"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin saman Zuraida kerana memfitnah berkait dakwaan rasuah

FMT Reporters
KUALA LUMPUR:
Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap bekas naib presiden parti itu Zuraida Kamaruddin kerana mendakwa beliau terlibat dengan perbuatan rasuah.

Saifuddin berkata, kenyataan Zuraida pada 8 Disember tahun lepas pada makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sebuah hotel di sini merosakkan nama baiknya.

“Perkataan-perkataan yang dipersoal mestilah dibaca sambil merujuk kepada pergelutan kuasa antara Azmin Ali (bekas timbalan presiden) dengan DSAI (Anwar Ibrahim) pada masa itu.

“PKR telah berpecah antara penyokong-penyokong Azmin Ali dan DSAI. Zuraida adalah seorang penyokong tegar Azmin Ali, sementara saya pula diketahui sebagai penyokong DSAI,” katanya dalam saman berkenaan.

Saifuddin berkata, kenyataan Zuraida dimuat naik ke akaun Facebook “Friends of Azmin Ali” dan selepas itu dikongsikan ke akaun Facebook beliau sendiri.

Katanya, Zuraida didakwa bertanyakan hadirin “berapa juta dia dapat duit” ketika “menyertai Tok Kenali”, adalah merujuk kepada diri beliau dan kaitannya dengan Tok Kenali, sebuah yayasan kebajikan di bawah kerajaan negeri Kelantan.

“Perkataan-perkataan yang dipersoal telah disiar atau disiar semula oleh media arus perdana dan media sosial serta dilihat oleh orang awam,” katanya.

Saifuddin berkata, peguam beliau sebelum ini menghantar notis tuntutan permohonan maaf daripada Zauraida, tetapi beliau gagal memberi respons.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta teladan daripada Zuraida, selain perintah injunksi bagi menghalang beliau daripada membuat kenyataan fitnah berikutnya.

“Mahkamah diminta untuk membuat satu inferens bahawa perilaku Zuraida seperti yang diperihalkan adalah disengajakan untuk mendatangkan manfaat kepada diri atau kedudukan politiknya,” kata beliau.

Zuraida, Azmin dan 9 yang lain dipecat daripada PKR pada Februari tahun ini.

PKR berkata, “pengkhianatan terbuka oleh beberapa individu” adalah “jelas bertentangan dengan pendirian parti berhubung kedudukan perdana menteri”.

Tiada ulasan: