BERNAMA

Kesemua mangsa nahas helikopter FDS yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, petang tadi disahkan meninggal dunia.
MIRI – Seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang tadi.
Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang mengesahkan perkara itu berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, maklumat tentang kejadian dan nama mangsa yang terlibat belum dapat diperincikan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata, helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerima maklumat tentang kejadian melibatkan sebuah helikopter BO-105 itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan