"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melayu hancur kerana pilih penyangak sebagai pemimpin, bukan dihancurkan DAP

MALAYSIA DATELINE

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, DAP tidak mungkin menghancurkan orang Melayu tetapi orang Melayu akan hancur apabila mereka memilih penyangak sebagai pemimpin.

Kata beliau, rupa-rupanya ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang beri mandat kepada mereka.

Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan menghancurkan orang Melayu jika ia berada dalam Kerajaan Malaysia.

“Ya. Saya mengaku orang Melayu mempunyai banyak kelemahan. Mereka tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Kita dapati ramai juga orang Melayu yang miskin, yang terlibat dengan dadah, jenayah-jenayah tertentu dan rasuah.

“Dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu.

“Tetapi benarkah orang Melayu begitu lemah sehingga sebuah parti politik boleh hancurkan mereka?” tulis beliau dalam blognya Chedet hari ini.

Kata Tun Mahathir, dahulu negara ini dijajah oleh British, tetapi negara sebesar India pun dijajah oleh British juga.

“Kita (negeri-negeri Melayu) tidak ditawan oleh British, walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis dan kemudian Belanda.

“Kita jemput British untuk nasihat kita dalam bidang pentadbiran. Tetapi seperti di lain-lain tempat, British ambil alih pentadbiran seolah-olah kita sudah jadi jajahan takluk mereka,” katanya.

Jelas beliau, selepas Perang Dunia II, British kembali ke Malaya dan merancang untuk benar-benar menjadikan negeri-negeri Melayu milik mereka.

Mereka kata beliau, mencadang menubuhkan Malayan Union yang ditadbir secara langsung dari Whitehall London dan Raja-raja Melayu akan hanya menjadi pentadbir agama Islam dan adat istiadat Melayu.

“MacMichael paksa Raja-Raja Melayu serah negeri-negeri mereka kepada British.

“Tidak ada rundingan dengan orang Melayu sama sekali. Tetapi kita tahu, orang Melayu bangun dan menentang Malayan Union.

“Ringkasnya British, suatu kuasa dunia yang baru menang perang terpaksa tunduk kepada orang Melayu, terpaksa batal Malayan Union hanya dua tahun selepas diisytihar,” katanya.

Katanya lagi, tidak mudah bagi British untuk merampas negeri Melayu seperti mereka merampas Palestin untuk diberi kepada Yahudi.

Percubaan untuk merampas negeri Melayu, untuk sebenarnya menghancurkan bangsa Melayu gagal waktu itu kerana orang Melayu menentang, katanya.

“Mungkin sekarang ada Melayu bacul. Tetapi Melayu dahulu berani. Susulan kepada penolakan Malayan Union, Melayu tuntut kemerdekaan. Pemuda Melayu tuntut kemerdekaan pada 1957. British bersetuju kemerdekaan diberi pada 1959.

“Melayu tolak dan tetapkan kemerdekaan pada 1957. Dan 1957 menjadi tarikh kemerdekaan. Banyak syarat yang cuba dikenakan tetapi Melayu tolak.

“Apabila British terbang pesawat Concorde tanpa izin dari Malaysia, Kerajaan pimpinan Melayu perkenal dasar “Buy British Last”.
“Kita beli Syarikat Guthrie milik British dalam satu “Dawn Raid” yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia.

“Semua syarikat penjajah dibeli oleh Malaysia kerana diarah oleh pemimpin Melayu,” tambah beliau,

Beliau selanjutnya berkata, biasanya setiap pemimpin baharu negara-negara kecil di dunia, apabila dilantik akan minta untuk pergi mengadap Presiden Amerika, tetapi Malaysia tidak.

Jelasnya, Perdana Menteri Malaysia yang menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, hanya pergi Amerika Syarikat (US) tiga tahun selepas dilantik walaupun duta Amerika Syarikat cuba mendapat temujanji sesudah sahaja Perdana Menteri baru Malaysia mengambil alih.

“Pemimpin Melayu Malaysia sering menegur kuasa-kuasa besar apabila mereka melaku kezaliman ke atas negara yang lemah. Suara pemimpin Melayulah yang lantang menegur selewengan kuasa besar kepada Israel.

“Percubaan dibuat oleh penyangak matawang untuk Kerajaan pimpinan Melayu Malaysia mengemis bantuan International Monetary Fund (IMF) dan World Bank. Badan-badan ini menawar pinjaman jika Malaysia letak ekonomi Malaysia dibawah mereka.

“Kita tolak. Kita cipta cara kita sendiri untuk mengatasi masalah keturunan nilai Ringgit. Maka pakar-pakar kewangan dunia pun berkata kita akan muflis – bankrap. Tetapi tidak.

“Kita pulih semula dengan cepat walaupun pemimpin Malaysia ini orang Melayu, jentera pentadbiran Melayu.

Beliau berkata, orang Melayu boleh hancur apabila mereka membenarkan penyangak jadi pemimpin kerana pemimpin seperti ini walaupun Melayu akan menghancurkan orang Melayu.

“Kita tubuh sebuah Parti Melayu untuk memperjuang nasib orang Melayu. Parti ini berjaya; berjaya kalahkan British, capai kemerdekaan, bangun negara sehingga menjadi Harimau Asia.

“Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 May 2018, parti ini kalah.

“Kenapa? Kerana parti bertuah ini mendapat penyamun sebagai pemimpin. Saya tak payah ulang apa yang pemimpin penyangak ini buat. Dari sebuah negara yang dihormati, negara ini menjadi kleptokrasi – negara yang diperintah oleh pencuri.

“Maka hancurlah parti ini kerana ahlinya sedia disogok dan tidak lagi utama perjuangan orang Melayu,” tambah beliau.

Katanya, disebabkan kekalahan parti itu, orang Melayu dimomokkan sehingga ada yang begitu takut kepada DAP.

Ujarnya, Orang Melayu dan pemerintahan Melayu yang berani melawan British, kuasa-kuasa besar IMF dan Bank Dunia sekarang takut kepada DAP, takut dihancur oleh DAP, takut kepada Guan Eng.

“Orang Melayu takut kepada Guan Eng.

“Dari mana datang bacul ini. Nak dapat perlindungan dari siapa? Dari Najib? Dari Kerajaan Melayu Islam pimpinan penyangak?

“Ada yang kata, walaupun penjenayah, dia Melayu. Semasa dia memimpin dia lindung Melayukah? Dia kalah kerana melindung Melayukah?

“Tepuk dada, tanya selera. Boleh main golf dengan Trump adalah bukti kekuatan untuk lindung Melayukah?

“Pemuda Melayu dahulu lawan dengan British. Tak takut. Pemuda yang sokong Najib ini mencari perlindungan dari Najib. Sudah jadi baculkah?

“Saya malu. Amat malu,” kata beliau.

Tiada ulasan: