"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malaysia boleh jadi bankrap jika Waris Kesultanan Sulu berjaya tuntut RM62.59 bilion

MOHD ALI HASHIM

Malaysia boleh jadi bankrap jika waris Kesultanan Sulu berjaya menuntut RM62.59 bilion, demikian menurut anggota Jawatankuasa Piihan Khas Hak Asasi dan Hak-hak Di Bawah Perlembagaan Parlimen ke-14, Hassan Abdul Karim.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan politik sempit untuk faedah domestik apabila berdepan ancaman kedaulatan wilayah dari musuh yang berada di luar, sebaliknya perlu mengambil pendekatan patriotik demi keutuhan negara.

Malah katanya, ancaman Waris Kesultanan Sulu adalah ugutan yang nyata dan bukan diada-adakan dari isu wilayah berjiran, Malaysia dan Filipina sehinggalah kini isu tersebut menjadi isu global dan antarabangsa.

“Isu ini bukan lagi isu meriam, senapang dan peluru. Sebaliknya ia kini sudah menjadi isu perundangan antarabangsa.

“Manakala kerajaan PN dan BN tidak boleh berhujah kepada dunia bahawa ini bukan kesalahan mereka dan tidak juga boleh mendakwa ia sebagai kesalahan kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang lalu.

“Begitu juga mantan-mantan Perdana Menteri(PM) dan menteri-menteri PH tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dan berkata, bahawa ini bukan salah mereka, tetapi ini kecuaian PM.

“Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN yang terdahulu keana undang-undang pentadbiran dalam negara dan di pentas antarabangsa tidak beroperasi sedemikian.

“Usaha menyalahkan kecuaian dan tindakan Najib dalam isu ini boleh dibuat, tetapi hanya untuk mendapat skor politik semasa bagi faedah politik sementara dalam pilihan umum yang akan tiba tidak lama lagi.

“Namun begitu tindakan menyalahkan Najib tidak akan membantu usaha Malaysia untuk mencabar keputusan tribunal timbangtara di Mahkamah Perancis,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tambahnya, secara serius yang perlu dilihat, disemak dan diteliti ialah apakah tindakan kerajaan PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibantu oleh kabinet pimpinannya secara tanggungjawab bersama atau kolektif memikul tanggungjawsb barisan hadapan menghadapi tuntutan Waris Kesultanan Sulu dari sudut perundangan antarabangsa.

Tegas beliau lagi, persoalan relevan seluruh rakyat Malaysia perlu tahu adakah kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan di Mahkamah Perancis dalam tempoh masa yang dibenarkan oleh sistem Mahkamah Perancis (dalam prosidur merayu sesuatu keputusan tribunal timbangtara).

Hassan berkata, sekiranya kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara membuat rayuan dalam tempoh masa yang dibenarkan, maka kerajaan Malaysia telah melakukan langkah yang betul.

Namun begitu kata beliau lagi, seandainya berlaku sebaliknya, maka kerajaan telah melakukan kecuain yang serius dan kerajaan yang cuai wajib dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang

Sejajar dengan itu, 222 Ahli Parlimen Malaysia tidak dipilih untuk menjadi ‘ahli hotel’ sebaliknya mereka dipilih untuk menjadi Ahli Parlimen dan sebuah kerajaan yang bermaruah mesti memberi taklimat atau penerangan kepada seluruh Ahli Parlimen yang dipilih.

Rakyat serta Speaker dan PM sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat harus memahami prinsip demokrasi berparlimen tersebut.

Tiada ulasan: