"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nama-nama besar tandingi jawatan dalam PKR

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Pemilihan PKR bermula pada Jumaat untuk memilih pemimpin mereka bagi tempoh tiga tahun akan datang, sehingga 2025, dengan perhatian tertumpu kepada jawatan timbalan presiden yang ditandingi Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

Walaupun Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan presidennya tanpa bertanding, perebutan jawatan kepimpinan lain, seperti empat naib presiden yang dipilih, wajar diperhatikan kerana 17 calon bersaing untuk keempat-empatnya.

Antara yang bertanding adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ketua Wanita Fuziah Salleh, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Nama terkemuka lain yang bertanding termasuk Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Setiausaha Penganjur Nik Nazmi Nik Ahmad dan anggota kepimpinan pusat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Selebihnya adalah ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, bekas ahli Parlimen Kapar G Manivannan, bekas timbalan pengerusi Perak MA Tinagaran, bekas ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas naib presiden Pemuda S Thiban; ADUN Sentosa G Gunarajah, ADUN Chuah Michael Yek and ADUN Bukit Selambau R Summugam.

Bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim and Fahmi Zainol merebut jawatan ketua Pemuda. Adam menubuhkan kumpulan “Seangkatan”, manakala Fahmi menyertai kempen “Ayuh Malaysia” anjuran Rafizi.

Bagi jawatan timbalan ketua Pemuda pula, dua calon yang bertanding adalah peguam Kamil Munim and Chua Wei Kiat.

Sementara itu, perebutan jawatan ketua Wanita menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Roziah Ismail dan Fadhlina Sidek, manakala jawatan timbalannya akan ditandingi Faizah Ariffin, Juwariya Zulkifli dan Napsiah Khamis Maharan.

Di peringkat cabang, antara persaingan yang ketara adalah di Gombak, di mana bekas setiausaha politik Anwar Farhash Salvador akan menentang Amirudin.

Di Pulau Pinang, pertembungan antara ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Exco Halim Hussain bagi jawatan ketua cabang Bayan Baru dikatakan patut diberi tumpuan.

Beberapa selebriti yang menganggotai PKR turut mengambil bahagian dalam pemilihan tahun ini.

Hans Isaac dan penyanyi rap Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, akan bertanding untuk jawatan ketua cabang Ampang, dalam pertembungan dengan tujuh yang lain.

ans menyertai parti itu pada 2020, manakala Altimet pada tahun berikutnya.

Sumber dalaman parti berkata, cabang Ampang menjadi lemah selepas bekas ketuanya Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti dan menyertai Bersatu. Dengan Hans dan Altimet bertanding, dijangka ini dapat menyegarkan dan meningkatkan moral di cabang itu.

Seorang lagi selebriti, Ketua Eksekutif Petra Media Afdlin Shauki bertanding untuk jawatan ketua cabang Setiawangsa, menentang Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Undian dalam talian akan dijalankan dari 18-20 Mei bagi mereka yang telah mendaftar, manakala undian secara fizikal bermula pada 13 Mei dan akan diteruskan sehingga 22 Mei.

Keputusan bagi kepimpinan cabang akan diumumkan pada 23 Mei, manakala jawatan timbalan dan naib presiden pada 26 Jun, sehari selepas kongres kebangsaan parti pada 24-25 Jun.

Pemilihan berasingan akan diadakan untuk memilih 60 ahli dalam jawatankuasa pusat, serta jawatankuasa sayap Pemuda dan Wanita. Kira-kira 2,000 perwakilan daripada cabang dijangka akan mengundi.

Tiada ulasan: