"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah lepas Riza Aziz dengan syarat pulangkan jutaan ringgit

Keputusan mahkamah hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) penerbit filem Hollywood Riza Aziz bergantung kepada pematuhannya terhadap persetujuan yang dicapai bersama pendakwaan untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang didakwa berkaitan degan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, sekiranya Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Hal ini dimaklumkan pada salinan kenyataan yang dibacakan oleh Ketua DPP Gopal Sri Ram ketika beliau memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini mengenai persetujuan dicapai antara tertuduh dan pihak pendakwaan.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dibacakan di mahkamah oleh Sri Ram, yang mengesahkannya ketika dihubungi oleh Malaysiakini selepas prosiding hari ini.

"Sejak pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, dia telah mengemukakan beberapa representasi menerusi peguam belanya kepada pihak-pihak relevan. Representasi berkenaan telah dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak berkenaan dan keputusan telah dibuat seperti berikut.

“Satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Jumlah wang itu merujuk secara langsung kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini. Tertuduh sepanjang proses ini telah menerima representasi perundangan yang mencukupi dan kompeten.

"Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Pihak pendakwaan dengan persetujuan tertuduh kini dengan hormatnya memohon Mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh.

"Sekiranya terdapat pelaksanaan yang memuaskan bagi memenuhi perjanjian ini, maka langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa tertuduh mengikut undang-undang."

Periksa bukti dengan teliti

Dalam satu kenyataan, firma guaman yang mewakili Riza berkata: “Kami selama ini menyatakan bahawa Riza tidak bersalah. Kami sangat berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara dan SPRM kerana memeriksa bukti tersebut dengan teliti.

"Riza dengan senang hati memenuhi kewajipannya kepada pihak berkuasa dan berharap dapat melanjutkan babak seterusnya di dalam hidupnya."

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, anak tiri Najib Razak yang juga pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram.

Dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 menerusi transaksi daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Switzerland ke akaun nombor 123248291 City National Bank, Los Angeles, milik Red Granite Productions Inc.

Wang itu didakwa diseleweng daripada dana 1MDB antara 12 April dan 12 Mei di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California.

Bagi pertuduhan kedua, Riza dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun sama pada 10 Sept 2012, dan 10 Okt 2012, di premis sama.

Untuk pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan AS$133 juta dan AS$60 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun nombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited, di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun nombor 6C02250A di BSI Bank Limited, Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012, dan 23 Okt 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Riza, anak Rosmah Mansor daripada perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$45 juta di tempat sama pada 14 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Tiada ulasan: