"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Dr M suruh tepuk dada, pilih selera' kepada Adun

N Faizal Ghazali

Selepas kira-kira sejam bertemu Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, anggota Dewan Undangan Negeri (AdKuahun) Kuah Mohd Firdaus Ahmad menjelaskan menerima pelbagai pandangan dan nasihat daripada pertemuan itu.

Bagaimanapun katanya, paling ditekankan oleh bekas perdana menteri itu adalah supaya beliau meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

"Pertemuan saya dengan Tun berlangsung selama sejam, dan apa yang penting beliau sampaikan amanat supaya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan Dr Mahathir berkenaan keputusan sama ada beliau akan menyokong PN Kedah, Mohd Firdaus berkata, Dr Mahathir berpesan supaya 'tepuk dada, pilih selera'.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Mohd Firdaus ‘mengadap’ Dr Mahathir petang tadi, dua hari selepas mengaku menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan baru.

Malah beliau berkata, belum menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD), walaupun PAS semalam mendakwa 23 SD sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

PAS Kedah mendakwa mempunyai sokongan 23 Adun, termasuk dua Adun PKR yang keluar parti dan empat Adun Bersatu yang mendukung kepimpinan Presiden parti Muhyiddin Yassin.

Firdaus pada Selasa memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan tiga lagi Adun Bersatu menyokong pembentukan kerajaan baru selepas PH dikatakan hilang majoriti kerana “mengikut arus dan arahan daripada parti”.

Sebelum ini, dua lagi Adun Bersatu - Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan, Juhari Bulat (Ayer Hangat) mengaku menyokong PN.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat terletak dalam kerusi parlimen Langkawi yang dimenangi Mahathir.

Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak) turut dikaitkan dengan peralihan sokongan itu tetapi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkannya.

Sekiranya mendapat sokongan penuh keempat-empat Adun Bersatu itu, PN Kedah mempunyai kekuatan dengan 23 kerusi berbanding PH hanya mempunyai 13 kerusi.

Sementara itu ditanya apakah keputusannya selepas pertemuan dengan Dr Mahathir, Mohd Firdaus memberi gambaran beliau akan meneruskan sokongan kepada PN.

"Tun juga pesan supaya berjuang untuk parti, dan bukan untuk diri sendiri

"Saya pilih selera. Insya-Allah kalau itu yang menyelerakan," katanya ketika ditanya sama ada akan menandatangani SD tersebut atau tidak.

Tiada ulasan: