI

Menyamar sebagai polis ketika menyamun, dua lelaki dipenjara 10 tahun

Abdul Rahemang Taiming

LAHAD DATU: Dua lelaki yang mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan selepas salah seorang daripada mereka menyamar sebagai anggota polis masing-masing dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla Selag terhadap Azwan Ibnu, 31, dan Francisco V Dagalea, 32, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang lelaki warga asing sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,050.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berehat sambil bermain telefon bimbit di kaki lima rumahnya di Batu 8, Jalan Silam, di sini kira-kira 8.30 malam, 18 Oktober lalu.

Mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali sebelum Francisco memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis yang kemudian secara tiba-tiba bertindak menggari tangan mangsa.

Kedua-dua lelaki itu kemudian meminta wang RM1,500 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa dengan mendakwa mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah berkaitan dadah.

Bimbang anaknya dibawa ke balai polis, bapa mangsa kemudiannya menyerahkan keseluruhan wang simpanannya berjumlah RM1,050 kepada kedua-dua lelaki berkenaan.

Mangsa kemudian dilepaskan sebelum kedua-dua lelaki itu beredar dari lokasi bersama Azwan yang menunggu di dalam kereta.

Hasil siasatan polis mendapati Azwan berperanan menunggu di dalam kereta, manakala Francisco bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas masuk ke rumah mangsa untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh kemudian ditahan pada 22 Oktober lalu hasil kawad cam yang dijalankan pihak polis susulan laporan dibuat mangsa.

Dalam rayuan mitigasi, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga serta menyesali perbuatan mereka.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kelantan: Pemandu lori ditahan, 9,920 peranti vape dirampas di Kota Bharu

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
PEMANDU lori ditahan dan dirampas 9,920 peranti vape dirampas di Kota Bharu. FOTO ihsan PGA
PEMANDU lori ditahan dan dirampas 9,920 peranti vape dirampas di Kota Bharu. FOTO ihsan PGA
Kota Bharu: Seorang pemandu lori ditahan manakala 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama bernilai RM793,600 dirampas dalam serbuan di Jalan Sultanah Zainab, di sini, awal pagi tadi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kejayaan itu dilakukan sepasukan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan dibantu anggota Risik Batalion 7 menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 6.30 pagi.

Beliau berkata sebelum penahanan dan rampasan itu, pihaknya mengekori serta menahan sebuah lori jenis Isuzu warna putih di tepi jalan berkenaan selepas menerima maklumat awal.

Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemui beberapa kotak coklat mengandungi peranti vape.

"Sebanyak 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama serta sebuah lori dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM943,600. Pemandu lori berusia 38 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan terbabit.

"Siasatan awal mendapati, lelaki itu menerima upah RM280 untuk membawa peranti vape itu dari Kuala Lumpur dan urusan penerimaan barangan itu dilakukan di Kota Bharu.

"Peranti vape itu kemudian akan dihantar ke Kampung Telaga Bata, Tumpat dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, pemandu lori yang ditahan itu bersama rampasan berkenaan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja MPKB 1896 (Pindaan) 200 - UUK 3 kerana menjaja tanpa lesen MPKB yang sah.

Wanita warga China dipenjara 5 bulan, denda RM4,000 tawar khidmat seks

Abdul Rahemang Taiming
Wanita warga China dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seks di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. – Foto NSTP
TAWAU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 terhadap seorang wanita warga China selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang lelaki.

Tertuduh, Zhang Hong, 31, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan tertuduh, iaitu pada 4 November lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis pada jam 10.05 malam di sebuah pusat terapi di daerah ini, Rabu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika merayu hukuman diringankan, tertuduh memaklumkan bahawa dia sudah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.

Katanya, anak perempuannya kini dijaga oleh neneknya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Beliau turut memohon supaya barang kes dilupuskan, manakala wang tunai RM700 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan, selain tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Mahkamah kemudian memerintahkan barang kes dilupuskan dan wang tunai RM700 dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan, selain tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut sebaik selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, wanita itu ditahan dalam serbuan di sebuah premis terapi selepas seorang anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan ditawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM700.

Peletakan jawatan saya kuat kuasa sebaik Najib sampai rumah - Loke

Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta sebaik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Pengumuman itu dibuat pada sidang media di Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Katanya, peletakan jawatan itu mencerminkan pendirian DAP terhadap keputusan berkenaan. 

"Peletakan jawatan ini mencerminkan pendirian parti saya, DAP, terhadap keputusan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib.

"DAP menghormati kuasa dan prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Namun demikian, kami berpandangan bahawa pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang terbabit dalam skandal yang membawa kesan begitu besar kepada ekonomi dan imej negara, berpotensi membawa satu mesej tidak wajar kepada generasi akan datang," katanya.

Loke berkata, ketika surat peletakan jawatan itu dikemukakan, Perdana Menteri meminta beliau meneruskan tugas sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pembayaran RM50 juta itu sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, beliau mendapat pengesahan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Najib belum dibenarkan pulang ke kediamannya kerana dibawa ke klinik pergigian bagi menjalani pemeriksaan yang sudah dijadualkan hari ini.

"Namun, pendirian saya tidak berubah. Pendirian saya jelas dan saya sudah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) serta pegawai kementerian bahawa sejurus Najib sampai ke rumahnya, peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta.

"Kalau malam ini Najib jejak di rumah, maka (peletakan jawatan) berkuat kuasa, kalau esok, esoklah," katanya.

Loke berkata, beliau menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi dan mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet MOT bagi menyelesaikan urusan pentadbiran serta memastikan kelancaran proses peralihan tugas.

Loke turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan mandat diberikan sepanjang 47 bulan beliau menerajui kementerian itu sejak Disember 2022.

Beliau berkata, segala perancangan dan inisiatif kementerian akan diteruskan seperti biasa, termasuk pelaksanaan My50, operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) pada Februari tahun depan.

Katanya, beliau akan terus memberikan sokongan kepada kementerian dan pegawai yang berkhidmat di bawahnya meskipun tidak lagi memegang jawatan Menteri Pengangkutan.

"Saya tetap Ahli Parlimen. Jadi, saya akan tetap memberikan sokongan kepada pegawai dan Kementerian Pengangkutan. Apa sahaja yang boleh saya bantu dan sumbangkan tenaga, saya akan kekal membuat demikian," katanya.

Najib bayar denda RM50 juta, dijangka pulang ke rumah hari ini

Malaysiakini

Najib Razak sudah membayar denda RM50 juta dalam kes SRC International.

Dia dijangka pulang ke rumah untuk menjalani tahanan rumah hari ini.

Malaysiakini membawakan perkembangan terkini secara langsung.

12.50 tengah hari: Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bayaran itu dibuat hari ini.

Katanya, denda itu dibayar menggunakan sumbangan yang dikumpulkan Umno.

Peguam Najib, Shafee Abdullah dan Farhan Shafee, sebelum itu dilihat membuat bayaran di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 12.10 tengah hari.

Sementara itu, polis sudah bersiap siaga di rumah Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur, dan mula mengawal akses ke kawasan itu.

12.00 tengah hari: Peguam bekas perdana menteri Najib Razak sudah meninggalkan kaunter bayaran di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Mereka melunaskan denda RM50 juta itu. Terdahulu, pembantu Najib, Ahmad Lutfi Azhar dilihat menuju ke kaunter pendaftaran mahkamah sebelum berjalan ke kaunter bayaran bersama peguam terlibat.

Siling rumah runtuh hempap keluarga ketika ribut

DAYANG NUR SIPIKA ABANG BUSRAH
Keadaan dalam rumah yang mengalami kerosakan selepas kejadian ribut pada malam tadi dikongsikan oleh @ekin_nadhira di Threads
PETALING JAYA – Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila siling rumah mereka runtuh secara tiba-tiba ketika hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan Sungai Besar, Selangor pada malam tadi.

Lebih menyedihkan, kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan berada di dalam bilik sebelum siling berkenaan jatuh menghempap mereka termasuk anak-anaknya.

Menerusi perkongsian pengguna Threads @ekin_nadhira, kejadian berlaku dalam tempoh singkat apabila hujan lebat dan angin kuat menyebabkan bahagian dapur rumahnya turut mengalami kerosakan.

Menurut wanita itu, dia segera membawa anak-anaknya keluar dari bilik selepas siling runtuh, namun tidak menyangka keadaan bahagian dapur rumah mereka juga sudah rosak teruk.

“Anak-anak masih terkejut sebab siling jatuh atas badan mereka. Cepat-cepat saya bawa keluar dari bilik, tetapi tidak tahu dapur pun sudah runtuh seperti itu,” katanya.

Tambahnya, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku kepada keluarganya sebelum ini meskipun mereka sudah biasa berdepan keadaan bumbung rumah diterbangkan angin ketika cuaca buruk.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan selain mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan.

Seorang pengguna berkata, keadaan cuaca di Puncak Alam turut membimbangkan apabila kawasan berkenaan dilanda banjir pada sebelah petang sebelum ribut melanda Sungai Besar pada waktu malam.

“Allahuakbar. Kami petang tadi di Puncak Alam sudah berdepan banjir. Malam ini nampaknya cuaca ribut di Sungai Besar. Semoga dipermudahkan urusan penduduk di sana,” katanya.

Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman berdepan kilat dan petir kuat di kawasan Kuala Langat sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Petir kilat menyambar di kawasan Kuala Langat pun kuat juga, bergegar-gegar rumah. Ada yang rasa macam depan atau belakang rumah sahaja,” tulisnya.

“Rumah kita tiga kali elektrik terputus. Petir bersambung-sambung. Kita pula terketar-ketar hendak buka kotak fius,” komen 868_sen pula.

Rata-rata pengguna media sosial berharap keluarga berkenaan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan itu selain mendoakan keselamatan mereka sekeluarga. – KOSMO! ONLINE

Kes bunuh di Teluk Intan: Empat suspek termasuk warga asing ditahan

Kumaran Rajamoney
Seorang lelaki maut selepas parah akibat ditetak dalam kejadian pada 3 November lalu, di Taman Banjar Jaya, di sini. FOTO Ihsan PDRM

Seorang lelaki maut selepas parah akibat ditetak dalam kejadian pada 3 November lalu, di Taman Banjar Jaya, di sini. FOTO Ihsan PDRM
Teluk Intan: Polis menahan empat individu, termasuk dua lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Taman Banjar Jaya, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian, berkata tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki tempatan yang ditahan semalam, manakala permohonan reman terhadap suspek itu dijangka dibuat pagi ini.

Beliau berkata, tiga lagi suspek yang ditahan pada awal pagi 4 November lalu terdiri seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga asing.

"Suspek pertama seorang wanita tempatan serta dua lelaki warga asing direman bermula 4 hingga 11 November ini.

"Seorang lagi suspek lelaki tempatan ditahan semalam dan permohonan reman akan dibuat pagi ini," katanya dalam perkembangan terbaharu siasatan kes itu.

Beliau berkata, suspek lelaki yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

Dalam kejadian jam 3.53 petang pada 3 November lalu, seorang lelaki dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam di sebuah kedai di sekitar Teluk Intan.

Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

Siasatan awal mendapati mangsa diserang tiga lelaki menggunakan parang dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

312 PATI didakwa atas pelbagai kesalahan imigresen

Azizi Majid
Antara PATI yang didakwa di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian hari ini atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen. – Foto NSTP
PONTIAN: Seramai 312 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 133 wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas PATI di Depot Imigresen Pekan Nanas, di sini, hari ini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Semua warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, India, Nepal, Pakistan dan China berusia antara 20 hingga 56 tahun itu masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ronie Anak Entili.

Daripada jumlah itu, 197 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah.

Mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh ditahan.

Seramai 110 lagi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Mereka yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman penjara antara empat hingga tujuh bulan bermula dari tarikh ditahan.

Sementara itu dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 akta sama kerana kembali ke negara ini secara tidak sah selepas diusir keluar.

Kedua-duanya mengaku salah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh ditahan.

Seorang majikan warga Indonesia yang mengaku bersalah selepas didakwa mengikut Seksyen 55E(1) akta sama turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh ditahan.

Bagaimanapun, seorang lagi yang didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes.

Pertelagahan DAP-MCA mungkin buka ruang kepada Bersama

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pertelingkahan DAP dan MCA mungkin tidak banyak mengubah sokongan pengundi Cina terhadap kedua-dua parti pada PRN Melaka, namun berpotensi menyebabkan peralihan sokongan kepada Bersama yang boleh menjadi pemecah undi, kata penganalisis.

Merujuk PRN Johor, Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata walaupun semua calon Bersama hilang deposit, pola pengundian menunjukkan ada undi memihak kepada parti itu yang menjejaskan DAP.

DAP gagal mempertahankan enam kerusi pada pilihan raya Julai lalu, termasuk di Perling yang menyaksikan calon Bersama memperoleh 2,996 undi, lebih tinggi berbanding majoriti 1,611 undi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Melaka, Bersama dan DAP bertembung di enam DUN iaitu Gadek, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Ayer Keroh, Kesidang dan Pengkalan Batu.

Bercakap kepada FMT, Lau berkata risiko berulangnya keadaan itu tetap ada walaupun DAP dilihat akan terus menguasai undi pengundi Cina di sebalik pertembungan dengan MCA, menyaksikannya saling mencabar antara satu sama lain untuk berdebat.

“Telah wujud pola undi memihak kepada Bersama tetapi peratusan masih tidak besar (berdasarkan keputusan PRN Johor).

“Namun, cukup menyebabkan parti lain kalah seperti dialami DAP,” katanya.

Pemimpin MCA dan DAP dilihat berbalas kritikan dengan terbaru Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mencabar Presiden MCA Wee Ka Siong berdebat mengenai pencapaian masing-masing ketika menerajui Kementerian Pengangkutan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, pula mencabar empat calon MCA yang bertanding pada PRN berdebat secara terbuka dengan empat calon Pakatan Harapan (PH) di Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kelebang dan Machap Jaya.

Lau berpandangan, majoriti pengundi Cina masih berpihak kepada DAP berbanding MCA, mengambil kira kerjasama Umno dan PAS yang dilihat boleh menolak pengundi kaum itu condong kepada PH.

“Biarpun DAP kalah di banyak kerusi di Negeri Sembilan, di Johor tapi jangan lupa peratusan pengundi Cina kepada DAP masih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Anbumani Balan berkata DAP tidak boleh terlalu bergantung kepada serangan terhadap MCA untuk mempertahankan keyakinan pengundi Cina, sebaliknya perlu membuktikan pencapaian sendiri melalui prestasi yang boleh dinilai.

Pemerhati politik itu berkata, komuniti Cina lazimnya bersikap pragmatik dan menilai parti berdasarkan tiga prinsip yang dirumuskannya sebagai 3P – prestasi, pelaksanaan dan pemantauan.

“Jika terlalu banyak tenaga dihabiskan untuk menyerang lawan tanpa disertai penjelasan tentang pencapaian sendiri, ia boleh menimbulkan persoalan tentang keutamaan sebenar kepimpinan parti,” katanya.

Anbumani berkata, DAP juga perlu memberi perhatian kepada hubungan dengan pengundi Melayu ketika menilai langkah seterusnya selepas prestasinya merudum dalam beberapa PRN.

“Sudah tiba masa DAP juga perlu membaca, menilai dan memperkasakan hubungan bersama pengundi Melayu,” katanya.

Kes lupus harta Tabung Haji RM860 juta, bekas menteri, Jamil Khir cabar pertuduhan

Malaysiakini

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mencabar tiga pertuduhan berkaitan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM860.3 juta yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Peguam Datuk Hamidi Mohd Noh yang mewakili Jamil Khir, 65, memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memfailkan beberapa permohonan berhubung pertuduhan dalam kes itu, termasuk mencabar pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

"Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk berkaitan pasport selepas meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan," katanya pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Rosli Ahmad, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memberitahu mahkamah pihaknya sudah menyerahkan satu jilid dokumen kepada pembelaan, dan memerlukan masa untuk menyerahkan baki dokumen termasuk dokumen perbankan.

Sementara itu, Hamidi turut memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang dibuat oleh orang awam dalam media sosial, yang dikhuatiri boleh mengundang subjudis terhadap kes berkenaan.

"Kes ini telah dibawa dan sedang dibicarakan di mahkamah. Dalam media sosial dan kalangan orang awam, mereka perlu faham bahawa apa-apa keputusan perlu datang daripada mahkamah dan bukan daripada media sosial.

"Pihak kami telah mengidentifikasi akaun yang berpotensi untuk dibawa ke mahkamah untuk dirujuk kepada perkara subjudis yang boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah," katanya.

Rosli kemudian menetapkan 14 Jan depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen lanjut.

Pada 14 Sept, Jamil Khir didakwa atas tiga pertuduhan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan secara tidak jujur telah menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta miliknya, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan dengan SAR44.170 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd ( Al-Rawda).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 3 April 2015 dan di pejabat sama di Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya pada 14 Dis 2016 dan 17 Ogos 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Warga emas berkerusi roda maut didera, dipukul dengan getah paip

Sinar Harian
Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa dera dalam kejadian pada Rabu. - Foto tular/Sinar Harian
Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa dera dalam kejadian pada Rabu. - Foto tular/Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa dera dalam kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 34 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

"Pada 5 November jam 10 pagi, polis menerima laporan berhubung satu video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an didera oleh beberapa individu.

"Mangsa telah meninggal dunia pada petang 4 November dan sejurus menerima laporan, polis menjalankan siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menerusi video tular, kelihatan seorang lelaki warga emas  yang duduk di kerusi roda dalam keadaan lemah dipaksa makan sebelum dipukul menggunakan getah paip oleh seorang lelaki.

Kejadian berkenaan turut disaksikan beberapa individu lain termasuk kanak-kanak.

Menurut Alzafny, polis turut merampas getah paip yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa, sebuah kerusi roda, telefon bimbit dan pakaian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

"Polis memberi jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

-- Sinar Harian

Hujan lebat cetus banjir kilat di UiTM Puncak Alam

Bernama

Beberapa pengguna media sosial kongsi gambar, video papar situasi banjir serta aliran air deras di sekitar kampus itu.
uitm puncak alam banjir
Hujan lebat lewat petang tadi akibatkan paras air naik di kampus UiTM Puncak Alam.
SHAH ALAM: Beberapa kawasan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dilaporkan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat, menyebabkan beberapa lokasi dinaiki air dan menjejaskan pergerakan kenderaan.

Keadaan itu dikongsikan beberapa pengguna media sosial menerusi aplikasi Threads yang memaparkan situasi banjir di sekitar kampus itu.

Seorang pengguna, @nis0piee berkongsi beberapa video yang menunjukkan kawasan menunggu bas di kampus itu dinaiki air, selain mendakwa kejadian itu merupakan pengalaman pertamanya berdepan situasi sedemikian.

Seorang lagi pengguna, @afiqqqdaniel memuat naik video yang memaparkan aliran air deras yang keruh memenuhi permukaan jalan di kawasan yang dipercayai dalam kampus itu.

Sementara itu, @nabiq65 turut berkongsi dua video yang memaparkan keadaan banjir kilat di kawasan yang dipercayai berhampiran Fakulti Alam Bina.

Dalam perkembangan berkaitan, satu video yang dikongsikan Zamron Mat menerusi Facebook memaparkan seorang individu memaklumkan bahawa Taman Sri Alam, Saujana Utama, di Sungai Buloh turut dinaiki air sehingga melimpah ke jalan raya.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih selamat serta mengutamakan keselamatan diri.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima lima panggilan berkaitan kejadian banjir kilat di sekitar Selangor hari ini, membabitkan Kampung Johan Setia, Tadika UiTM Kampus Puncak Alam, Taman Seri Alam di Saujana Utama, Jalan Meru Tambahan menghala Puncak Alam serta Kampung Salak, Sepang.

Di Kampung Johan Setia, katanya, paras air setinggi kira-kira 0.3m telah memasuki beberapa kediaman penduduk, namun tiada pemindahan dilakukan.

Di Tadika UiTM Kampus Puncak Alam pula, banjir dilaporkan surut sepenuhnya ketika anggota bomba tiba di lokasi pada 5.26 petang, dan tiada khidmat menyelamat dijalankan.

Sementara itu, pemantauan di Taman Seri Alam, Saujana Utama, mendapati kawasan perumahan berkenaan turut dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan limpahan air dari takungan berhampiran, dengan paras air dianggarkan 0.3m.

Di Jalan Meru Tambahan menghala Puncak Alam pula, paras air dilaporkan mencecah kira-kira 0.6m, menyebabkan kenderaan ringan tidak dapat melalui jalan berkenaan, namun tidak melibatkan mangsa.

Di Kampung Salak, Sepang pula, banjir kilat dilaporkan surut sepenuhnya ketika pasukan bomba tiba di lokasi pada 5.59 petang, sebelum anggota menjalankan pemantauan paras air di kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan terkawal.

Bagaimanapun, tiada pemindahan penduduk dilaporkan dilakukan di semua lokasi berkenaan.

Aliff Daniel, ibu, adik lafaz taubat, ucap syahadah

NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL
(Dari kiri) Aliff Daniel bersama ibu, Rohizayanti dan adiknya, Nur Ranea Ezreen melafazkan taubat dan dua kalimah syahadah pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Shah Alam, hari ini.
PETALING JAYA – Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adik perempuannya melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.

Dalam pengisytiharan tersebut, Aliff Daniel mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak sehingga mencetuskan penghinaan terhadap agama Islam serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dia yang melafazkan pengisytiharan taubat secara terbuka turut mengakui pernah berpuasa selama seminggu mengikut kepercayaan agama Hindu dengan hanya memakan sayur-sayuran dan minum air sebelum menyertai ritual keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada Januari 2024.

Menurutnya, perbuatan itu dilakukan di sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, Selangor atas alasan bernazar untuk kesembuhan ibunya, kebahagiaan keluarga, penghapusan dosa dan penyucian diri.

Bagi melaksanakan ritual berkenaan, dia memakai pakaian vesti berwarna putih, kalungan bunga malai dan tasbih kayu, selain mencucuk trisula pada pipi serta vel pada lidah, membawa palkudam atau bekas susu dan menjunjung kavadi sebelum melakukan upacara di dalam kuil.

“Saya menyedari bahawa perlakuan saya demikian adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika membacakan pengisytiharan taubat.

Dia turut mengakui pernah melakukan pelbagai bentuk rawatan menggunakan mantera yang bukan bersumberkan ajaran Islam serta mencampurkan amalan kepercayaan dan unsur agama lain dalam kaedah rawatan spiritual.

Sehubungan itu, Aliff Daniel berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan, sebaliknya berusaha mendalami ilmu agama dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan yang benar.

“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Rohizayanti Ramli dalam pengisytiharan taubat turut mengakui kelemahan dan kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu sehingga menyebabkan anaknya terjebak dengan fahaman serta amalan yang menyimpang daripada akidah Islam.

Rohizayanti mengakui perkara itu berpunca daripada kekurangan ilmu agama, kelekaan terhadap urusan duniawi serta kelemahan dalam memantau dan membimbing pemikiran, pergaulan serta persekitaran anaknya.

“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan memimpin anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak, terpengaruh dan mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang benar,” katanya.

Rohizayanti turut berikrar untuk kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam, membersihkan diri dan keluarga daripada sebarang amalan yang menyeleweng serta meningkatkan kefahaman agama dengan menghadiri kelas pengajian yang sahih dan bertauliah.

Adik perempuan Aliff Daniel, Nur Ranea Ezreen yang juga pelakon pula mengakui kekesalan atas kelemahan dirinya dalam menjaga kemurnian institusi kekeluargaan, termasuk kegagalan memberikan teguran, nasihat dan sokongan secukupnya sehingga abangnya terpengaruh dengan amalan ritual.

“Saya mengaku dan menyesali sekiranya terdapat tindakan, sikap acuh tak acuh, kelekaan masa lalu atau kegagalan saya dalam memberikan teguran, nasihat dan benteng sokongan yang secukupnya sehingga membiarkan persekitaran atau pengaruh luar merosakkan pegangan agama abang saya,” katanya.

Dia turut berazam memperbaiki diri, memperkukuh pegangan akidah serta membantu memulihkan abangnya melalui pendekatan kasih sayang, doa berterusan dan kerjasama dengan pihak berkuasa agama.

Dalam majlis tersebut, ketiga-tiga mereka kemudian melafazkan dua kalimah syahadah sebagai tanda keinsafan dan tekad untuk kembali menghayati ajaran Islam serta memohon keampunan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Pemandu China mengaku salah bawa masuk empat PATI

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Zhibo (tengah) menghadapi pertuduhan menyeludup masuk empat PATI warga China di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga China mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) senegara menaiki kenderaan dipandunya pada bulan lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Tuo Zhibo, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova didakwa membenarkan empat PATI warga China memasuki dan menaiki MPV tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Zhibo di sebuah stesen minyak di Kampung Tok Lawit, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu
pada pukul 4 petang, 11 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman antara RM5,000 dan RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 November ini sebagai tarikh jatuh hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah Abdul Razak manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Remaja perempuan hilang: Nur Aziela dikesan berada di Teluk Intan bersama keluarga teman lelakinya.

MUHAMMAD ZIKRI
NUR AZIELA yang dilaporkan hilang sejak 4 Oktober lalu dikesan berada di Teluk Intan, Perak.
PONTIAN – Remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 4 Oktober lalu, Nur Aziela Hasan, 18, dipercayai berada di Teluk Intan, Perak bersama keluarga teman lelakinya.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan bapanya, Hasan Bachok, 56, yang kini berada di Teluk Intan bagi mencari dan bertemu sendiri anaknya selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan.

Hasan berkata, dia bergegas ke bandar tersebut pagi ini selepas dimaklumkan Nur Aziela dipercayai tinggal bersama keluarga teman lelakinya di Taman Lagenda.

Menurutnya, dia berharap pihak polis di Teluk Intan dapat membantu mengiringinya ke kediaman berkenaan bagi membolehkan dia bertemu anaknya.

Katanya, meskipun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian telah memaklumkan kes kehilangan Nur Aziela selesai selepas remaja itu membuat laporan polis di Balai Polis Kuang, Sungai Buloh, Selangor, dia masih belum berpuas hati selagi belum melihat sendiri keadaan anaknya.

“Saya bukan tidak menerima pengesahan polis bahawa anak saya sudah ditemui, tetapi saya mahu berjumpa sendiri dengannya kerana sudah lebih sebulan dia tidak pulang ke rumah.

“Saya juga mahu bertemu keluarga teman lelakinya supaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dan Nur Aziela dapat dibawa pulang ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, IPD Pontian menerusi hantaran Facebook memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kuang berhubung penemuan semula Nur Aziela yang dilaporkan hilang menerusi laporan polis di Ayer Baloi.-KOSMO! ONLINE

Akauntan didakwa lakukan hubungan seks tanpa kerelaan

Zuhainy Zulkiffli
Akauntan, Then Zi Quan, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan hubungan seks tanpa kerelaan. Foto NSTP
GEORGE TOWN: Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang wanita tanpa kerelaannya, tahun lalu.

Tertuduh, Then Zi Quan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia 25 tahun di sebuah unit kediaman di Ideal Residency, Jalan Lembah, Kampung Kastam, di sini, pada jam 4.15 petang, 24 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, mencadangkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh berserta beberapa syarat tambahan, termasuk larangan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam bela, K Mahendran dan M Sharmila Morgan, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan anak guam mereka bekerja sebagai akauntan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 14 Disember depan.

Video pelajar ‘khayal’ dalam kelas tular

NOR SHAFAWATI YUP
Tangkap layar rakaman yang tular di media sosial.
NILAI – Satu video tular di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki dipercayai dalam keadaan khayal dalam kelas di sebuah sekolah di daerah ini.

Menerusi video yang dikongsikan pengguna di platform Threads itu menunjukkan pelajar tersebut dalam keadaan membongkok, terhuyung hayang dengan kepala tertunduk berhampiran sebuah meja.

Menerusi kapsyen pada video itu, pelajar terbabit dikatakan sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kononnya mengambil piu piu. Bagaimanapun, identiti pelajar dan kesahihan lokasi rakaman itu masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terkejut dengan kejadian tersebut yang tidak sepatutnya berlaku dalam kawasan sekolah. – KOSMO! ONLINE

Telefon Prabowo diintip, Indonesia kerah 20,000 askar ke Jakarta

KOSMO!
ASKAR Indonesia berkumpul di Dataran Merdeka, Jakarta pada 1 September 2025. – AFP
JAKARTA – Tentera Indonesia mengerahkan lebih 20,000 askar  dan kakitangan sokongan ke Jakarta, kata pihak berkuasa semalam seperti dipetik saluran berita CNA 

Kerahan dibuat ketika pihak berkuasa menyiasat operasi pengintipan haram telefon menyasarkan Presiden Prabowo Subianto, membawa kepada penangkapan dua pegawai kanan polis dan bekas ketua polis.

Antara yang terbabit dalam skandal itu ialah bekas ketua polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo yang dipecat sebagai Ketua Staf Presiden semalam,  hanya sebulan selepas pelantikannya.

Leftenan Kolonel Tentera Darat,  Ariyo Windutomo yang mengetuai  Sekretariat Presiden dilantik pemangku Ketua Staf Presiden berikutan pemecatan Listyo.

Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengesahkan sama ada kerahan  tentera di Jakarta mempunyai kaitan dengan siasatan skandal tersebut.

Jurucakap angkatan tentera Indonesia, Muhammad Nas berkata, pergerakan tentera itu prosedur standard bagi mengekalkan keselamatan negara dan integriti wilayah.

Sementara itu, pembantu operasi tentera laut,  Yayan Sofiyan enggan mengulas lanjut mengenai tujuan kerahan atau menjawab soalan wartawan mengenai wujud kebimbangan keselamatan atau ketegangan politik di Jakarta.

Fasa pertama kerahan tentera bermula  Isnin lalu dengan seramai  2,100 askar  ditempatkan di Jakarta.

“Tentera dari luar ibu kota pula mulai tiba semalam, menjadikan jumlah keseluruhan anggota  terlibat seramai  20,980 orang,” kata  Yayan. – AGENSI 

Bersama cabar Anwar jawab tuntutan DAP di majlis makan malam di Melaka

Malaysiakini

Bersama mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya menggunakan peluang berucap pada majlis makan malam mega kutipan dana pilihan raya DAP di Melaka malam ini untuk menjawab beberapa isu berbangkit dan bukannya sekadar menyampaikan ucapan kempen.

Ketika ditemui Malaysiakini selepas ceramah Bersama di Sungai Udang malam tadi, pemimpin parti itu, Lee Chean Chung, menggesa Anwar mengambil kesempatan tersebut untuk menjawab isu yang dibangkitkan pemimpin DAP dan masyarakat Cina.

Antaranya ialah desakan DAP supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah didedahkan kepada umum.

Selain itu, DAP sebelum ini mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal "mafia korporat", selain menuntut kes kematian Teoh Beng Hock diselesaikan.

Lee turut membangkitkan kekecewaan masyarakat Cina terhadap rancangan Kementerian Pendidikan mengurangkan waktu pengajaran bahasa Mandarin di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerusi kurikulum baru yang akan dilaksanakan tahun depan.

Menurut laporan, kurikulum baru itu akan mengurangkan waktu pengajaran bahasa Mandarin bagi murid Tahun Satu dan Dua di SJKC daripada 12 kepada 10 waktu seminggu.

Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa guru besar masih mempunyai kuasa untuk menambah waktu pengajaran.

Menurutnya, persetujuan dicapai dengan pertubuhan guru besar supaya dua waktu tambahan diberikan kepada mata pelajaran bahasa Cina.

Majlis makan malam yang akan berlangsung di dewan Sekolah Menengah Pay Fong malam ini mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua 170 meja habis dijual.

Perkara itu disahkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.

Selain Anwar, pemimpin kanan PH yang dijadual berucap ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Cabaran Bersama di Sungai Udang

Ketika PH menggerakkan penyokong untuk menghadiri majlis makan malamnya, Bersama pula berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan pengundi di kawasan seperti Sungai Udang.

Kira-kira 20 orang menghadiri ceramah parti 'kancil' itu di kawasan berkenaan malam tadi. Lee dan seorang lagi penceramah, Wong Chen, turut menerangkan tawaran manifesto Bersama.

Polis kesan tujuh lelaki terbabit pergaduhan di Skudai

Izz Laily Hussein
Tangkap layar video tular mengenai kejadian di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai.
JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat motif pergaduhan membabitkan tujuh lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai, di sini, semalam.

Selain mengenal pasti punca kejadian, polis turut berusaha mengesan semua individu yang terbabit dalam pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 10.27 malam.

Beliau berkata, pergaduhan berkenaan turut mengakibatkan sebuah kereta milik orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian mengalami kerosakan.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku di luar kawasan pusat beli-belah berkenaan membabitkan tujuh lelaki sehingga menyebabkan sebuah kereta milik orang awam yang diletakkan di sekitar kawasan kejadian mengalami kerosakan.

“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Terdahulu, insiden berkenaan dirakam dalam video berdurasi 13 saat yang kemudian tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.

Radin Ramlan berkata, polis sedang giat mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486 atau terus ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan rakyat di Johor,” katanya.